Apa itu Carbamazepine?
Carbamazepine adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis anticonvulsant. Ia berfungsi untuk mengurangkan isyarat impuls saraf yang berlebihan yang boleh menyebabkan sawan dan sakit saraf seperti penyakit trigerminal neuralgia dan neuropathy. Carbamazepine juga digunakan untuk merawat penyakit mental seperti gangguan bipolar.
Jenama carbamazepine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Apo-Carbamazepine, Taver dan Tegretol.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Carbamazepine?
Anda tidak boleh mengambil carbamazepine jika anda mempunyai sejarah penyakit sumsum tulang dan alahan kepada carbamazepine atau antidepresan yang lain seperti amitriptyline, desipramine, doxepin, imipramine dan nortriptyline.
Jangan gunakan carbamazepine jika anda telah mengambil ubat jenis perencat MAO (furazolidone, isocarboxazid, linezolid, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine) dalam tempoh 14 hari yang lalu kerana interaksi ubat boleh berlaku dan ini boleh memudaratkan kesihatan.
Beritahu doktor anda jika anda pernah menghidap masalah:
- penyakit jantung
- penyakit hati atau buah pinggang
- glaukoma
- porphyria
- paras garam natrium (sodium) yang rendah di dalam darah
- gangguan mood seperti kemurungan
- mempunyai perasaan untuk membunuh diri
Anda mungkin mempunyai perasaan hendak membunuh diri semasa mengambil carbamazepine. Doktor anda perlu memantau kemajuan penyakit anda dari masa ke semasa. Keluarga atau penjaga anda juga perlu memantau perubahan pada mood anda.
Jangan memulakan atau berhenti mengambil ubat sawan semasa mengandung tanpa nasihat daripada doktor anda. Carbamazepine boleh membahayakan nyawa bayi dalam kandungan. Namun serangan sawan semasa mengandung juga boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi.
Carbamazepine boleh melemahkan kesan pil perancang keluarga. Oleh itu, gunakan cara pencegahan kelahiran yang lain seperti kondom atau diafragm dengan spermicide semasa pengambilannya.
Anda tidak boleh menyusu badan semasa menggunakan carbamazepine kerana ia boleh meresap ke dalam susu badan dan memudaratkan kesihatan bayi.
Cara pengambilan Carbamazepine
Ambil carbamazepine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan mengubah dos ubat dari masa ke semasa.
Carbamazepine harus diambil semasa atau selepas makan.
Telan tablet atau kapsul ubat jenis extended-release tanpa menghancurkan, mengunyah atau memecahkannya. Beritahu doktor jika anda mengalami masalah untuk menelan ubat.
Untuk tablet yang boleh dikunyah, anda mesti menguyahnya sebelum menelannya.
Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Ia mungkin mengambil masa sehingga 4 minggu sebelum simptom anda bertambah baik. Anda harus teruskan ubat anda walaupun simptom anda telah pulih.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Carbamazepine
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan carbamazepine adalah:
- perubahan mood atau tingkah laku seperti kemurungan, mudah berasa cemas, imsomnia, perasaan celaru dan ingin membunuh diri
- ruam pada kulit
- sakit pada sebelah kanan atas abdomen, kurang selera makan dan air kencing berwarna teh pekat
- palpitasi
- anemia
- mudah berlaku perdarahan seperti hidung berdarah dan lebam pada kulit
- paras garam sodium yang rendah di dalam darah
- pening kepala dan rasa terhuyung-hayang semasa berjalan dan berdiri
- loya dan muntah-muntah
- rasa letih dan mengantuk