Apa itu Certolizumab?
Certolizumab adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan TNF (tumor necrosis factor) alfa inhibitor. Ia bertindak dengan cara mengawal sistem imun lalu merencatkan kesan tindakan TNF (tumor necrosis factor) alfa di dalam badan yang boleh mengakibatkan tindak balas nekrosis dan apoptosis tisu.
Certolizumab digunakan untuk mengawal keradangan yang berlaku dalam penyakit:
- Crohn’s disease
- arthritis seperti rheumatoid arthritis, psoriatic arthritis dan ankylosing spondylitis
- penyakit psoriasis
Certolizumab biasanya diberikan kepada pesakit dalam bentuk suntikan subkutaneus. Jenama yang boleh diperolehi di pasaran adalah Cimzia dan Certolizumab pegol.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Certolizumab?
Certolizumab boleh melemahkan sistem imun badan dan meningkatkan risiko untuk mendapat jangkitan kuman. Risikonya adalah lebih tinggi di kalangan pesakit yang menghidap penyakit yang boleh melemahkan sistem ketahanan badan seperti kencing manis, HIV dan jangkitan kronik Hepatitis B serta pengambilan ubat yang mengandungi steroid.
Pengambilan certolizumab juga boleh meningkatkan risiko untuk menghidap kanser darah seperti limfoma.
Anda tidak boleh menggunakan certolizumab sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- simptom-simptom jangkitan kuman seperti demam menggigil, batuk, selsema, sakit tekak, cirit-birit dan rasa sakit semasa membuang air kecil
Untuk memastikan pengambilan certolizumab adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- jangkitan kronik seperti tuberkulosis
- jangkitan Hepatitis B
- penyakit kanser seperti limfoma
- penyakit yang berkaitan dengan darah seperti thrombocytopenia purpura
- penyakit lemah jantung
- sawan
- penyakit sistem saraf seperti multiple sclerosis, Guillain-Barré syndrome dan sebagainya
Anda juga tidak boleh menggunakan ubat ini untuk sementara waktu sekiranya anda dijadualkan untuk menerima sebarang jenis suntikan vaksin.
Pengambilan certolizumab semasa kehamilan
Kajian pengambilan certolizumab oleh haiwan hamil telah menunjukkan anak yang dilahirkan tidak mengalami sebarang komplikasi atau masalah kesihatan. Namun tiada kajian terperinci yang telah dilakukan ke atas pengambilannya oleh wanita hamil. Oleh itu, pengambilan certolizumab semasa kehamilan harus dipantau oleh doktor dan ianya diberikan sekiranya keadaan pesakit serius.
Bagi bayi yang baru dilahirkan, pemberian vaksin jenis live attenuated seperti vaksin BCG juga mungkin perlu ditangguhkan sehingga umur mencapai 12 minggu.
Pengambilan certolizumab semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan certolizumab boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan adalah selamat.
Cara pengambilan certolizumab
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ubat ini biasanya diambil sekali setiap 2-4 minggu.
Certolizumab diambil dengan cara suntikan subkutaneus. Pastikan anda mengeluarkan picagari ubat daripada peti sejuk dan biarkan ia mencapai suhu bilik sebelum menyuntikkannya ke dalam badan.
Perhatikan keadaan ubat sebelum menggunakannya. Jangan gunakan ubat yang telah berubah warna atau berkeladak. Maklumkan kepada pegawai farmasi supaya ubat anda digantikan dengan ubat yang baru.
Cara menyuntik certolizumab:
- Bersihkan bahagian kulit yang hendak disuntik dengan menggunakan swab alkohol.
- Buka penutup jarum dan halakan jarum ke arah bahagian kulit yang hendak disuntik dalam kedudukan sudut 45 darjah.
- Picit bahagian sisi kulit tersebut supaya bahagian lapisan lemak di bawah kulit menjadi tebal. Jangan sentuh bahagian kulit yang hendak disuntik.
- Cucuk jarum secara terus ke bahagian tersebut. Apabila jarum telah berada di dalam kulit, tekan bahagian plunger picagari untuk memasukkan ubat ke dalam badan.
- Apabila semua ubat telah dimasukkan, keluarkan jarum dan lepaskan bahagian kulit yang dipicit. Tekan bahagian kulit yang disuntik dengan kapas selama lebih kurang 1/2 minit sebelum menutupnya dengan plaster.
- Pastikan anda menggunakan bahagian kulit yang berbeza-beza untuk setiap suntikan. Bahagian yang biasa digunakan adalah:
- lapisan depan abdomen di sekeliling bahagian pusat
- bahagian depan betis
- bahagian luar yang berlemak pada lengan atas
- bahagian atas sisi luar betis
Pastikan anda menyimpan ubat anda di dalam peti sejuk. Jangan letakkan ubat di bahagian freezer. Ubat yang telah terdedah pada suhu bilik lebih daripada 7 hari harus dibuang kerana kebarangkalian ianya telah rosak adalah tinggi.
Anda juga mungkin perlu menjalani ujian saringan penyakit jangkitan kronik seperti tuberkulosis sebelum memulakan ubat anda.
Kesan sampingan certolizumab
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Anda juga mudah mengalami jangkitan kuman semasa pengambilan ubat ini kerana ia boleh melemahkan sistem imun badan. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom jangkitan kuman seperti demam menggigil, bisa badan, batuk, selsema, cirit-birit, sakit semasa membuang air kecil dan hilang selera makan.
Anda juga harus menghubungi doktor dengan segera sekiranya anda mengalami simptom-simptom kanser limfoma iaitu:
- sakit dada, sesak nafas dan batuk
- bengkak kelenjar pada bahagian leher, ketiak dan kelengkang
- demam, berpeluh dengan banyak pada waktu malam, susut berat badan dan kerap berasa lesu
- berasa sakit pada bahagian atas abdomen yang merebak ke pinggang dan bahu
Pengambilan certolizumab boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut:
- kulit kelihatan pucat
- mudah berlaku perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
- mudah mengalami sesak nafas semasa melakukan aktiviti
- kenaikan berat badan secara mendadak
- tanda-tanda masalah saraf seperti penglihatan kabur, pening kepala, rasa kesemutan dan kebas pada bahagian jari serta otot tangan dan kaki berasa lemah
- tanda-tanda penyakit lupus seperti sakit sendi dan pembentukan ruam merah pada bahagian muka dan tangan yang akan berasa pijau apabila terdedah kepada cahaya matahari
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis
- ketumbuhan pada kulit yang berwarna merah atau ungu
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- pembentukan ruam merah
- sakit semasa membuang air kecil
- tanda-tanda demam selsema seperti sakit tekak dan selsema
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan certolizumab
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan certolizumab dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- abatacept
- adalimumab
- anakinra
- etanercept
- golimumab
- infliximab
- natalizumab
- rituximab
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.