Apa itu Chlorpheniramine?
Chlorpheniramine adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan antihistamine. Ia bertindak dengan cara merencatkan rangsangan reseptor H1 yang terletak pada sistem saraf periferi lalu menghalang histamin daripada bertindak. Histamin adalah sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh darah dan ia boleh mengakibatkan rembesan asid perut yang tak terkawal, pengecutan salur pernafasan, pengembangan salur darah dan tindak balas radang seperti mata berair, selsema dan bersin.
Chlorpheniramine digunakan untuk melegakan simptom-simptom alahan seperti bersin, selsema, mata berair dan kegatalan pada kulit. Oleh itu, ia biasa digunakan untuk merawat penyakit rhinitis, resdung, ekzema, gegata dan asma.
Jenama chlorpheniramine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Alleryl, Antamin, Axcel Chlorpheniramine, Axcel Nasatab, Cheri 4 Flu, Chloramine, Chlorpheniramine DHA/Chlormine, Decolgen FX, Febricol dan Febricol-Rx.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan chlorpheniramine?
Chlorpheniramine boleh mengakibatkan pening kepala, mengantuk dan kesukaran untuk menumpukan perhatian. Oleh itu, jangan menggunakannya semasa memandu atau sedang mengendalikan jentera berat dan berbahaya. Anda juga tidak dinasihatkan untuk mengambil minuman beralkohol semasa menggunakan ubat ini kerana ia boleh menguatkan kesan sampingan tersebut.
Pengambilan chlorpheniramine di kalangan kanak-kanak juga harus mendapat nasihat daripada doktor kerana ia boleh mengakibatkan kematian jika penggunaannya disalahgunakan.
Chlorpheniramine tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit perut atau usus tersumbat
- penyakit narrow-angle glaucoma
- pembengkakan kelenjar prostat
- kencing tak lawas
- penyakit asma
Untuk memastikan pengambilan chlorpheniramine adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit perut atau usus tersumbat dan mempunyai colostomy atau ileostomy dipasang pada abdomen
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
- penyakit lelah dan chronic obstructive pulmonary disease
- penyakit darah tinggi
- penyakit jantung
- penyakit sawan
- kencing tak lawas
- penyakit pheochromocytoma
- penyakit hipertiroid
Pengambilan chlorpheniramine semasa kehamilan
Kajian menunjukkan chlorpheniramine selamat untuk digunakan semasa mengandung dan ia tidak memudaratkan kesihatan bayi.
Pengambilan chlorpheniramine semasa penyusuan badan
Chlorpheniramine boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Namun pengambilan untuk jangka panjang boleh mengakibatkan bayi mengalami rasa mengantuk dan ia juga boleh mengurangkan susu badan. Oleh itu, pengambilan chlorpheniramine untuk jangka pendek lebih disyorkan.
Cara pengambilan chlorpheniramine
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Chlorpheniramine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.
Jangan kunyah atau hancurkan tablet ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum. Namun anda boleh pecahkan tablet ubat kepada separuh sekiranya anda perlu mengambilnya pada dos yang lebih rendah.
Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Pastikan anda telah mendapat nasihat doktor sebelum memberikan ubat ini kepada kanak-kanak kerana ia boleh mengakibatkan kematian jika pengambilannya tidak mengikut dos atau disalahgunakan.
Pengambilan chlorpheniramine boleh mengganggu keputusan ujian darah. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sebelum anda menjalani sebarang pemeriksaan darah.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan chlorpheniramine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- jantung berdebar atau denyutan jantung yang tak teratur
- badan berasa lesu
- tangan menggeletar
- insomnia
- perubahan emosi seperti rasa gelisah dan keliru
- mata berasa kering
- kencing tak lawas
- rasa mengantuk
- tekak berasa kering
- batuk
- loya
- sakit kepala
- sembelit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan chlorpheniramine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan chlorpheniramine dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat tahan sakit jenis opioid seperti tramadol
- ubat batuk jenis codeine dan hydrocodone
- cannabis
- ubat tidur seperti alprazolam, lorazepam dan zolpidem
- ubat lembut otot seperti carisoprodol dan cyclobenzaprine
- ubat antihistamine seperti cetirizine dan diphenhydramine
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.