Apa itu Cholecalciferol?
Cholecalciferol adalah vitamin D3. Ia membantu usus untuk menyerap zat kalsium ke dalam badan.
Cholecalciferol digunakan sebagai suplemen untuk merawat pesakit yang mempunyai masalah kekurangan Vitamin D di dalam badan disebabkan oleh amalan diet yang rendah kandungan vitamin D, masalah penyerapan pada usus, obesiti, penyakit buah pinggang dan penyakit hati. Ia juga digunakan untuk merawat masalah osteoporosis dan kekurangan kalsium di dalam badan yang disebabkan oleh penyakit buah pinggang.
Jenama cholecalciferol yang boleh diperolehi di pasaran adalah Fosamax Plus dan Milical.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil cholecalciferol?
Anda tidak boleh menggunakan cholecalciferol sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada Vitamin D
- paras Vitamin D yang tinggi di dalam badan
- paras kalsium yang tinggi di dalam darah
- penyakit usus seperti Crohn’s disease dan celiac disease yang mengganggu penyerapan zat ke dalam badan
Untuk memastikan pengambilan cholecalciferol adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- penyakit buah pinggang
- ketidakseimbangan paras elektrolit di dalam darah
- penyakit kencing manis
- phenylketonuria (PKU)
Pengambilan cholecalciferol semasa kehamilan
Cholecalciferol boleh digunakan semasa kehamilan. Namun pengambilannya haruslah pada dos yang rendah bagi mengelak kenaikan paras kalsium ke tahap berbahaya di dalam darah bayi. Paras kalsium yang tinggi boleh mengakibatkan bayi menghidap sindrom supravalvular aortic stenosis.
Sebaik-baiknya sekiranya pesakit mempunyai masalah kekurangan Vitamin D, pengambilan cholecalciferol harus dimulakan beberapa bulan sebelum merancang untuk hamil.
Pengambilan cholecalciferol semasa penyusuan badan
Cholecalciferol boleh meresap ke dalam darah dalam kuantiti yang sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Malahan pengambilan Vitamin D sangat digalakkan pada peringkat bayi bagi mengekalkan tumbesaran tulang yang sihat. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan adalah selamat.
Cara pengambilan cholecalciferol
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Cholecalciferol boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Namun penyerapannya lebih efektif sekiranya ia diambil selepas makan.
Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan X-ray dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan. Tempoh pengambilan cholecalciferol akan bergantung kepada keputusan ujian-ujian tersebut.
Pengambilan cholecalciferol biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti amalan diet yang sihat. Anda mungkin akan diajar oleh pakar pemakanan mengenai diet yang perlu diamalkan. Oleh itu, ikut program yang telah ditentukan dengan betul.
Pastikan suplemen ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ianya daripada rosak.
Kesan sampingan cholecalciferol
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sakit dada dan sesak nafas
- tanda-tanda paras Vitamin D tinggi di dalam badan seperti rasa lesu pada seluruh badan, sakit pada bahagian sendi dan tulang, berat badan menurun, loya, muntah, sembelit dan rasa metalik pada deria rasa lidah
- lambat mencapai akil baligh (berlaku pada kanak-kanak)
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan cholecalciferol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan cholecalciferol dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- pil hormon yang mengandungi estrogen
- isoniazid
- ubat diuretik kumpulan thiazide seperti hydrochlorothiazide
- antasid
- ubat kumpulan calcium channel blocker seperti verapamil
- cholestyramine
- ubat rawatan penyakit sawan seperti phenobarbital, phenytoin dan sebagainya
- ubat kurus badan seperti Orlistat
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.