Apa itu Ciprofloxacin?
Ciprofloxacin adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan generasi kedua fluoroquinolone. Ia bertindak membunuh bakteria daripada kumpulan gram-negative dan gram-positive dengan cara merencatkan enzim DNA gyrase dan topoisomerase IV yang terdapat pada sel bakteria.
Ciprofloxacin digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada:
- saluran kencing
- paru-paru seperti penyakit pneumonia
- kulit dan tulang
- mata seperti conjunctivitis
- telinga
- alat kelamin
Jenama ciprofloxacin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Axcel Ciprofloxacin, Bactiflox, Cetraxal Plus, Ciflox, Cifloxin, Cifran, Cipquin Tablet, Ciprobay, Ciproflo, Ciproglen, Ciprox, Ciproxol, Enoxin, Ificipro, Pharmaniaga Ciprofloxacin, Pycip, Serviflox dan Zoxan.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan ciprofloxacin?
Anda tidak boleh mengambil ciprofloxacin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan semasa pengambilan antibiotik ini atau ubat-ubatan yang berasal daripada kumpulan fluoroquinolone seperti levofloxacin, moxifloxacin, norfloxacin dan ofloxacin
- sedang menggunakan ubat tizanidine
Pengambilan ciprofloxacin boleh mengakibatkan kerosakan pada tisu serat atau tendon dan ia lebih kerap terjadi pada tendon Achilles yang terletak pada buku lali kaki. Kebarangkalian untuk mengalami kesan sampingan ini adalah tinggi di kalangan kanak-kanak dan warga emas atau mereka yang menggunakan ubat steroid dalam tempoh yang lama.
Untuk memastikan pengambilan ciprofloxacin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit yang berkaitan dengan sendi atau tulang seperti arthritis
- kencing manis
- penyakit saraf seperti neuritis
- penyakit jantung
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- penyakit yang menyebabkan otot menjadi lemah seperti myasthenia gravis
- penyakit sawan
- pernah mengalami kecederaan kepala atau menghidap kanser otak
- penyakit long QT syndrome pada diri sendiri atau keluarga anda
- paras elektrolit potassium yang rendah di dalam darah
- pernah menghidap aneurysm
Pengambilan ciprofloxacin semasa kehamilan
Kajian pengambilan ciprofloxacin ke atas haiwan hamil telah menunjukkan ia tidak memudaratkan kesihatan atau menyebabkan kecacatan pada anak yang dilahirkan. Pengambilan ciprofloxacin oleh wanita hamil untuk jangka pendek juga menunjukkan ia tidak memudaratkan kesihatan bayi. Namun tiada kajian jangka panjang pernah dilakukan ke atas pengambilannya semasa kehamilan.
Oleh itu, pengambilan ciprofloxacin semasa kehamilan adalah selamat sekiranya ia digunakan untuk jangka pendek.
Pengambilan ciprofloxacin semasa penyusuan badan
Ciprofloxacin boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Sebaik-baiknya, pemberian susu badan dihentikan untuk tempoh 3-4 jam selepas pemberian ubat ini bagi mengurangkan risiko kesan sampingan ubat seperti cirit-birit dan alahan daripada berlaku pada bayi.
Cara pengambilan ciprofloxacin
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Ciprofloxacin boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada waktu yang sama setiap hari.
Jangan kunyah atau hancurkan tablet ubat jenis extended-release kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.
Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Pastikan anda menghabiskan antibiotik ini walaupun simptom anda telah pulih bagi mengelak bakteria daripada menjadi kebal kepada ubat ini pada masa akan datang.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan ciprofloxacin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda paras glukosa rendah di dalam darah seperti sakit kepala, rasa lapar, loya, jantung berdebar dan tangan menggeletar
- tanda-tanda masalah saraf seperti rasa kesemutan, kebas atau pijau pada tangan dan kaki
- perubahan pada tingkah laku dan emosi seperti mengalami halusinasi, paranoid, kegelisahan dan cemas
- tanda-tanda kerosakan pada tisu serat sendi seperti sendi mengalami bengkak, sakit dan lebam
- tanda-tanda kenaikan tekanan pada bahagian otak seperti penglihatan kabur, sakit kepala, loya dan telinga berdesing
- sakit perut dan cirit-birit
- pembentukan ruam merah pada kulit
- otot-otot tangan dan kaki berasa lemah
- kencing tak lawas
- jaundis
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- sakit perut, loya, muntah dan cirit-birit
- sakit kepala
- ujian darah fungsi hati menjadi tidak normal
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan ciprofloxacin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ciprofloxacin dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat ulser perut atau usus seperti sucralfate dan antasid
- didanosine
- clozapine
- cyclosporine
- methotrexate
- phenytoin
- probenecid
- ropinirole
- sildenafil
- theophylline
- ubat cair darah seperti warfarin, Coumadin dan Jantoven
- ubat diuretik seperti hydrochlorothiazide, indapamide dan furosemide
- ubat kencing manis seperti insulin, metformin dan sebagainya
- ubat rawatan penyakit kemurungan seperti Citalopram, Escitalopram, Fluoxetine, Paroxetine dan Sertraline
- kortikosteroid seperti prednisolone
- nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen, diclofenac, naproxen, indomethacin dan meloxicam
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.