Apa itu Dapagliflozin?
Dapagliflozin adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan sodium-glucose cotransporter 2 (SGLT2) inhibitor. Ia bertindak dengan cara merencatkan penyerapan semula glukosa di dalam tubul ginjal lalu menghindari paras glukosa di dalam darah daripada meningkat. Tindakan dapagliflozin tidak dikawal oleh pankreas dan sensitiviti tisu terhadap insulin.
Dapagliflozin digunakan untuk:
- mengawal paras glukosa darah di kalangan pesakit kencing manis jenis Type II
- mengurangkan risiko penyakit lemah jantung daripada melarat di kalangan pesakit kencing manis yang juga menghidap penyakit darah tinggi dan hiperlidemia
- mengurangkan risiko kematian di kalangan pesakit yang menghidap lemah jantung
- mengurangkan risiko kerosakan buah pinggang di kalangan pesakit yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan hiperlipidemia
Jenama dapagliflozin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Forxiga.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan dapagliflozin
Dapagliflozin tidak boleh digunakan untuk merawat penyakit kencing manis jenis Type I. Pengambilannya boleh menyebabkan ketoasidosis diabetik iaitu peningkatan paras keton di dalam darah dan air kencing.
Dapagliflozin tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit kencing manis jenis Type II yang mempunyai masalah kegagalan fungsi buah pinggang yang serius
- penyakit genetik buah pinggang polisistik (PKD)
- penyakit buah pinggang yang sedang menjalani terapi imunosupresif
- sejarah alahan semasa pengambilan ubat ini
Pengambilan dapagliflozin boleh menyebabkan pesakit mengalami dehidrasi. Risikonya adalah tinggi di kalangan para pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit buah pinggang
- sedang menggunakan ubat diuretik dan darah tinggi
- berumur 65 tahun dan ke atas
- sedang mengamalkan diet rendah sodium
Pengambilan dapagliflozin juga boleh meningkatkan risiko jangkitan kulat pada alat kelamin.
Untuk memastikan pengambilan dapagliflozin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit kencing manis jenis Type I
- penyakit hati
- penyakit pankreas
- kerap menghidap jangkitan kuman pada saluran kencing
- perubahan pada selera makan yang berpanjangan
- ketagih pada minuman beralkohol
Pengambilan dapagliflozin semasa kehamilan
Kajian pengambilan dapagliflozin oleh haiwan hamil telah menunjukkan anak yang dilahirkan mengalami masalah buah pinggang. Tiada kajian yang terperinci yang pernah dijalankan mengenai pengambilan ubat ini oleh wanita hamil dan kesannya kepada bayi masih tidak jelas. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan.
Pengambilan dapagliflozin semasa penyusuan badan
Tiada kajian terperinci yang pernah dilakukan ke atas pengambilan dapagliflozin semasa penyusuan badan dan kesannya kepada bayi masih tidak jelas.
Oleh itu, dapagliflozin tidak disyorkan untuk diambil oleh wanita yang sedang menyusu badan.
Cara pengambilan dapagliflozin
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Dapagliflozin boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada waktu yang sama setiap hari.
Jangan kunyah atau hancurkan tablet ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.
Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.
Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Pengambilan dapagliflozin boleh mengakibatkan kehadiran gula di dalam air kencing. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sebelum anda menjalani pemeriksaan air kencing.
Sepanjang pengambilan dapagliflozin, doktor akan mengaturkan ujian darah secara berkala bagi memastikan tahap penyakit anda berada dalam keadaan terkawal. Pastikan anda mengikut tarikh temujanji anda dengan betul.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan dapagliflozin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:
- rasa hendak pitam
- tanda-tanda dehidrasi – pening, berasa keliru, cepat dahaga, kurang membuang air kecil
- tanda-tanda ketoacidosis (terlalu banyak keton dalam darah) – loya, muntah, sakit perut, berasa keliru, mengantuk yang teruk dan sesak nafas
- tanda-tanda jangkitan pundi kencing – sakit pada bahagian kemaluan semasa membuang air kecil, air kencing berdarah, sakit pada bahagian pelvis dan pinggang
Namun, kesan sampingan dapagliflozin yang biasa berlaku adalah:
- jangkitan kuman pada pundi kencing
- masalah keputihan pada bahagian kemaluan wanita
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan dapagliflozin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan dapagliflozin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Chloroquine
- Ciprofloxacin
- Delafloxacin
- Enoxacin
- Gatifloxacin
- Gemifloxacin
- Grepafloxacin
- Hydroxychloroquine
- Lanreotide
- Levofloxacin
- Lithium
- Lomefloxacin
- Moxifloxacin
- Norfloxacin
- Octreotide
- Ofloxacin
- Pasireotide
- Sparfloxacin
- Thioctic Acid
- Trovafloxacin
- Acebutolol
- Atenolol
- Betaxolol
- Bisoprolol
- Carteolol
- Carvedilol
- Celiprolol
- Esmolol
- Labetalol
- Levobunolol
- Metipranolol
- Metoprolol
- Nadolol
- Nebivolol
- Oxprenolol
- Penbutolol
- Pindolol
- Practolol
- Propranolol
- Sotalol
- Timolol
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.