Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Desloratadine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Desloratadine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Desloratadine?

Desloratadine adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan antihistamin. Ia bertindak dengan merencatkan pembentukan ikatan antara histamin dan reseptor H1 periferi. Akibatnya tindak balas alahan dan keradangan yang disebabkan oleh histamin dapat disekat. 

Kebaikan desloratadine berbanding dengan ubat antihistamin yang lain ialah ia tidak mengakibatkan rasa mengantuk dan boleh bertindak untuk jangka masa yang lebih lama.

Desloratadine digunakan untuk melegakan simptom-simptom alahan seperti bersin, selsema, mata berair dan kegatalan pada kulit. Oleh itu, ia biasa digunakan untuk merawat penyakit rhinitis, resdung, ekzema, gegata dan asma.

Jenama desloratadine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Aerius, Ajalorin, Avorius, Glendes dan Xynoz.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan desloratadine?

Anda tidak boleh mengambil desloratadine sekiranya anda mempunyai sejarah alahan kepada ubat ini atau loratadine.

Untuk memastikan pengambilan desloratadine adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati

Pengambilan desloratadine semasa kehamilan

Kajian telah menunjukkan pengambilan desloratadine semasa kehamilan tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan oleh wanita hamil.

Pengambilan desloratadine semasa penyusuan badan

Kajian telah menunjukkan desloratadine boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan semasa penyusuan badan.

Cara pengambilan desloratadine

Anda hendaklah mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini dalam dos yang lebih tinggi, lebih rendah atau tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Desloratadine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. 

Jangan kunyah atau hancurkan tablet ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum. 

Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan desloratadine

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • jantung berdebar atau denyutan jantung yang tak teratur
  • badan berasa lesu
  • tangan menggeletar
  • insomnia
  • perubahan emosi seperti rasa gelisah dan keliru
  • mata berasa kering
  • kencing tak lawas
  • rasa mengantuk
  • tekak berasa kering
  • batuk
  • loya
  • sakit kepala 
  • sembelit

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan desloratadine

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan desloratadine dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat tahan sakit jenis opioid seperti tramadol
  • ubat batuk jenis codeine dan hydrocodone
  • cannabis
  • ubat tidur seperti alprazolam, lorazepam dan zolpidem
  • ubat lembut otot seperti carisoprodol dan cyclobenzaprine
  • ubat antihistamine seperti chlorpheniramine dan diphenhydramine

Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar