Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Desvenlafaxine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Desvenlafaxine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Desvenlafaxine?

Desvenlafaxine adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan serotonin-norepinephrine reuptake inhibitor. Ia bertindak dengan cara merencatkan pengambilan semula 2 jenis neurokimia yang terletak di dalam otak iaitu serotonin dan norepinephrine oleh pengangkut neurotransmitter. Akibatnya kesan tindakan serotonin dan norepinephrine dapat diperkuatkan dan dipanjangkan tempohnya.

Desvenlafaxine digunakan untuk merawat masalah kemurungan yang teruk dan kronik. Jenama desvenlafaxine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Pristiq.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Desvenlafaxine?

Anda tidak boleh menggunakan desvenlafaxine sekiranya anda mempunyai sejarah alahan semasa pengambilan ubat ini. 

Anda juga tidak boleh menggunakan desvenlafaxine dalam tempoh 7 hari sebelum atau 14 hari selepas mengambil ubat-ubatan daripada kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti isocarboxazid, linezolid, phenelzine dan tranylcypromine. Interaksi kedua-dua jenis ubat ini boleh memudaratkan kesihatan anda.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tertentu bagi mengelak daripada berlakunya sindrom serotonin. Ubat-ubatan yang boleh berinteraksi dengan desvenlafaxine untuk mengakibatkan sindrom serotonin adalah:

  • ubat-ubatan daripada kumpulan opioid
  • ubat-ubatan jenis stimulant seperti amphetamine, dextramphetamine, methylphenidate, dextroamphetamine dan lisdexamfetamine
  • ubat antidepresan seperti vilazodone, citalopram, sertraline, fluoxetine, trazodone, escitalopram, paroxetine dan venlafaxine
  • ubat rawatan penyakit Parkinson seperti levodopa
  • ubat sakit kepala migrain seperti Rizatriptan

Untuk memastikan pengambilan desvenlafaxine adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit jantung
  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati
  • penyakit tekanan darah tinggi
  • hiperlipidemia
  • gangguan emosi seperti kemurungan dan perasaan untuk membunuh diri
  • penyakit bipolar
  • glaukoma
  • sawan
  • penyakit yang berkaitan dengan sistem pernafasan seperti lelah 
  • paras sodium yang rendah di dalam darah
  • penyakit yang berkaitan dengan gangguan pembekuan darah

Pengambilan desvenlafaxine semasa kehamilan

Kajian menunjukkan pengambilan desvenlafaxine semasa kehamilan boleh membantutkan tumbesaran otak bayi. Tambahan lagi pengambilan desvenlafaxine semasa trimester ketiga kehamilan boleh mengakibatkan bayi yang dilahirkan mengalami sesak nafas dan kesukaran untuk menghisap susu ibu. Oleh itu, pengambilan desvenlafaxine semasa kehamilan hanya diutamakan untuk menyelamatkan kesihatan wanita hamil jika keadaan terdesak walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.

Pengambilan desvenlafaxine semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan desvenlafaxine boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.

Cara pengambilan desvenlafaxine

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Desvenlafaxine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada masa yang sama setiap hari.

Jangan kunyah atau hancurkan ubat anda sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor kerana ia boleh mengakibatkan anda mengalami sindrom withdrawal. Tanda-tanda sindrom withdrawal adalah:

  • perubahan emosi seperti kemurungan atau euforia
  • perasaan untuk membunuh diri
  • pergerakan otot-otot pada anggota badan yang tak terkawal
  • halusinasi
  • mudah berasa keliru dan gelisah

Sepanjang pengambilan ubat ini, anda perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang, hati dan jantung.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan desvenlafaxine

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • serangan sawan
  • perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
  • sakit dan bengkak mata, penglihatan kabur dan kelihatan halo semasa memandang objek bercahaya
  • batuk, sesak nafas dan sakit dada
  • tanda-tanda paras elektrolit sodium rendah di dalam darah seperti sakit kepala, mudah berasa keliru, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan rasa lesu yang teruk

Anda juga harus menghubungi doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut:

  • simptom-simptom sindrom serotonin:
    • rasa gelisah
    • berhalusinasi
    • jantung berdegup laju
    • tangan menggeletar
    • berpeluh dengan banyak
    • otot-otot tangan dan kaki berasa kaku
    • cirit-birit, loya dan muntah 
    • hilang keseimbangan badan semasa berdiri atau berjalan
  • simptom-simptom sindrom withdrawal:
    • perubahan emosi seperti kemurungan atau euphoria
    • mengalami perasaan untuk membunuh diri
    • pergerakan otot-otot pada anggota badan menjadi tak terkawal
    • berhalusinasi
    • mudah berasa keliru dan gelisah

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • pening kepala
  • rasa mengantuk
  • mudah berasa cemas
  • berpeluh dengan banyak
  • loya 
  • sembelit
  • perubahan pada selera makan
  • insomnia
  • mati pucuk

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan desvenlafaxine

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan desvenlafaxine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat-ubatan daripada kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti linezolid, phenelzine, isocarboxazid, tranylcypromine dan selegiline
  • ubat-ubatan daripada kumpulan selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti escitalopram, fluoxetine dan paroxetine
  • ubat-ubatan daripada kumpulan serotonin-norepinephrine reuptake inhibitor (SNRI)  seperti duloxetine dan venlafaxine
  • ubat-ubatan daripada kumpulan tricyclic antidepressant (TCA) seperti nortriptyline, doxepin dan amitriptyline
  • lithium
  • ubat-ubatan daripada kumpulan triptan seperti sumatriptan, almotriptan dan frovatriptan
  • ubat-ubatan analgesik seperti fentanyl, oxycodone dan tramadol
  • buspirone
  • ubat-ubatan jenis stimulant seperti methylphenidate, lisdexamfetamine dan amphetamine
  • ubat cair darah seperti warfarin dan aspirin
  • ubat-ubatan daripada kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti ibuprofen, naproxen dan celecoxib
  • ubat diuretik seperti hydrochlorothiazide, chlorthalidone dan spironolactone
  • ubat lembut otot seperti cyclobenzaprine dan metaxalone
  • ubat-ubatan daripada kumpulan ergotamine seperti dihydroergotamine, ergotamine/
  • caffeine dan ergotamine tartrate
  • phentermine

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar