Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Dextromethorphan | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Dextromethorphan | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Dextromethorphan?

Dextromethorphan adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan antitussive. Ia bertindak merencatkan reflex batuk dengan cara mengaktifkan reseptor sigma opioid yang terletak pada pusat pengawalan batuk di otak. 

Dextromethorphan digunakan untuk merawat masalah batuk kering yang disebabkan oleh demam selsema dan resdung. Namun ia tidak sesuai digunakan untuk merawat batuk berkahak.

Jenama dextromethorphan yang boleh diperolehi di pasaran adalah Axcel Dextromethorphan, Nospan, Pusiran, Tussidex Forte dan Tussils 5.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan dextromethorphan?

Dextromethorphan tidak sesuai diambil oleh kanak-kanak yang berumur 4 tahun dan ke bawah.

Elakkan penggunaan dextromethorphan dalam tempoh 14 hari daripada waktu terakhir anda menggunakan ubat kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti isocarboxazid, phenelzine, rasagiline, selegiline, tranylcypromine dan suntikan methylene blue. Interaksi di antara kedua-dua jenis ubat ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.

Sekiranya anda menghidap batuk yang disebabkan oleh penyakit bronkitis kronik dan emfisema, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan dextromethorphan kerana sekiranya ia disalahgunakan, anda mungkin berisiko untuk mendapat jangkitan paru-paru.

Phenylalanine mungkin terkandung di dalam sirup dextromethorphan kerana ia biasa digunakan sebagai gula sintetik untuk membuatkan ubat batuk berasa manis. Phenylalanine tidak sesuai untuk digunakan oleh pesakit yang menghidap penyakit phenylketonuria (PKU). Oleh itu, periksa bahan-bahan yang terkandung di dalam ubat batuk sebelum anda menggunakannya.

Penggunaan dextromethorphan semasa kehamilan

Tiada kajian terperinci yang telah dijalankan mengenai pengambilan dextromethorphan semasa kehamilan. Namun dextromethorphan telah digunakan sekian lama oleh wanita hamil tanpa sebarang kes kecacatan atau masalah kesihatan pada bayi. Oleh itu, penggunaannya semasa kehamilan dianggap selamat.

Penggunaan dextromethorphan semasa penyusuan badan

Dextromethorphan boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.

Cara pengambilan dextromethorphan

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Dextromethorphan harus diambil dalam keadaan selepas makan kerana pengambilannya sebelum makan boleh menyebabkan perut kembung.

Jangan berikan sirup dextromethorphan kepada kanak-kanak yang berumur 4 tahun dan ke bawah kerana ia boleh menyebabkan serangan sawan, jantung berdegup laju dan kematian.

Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.

Anda mungkin perlu menghentikan pengambilan dextromethorphan sekiranya anda dijadualkan untuk menjalani pembedahan yang memerlukan penggunaan ubat bius. Oleh itu, maklumkan kepada doktor pakar bius sekiranya anda telah mengambilnya dalam tempoh seminggu sebelum tarikh pembedahan anda.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan dextromethorphan

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • pening kepala yang teruk
  • rasa gelisah yang berpanjangan
  • berhalusinasi
  • mudah berasa keliru
  • sesak nafas

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • pening kepala
  • perut kembung
  • sakit perut

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan dextromethorphan

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan dextromethorphan dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar