Apa itu Digoxin?
Digoxin adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam Kumpulan V ubat antiaritmia dan ia juga merupakan satu agen inotropik. Ia bertindak dengan cara memangkinkan pertukaran di antara ion sodium dengan ion kalsium pada membran otot jantung. Tindak balas ini akan meningkatkan paras ion kalsium di dalam sel otot jantung lalu meningkatkan kekuatan pengecutan otot jantung dan memperlahankan kadar denyutan jantung.
Digoxin digunakan untuk merawat penyakit lemah jantung dan atrial fibrillation (pengecutan yang tak mengikut ritma pada bahagian atrium jantung).
Jenama digoxin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Lanoxin, Cardoxin, Lanoxicaps, Digox dan Digitek.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan digoxin?
Anda tidak boleh mengambil digoxin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan semasa pengambilannya
- menghidap penyakit ventricular fibrillation (pengecutan bahagian ventrikel jantung yang tidak mengikut ritma)
Untuk memastikan pengambilan digoxin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- denyutan jantung yang lemah seperti penyakit AV block atau sick sinus syndrome
- simptom-simptom serangan jantung seperti sakit dada pada sebelah kiri yang merebak ke bahagian leher, rahang dan bahu kiri, sesak nafas, pening kepala dan berpeluh
- mudah berasa pitam
- menghidap penyakit Wolff-Parkinson-White syndrome
- penyakit buah pinggang
- penyakit hipertiroid atau hipotiroid
- ketidakseimbangan paras elektrolit di dalam darah
- sedang mengalami dehidrasi akibat muntah dan cirit-birit
Pengambilan digoxin semasa kehamilan
Pengambilan digoxin biasanya diteruskan sekiranya pesakit telah menggunakannya sebelum hamil kerana jika ubat ini dihentikan secara tiba-tiba, penyakit jantung pesakit akan kembali dan ia akan membahayakan kesihatan pesakit dan bayi. Namun dos ubat akan diturunkan bagi mengelak daripada berlakunya kesan sampingan ubat. Pengambilannya juga perlu dipantau oleh doktor.
Bagi pesakit yang perlu memulakan pengambilannya semasa hamil, dos yang paling rendah dan efektif akan dimulakan dan keadaan kesihatan pesakit akan dipantau dengan teliti oleh doktor.
Pengambilan digoxin semasa penyusuan badan
Digoxin boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan adalah selamat.
Cara pengambilan digoxin
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Digoxin boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada masa yang sama setiap hari.
Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun anda telah berasa sihat kerana ia boleh menyebabkan anda mengalami serangan jantung dan kematian.
Sepanjang pengambilan digoxin, tekanan darah dan kadar denyutan jantung anda akan diperiksa dari masa ke semasa. Ujian darah dan pemeriksaan ECG juga akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan digoxin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- kadar denyutan jantung yang tidak teratur
- najis berdarah atau berwarna hitam semasa membuang air besar
- bengkak atau berasa sakit pada payu dara
- perubahan emosi atau tingkah laku seperti berasa keliru, cemas dan berhalusinasi
- penglihatan kabur atau berwarna kuning
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya
- cirit-birit
- pening atau sakit kepala
- badan berasa lesu
- perubahan emosi seperti berasa murung atau cemas
- pembentukan ruam merah pada kulit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan digoxin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan digoxin dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- erythromycin
- tetracycline
- amiodarone
- ubat kumpulan calcium channel blocker seperti verapamil, nifedipine, amlodipine
- antasid
- hawthorn
- likuoris hitam
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.