Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Diltiazem | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Diltiazem | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Diltiazem?

Diltiazem adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan IV ubat antiaritmia. Ia bertindak dengan cara merencatkan kemasukan ion kalsium ke dalam sel otot jantung dan otot licin salur darah semasa fasa depolarisasi membran. Akibatnya kandungan ion kalsium di dalam sel otot menjadi kurang lalu menghindari otot kardiak daripada bekerja kuat. Ia juga mengendurkan otot licin salur darah dan ini menyebabkan salur darah mengembang lalu menurunkan tekanan darah.

Diltiazem digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi, sakit dada angina dan denyutan jantung yang tak teratur (aritmia jantung).

Jenama diltiazem yang boleh diperolehi di pasaran adalah Cardil, Cascor-XL, Herbesser 30, Herbesser 60, Herbesser 90 SR, Herbesser R100, Herbesser R200 dan Mono-Tildiem SR.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan diltiazem?

Anda tidak boleh menggunakan diltiazem sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan semasa pengambilan ubat ini
  • denyutan jantung yang lemah seperti penyakit AV block atau sick sinus syndrome
  • tekanan darah rendah
  • penyakit lemah jantung

Untuk memastikan pengambilan diltiazem adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati
  • penyakit lemah jantung
  • sedang menggunakan ubat digoxin dan ubat-ubatan daripada kumpulan beta blocker seperti atenolol, carvedilol, metoprolol, propranolol dan sotalol

Pengambilan diltiazem semasa kehamilan

Kajian pengambilan diltiazem oleh haiwan hamil telah menunjukkan anak yang dilahirkan mengalami kecatatan. Ia juga dipercayai boleh melemahkan peredaran darah pada uri lalu mengakibatkan bayi tidak dapat menerima oksigen dan nutrien yang cukup daripada ibu. 

Namun tiada kajian terperinci yang pernah dilakukan ke atas pengambilannya oleh wanita hamil. Oleh itu, pengambilan diltiazem semasa kehamilan tidak disyorkan kecuali sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih sesuai yang dapat membantu mengawal keadaan kesihatan pesakit.

Pengambilan diltiazem semasa penyusuan badan

Diltiazem mudah meresap ke dalam susu ibu dalam kuantiti yang banyak dan ia berisiko tinggi untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.

Cara pengambilan diltiazem

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Diltiazem boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Namun pengambilan tablet jenis extended-release harus diambil dalam keadaan perut kosong.

Jangan hancurkan atau kunyah ubat jenis extended-release sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun anda telah berasa sihat kerana ia boleh menyebabkan penyakit anda kembali dalam keadaan yang lebih teruk.

Sepanjang pengambilan diltiazem, tekanan darah dan kadar denyutan jantung anda akan diperiksa dari masa ke semasa. Ujian darah dan pemeriksaan ECG juga akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan diltiazem

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • kadar denyutan jantung yang perlahan
  • jantung berdebar walaupun dalam keadaan rehat
  • pening kepala dan rasa hendak pitam
  • tanda-tanda air berlebihan di dalam badan seperti sesak nafas, bengkak pada kedua-dua belah kaki dan kenaikan berat badan secara mendadak
  • tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • pening kepala
  • badan berasa lesu
  • bengkak pada kedua-dua belah kaki
  • loya
  • sakit kepala
  • pembentukan ruam merah pada kulit

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan diltiazem

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan diltiazem dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat bius seperti midazolam and alfentanil
  • ubat-ubatan daripada kumpulan benzodiazepine seperti midazolam dan triazolam
  • buspirone
  • ubat-ubatan daripada kumpulan beta-blocker seperti atenolol, carvedilol, metoprolol, propranolol dan sotalol
  • Carbamazepine
  • Cimetidine
  • Clonidine
  • Digitalis
  • Quinidine
  • Rifampin
  • ubat-ubatan daripada kumpulan statin seperti atorvastatin, lovastatin, simvastatin dan rosuvastatin

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar