Apa itu Doxycycline?
Doxycycline adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik jenis tetracycline. Ia biasanya digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti jerawat, jangkitan saluran kencing, usus, sistem pernafasan, mata, penyakit gonorrhea, clamydia, syphilis, periodontitis (radang gusi) dan lain-lain. Doxycycline bertindak dengan merencatkan pembiakan bakteria dan keradangan pada bahagian badan yang dijangkiti.
Jenama doxycycline yang boleh diperolehi di pasaran adalah Domycine, Doxycillin, Doxymycin, Medomycin, Pharmaniaga Doxycycline dan Vibramycin.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Doxycycline?
Anda tidak boleh mengambil ubat ini jika anda alah kepada antibiotik yang berasal daripada kumpulan tetracycline seperti doxycycline, demeclocycline, minocycline dan tigecycline.
Untuk memastikan doxycycline selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda menghidap masalah:
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
- asma
- tekanan darah tinggi dalam otak seperti benign intracranial hypertension
- sedang mengambil ubat-ubatan berikut iaitu isotretinoin, ubat sawan atau ubat cair darah seperti warfarin (Coumadin)
Doxycycline tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak yang berumur di bawah 8 tahun kerana ia boleh menyebabkan warna gigi mereka bertukar menjadi kuning atau kelabu secara kekal.
Pengambilan Doxycycline semasa mengandung
Pengambilan Doxycycline semasa mengandung boleh menjejaskan perkembangan gigi dan tulang bayi. Pengambilannya semasa separuh terakhir kehamilan juga boleh menyebabkan perubahan pada warna gigi kekal bayi di kemudian hari. Oleh itu, beritahu doktor jika anda hamil atau merancang untuk hamil.
Doxycycline juga boleh mengakibatkan pil perancang keluarga menjadi kurang berkesan. Oleh itu, sekiranya anda sedang mengambil pil perancang keluarga, bincanglah dengan doktor anda mengenai kaedah alternatif lain untuk mencegah kehamilan seperti penggunaan kondom atau IUCD (intrauterine contraceptive device).
Pengambilan Doxycycline semasa penyusuan badan
Doxycycline boleh meresap ke dalam susu ibu dan boleh menjejaskan perkembangan tulang dan gigi pada bayi. Tahap penyerapannya masih tidak diketahui. Oleh itu, elakkan pengambilan Doxycycline semasa penyusuan badan.
Cara pengambilan Doxycycline
Ambil Doxycycline seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Ambil Doxycycline dengan segelas penuh air. Elakkan dehidrasi semasa pengambilan ubat ini.
Kebanyakan jenama Doxycyline boleh diambil dengan makanan atau susu (jika ubat ini boleh mengganggu kesihatan perut anda). Jenama Doxycycline yang berbeza mempunyai arahan yang berbeza tentang pengambilannya iaitu sama ada perlu diambil semasa makan atau sebelum makan. Oleh itu, baca arahan pengambilan ubat pada kertas preskipsi dengan betul.
Pastikan Doxycycline disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba atau kelembapan bagi mengelak perubahan pada komposisi kimia ubat tersebut.
Kesan sampingan Doxycycline
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Doxycycline boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami:
- sakit perut yang teruk dan cirit-birit
- sakit dan bengkak pada tekak
- masalah untuk menelan
- sakit dada, degupan jantung yang tidak teratur, sesak nafas
- kencing tak lawas
- demam menggigil, bengkak pada kelenjar, bisa badan, badan berasa lesu, kulit kelihatan pucat
- kulit lebam
- hidung atau kencing berdarah
- sakit atau pening kepala yang teruk, telinga berdesing,
- penglihatan kabur, sakit di bahagian belakang mata
- hilang selera makan, sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang badan, berasa letih, mengalami loya atau muntah, air kencing berwarna gelap dan jaundis