Apa itu Empagliflozin?
Empagliflozin adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan sodium-glucose cotransporter-2 inhibitor. Ia bertindak dengan cara merencatkan penyerapan semula glukosa pada bahagian tubul ginjal. Tindak balas ini akan menyebabkan lebih banyak glukosa dikumuhkan melalui air kencing.
Empagliflozin digunakan untuk membantu mengawal paras glukosa di dalam darah bagi pesakit yang menghidap penyakit kencing manis jenis Type 2. Pengambilannya biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan senaman.
Dalam rawatan diabetes, empagliflozin membantu untuk mengurangkan risiko pesakit kencing manis daripada menghidap serangan jantung, angin ahmar dan lemah jantung.
Jenama empagliflozin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Jardiance.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil empagliflozin?
Anda tidak boleh menggunakan empagliflozin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit buah pinggang yang serius atau sedang menjalani rawatan dialisis
Untuk memastikan pengambilan empagliflozin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit hati atau buah pinggang
- jangkitan kuman pada pundi kencing atau kencing tak lawas
- jangkitan pada bahagian genital (zakar atau vagina)
- penyakit pancreas seperti pancreatitis
- ketagih minuman beralkohol
- sedang menjalani diet rendah garam
- berumur 65 tahun ke atas
Pengambilan empagliflozin semasa mengandung
Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa empagliflozin boleh merosakkan buah pinggang anak dalam kandungan. Memandangkan kajiannya ke atas wanita hamil tidak banyak dilakukan dan kesannya ke atas kandungan masih kurang jelas, maka empagliflozin tidak boleh diambil semasa tempoh kehamilan di dalam trimester kedua dan ketiga.
Namun, pengambilan empagliflozin semasa trimester pertama kehamilan hanya disyorkan sekiranya ia jelas membantu untuk mengawal paras glukosa darah dan tiada kaedah rawatan lain yang dapat dilaksanakan.
Pengambilan empagliflozin semasa penyusuan badan
Tiada kajian terperinci yang pernah dilakukan ke atas pengambilan empagliflozin semasa penyusuan badan dan kesannya kepada bayi masih tidak jelas.
Oleh itu, empagliflozin tidak disyorkan untuk diambil oleh wanita yang sedang menyusu badan.
Cara pengambilan empagliflozin
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Empagliflozin boleh diambil sebelum atau selepas makan.
Jangan hancurkan, kunyah atau pecahkan ubat ini sebelum gunakannya kerana ia boleh melemahkan kesan ubat. Telan ubat ini sebiji terus dengan air kosong.
Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.
Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Sepanjang tempoh pengambilan empagliflozin, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap pengawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan empagliflozin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:
- rasa hendak pitam
- tanda-tanda dehidrasi – pening, berasa keliru, cepat dahaga, kurang membuang air kecil
- tanda-tanda ketoacidosis (terlalu banyak asid dalam darah) – loya, muntah, sakit perut, berasa keliru, mengantuk yang teruk dan sesak nafas
- tanda-tanda jangkitan pundi kencing – sakit pada bahagian kemaluan semasa membuang air kecil, air kencing berdarah, sakit pada bahagian pelvis dan pinggang
Namun, kesan sampingan empagliflozin yang biasa berlaku adalah:
- jangkitan kuman pada pundi kencing
- masalah keputihan pada bahagian kemaluan wanita
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan empagliflozin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan empagliflozin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- insulin dan ubat kencing manis jenis tablet
- ubat diuretik seperti chlorthalidone, hydrochlorothiazide, metolazone dan indapamide
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.