Apa itu Enoxaparin?
Enoxaparin adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan heparin. Ia bertindak dengan cara meneutralkan faktor koagulasi darah terutamanya Faktor Xa lalu menghindari pembentukan darah beku melalui kesan rencatan pada aktiviti platelet-dependent prothrombinase. Oleh itu, enoxaparin berfungsi sebagai ubat cair darah.
Enoxaparin digunakan untuk merawat penyakit thrombosis vena dalam (deep vein thrombosis) iaitu penyumbatan salur darah vena pada bahagian kaki yang disebabkan oleh pembentukan thrombosis. Ia juga digunakan untuk merawat penyakit embolisme pulmonari iaitu penyumbatan salur darah paru-paru yang disebabkan oleh pembentukan gumpalan darah yang dinamakan embolisme.
Jenama enoxaparin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Clexane, Crusia dan Inhixa.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan enoxaparin?
Anda tidak boleh menggunakan enoxaparin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada enoxaparin, heparin atau benzyl alkohol
- masalah perdarahan yang aktif atau tak terkawal
- paras darah platelet yang rendah
Pengambilan enoxaparin boleh meningkatkan risiko perdarahan sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit hematologi yang boleh menyebabkan perdarahan yang luar biasa seperti Hemofilia A, Hemofilia B dan penyakit von Willebrand
- sejarah angin ahmar yang disebabkan perdarahan otak
- jangkitan pada otot dalam jantung atau endocarditis
- sejarah perdarahan perut atau usus seperti penyakit ulser perut, ulcerative colitis dan sebagainya
- baru menjalani pembedahan otak, mata dan tulang belakang
- sedang mengambil ubat-ubatan tertentu seperti ubat daripada kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug dan ubat cair darah seperti warfarin dan Coumadin
Untuk memastikan pengambilan enoxaparin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit yang berkaitan darah seperti Hemofilia A, Hemofilia B dan penyakit von Willebrand
- penyakit tekanan darah tinggi yang tak terkawal
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- penyakit mata yang disebabkan oleh komplikasi penyakit kencing manis
- penyakit ulser perut dan usus
- paras darah platelet yang rendah
Pengambilan enoxaparin semasa kehamilan
Kajian menunjukkan enoxaparin tidak boleh merentasi masuk ke dalam sistem peredaran bayi kerana ia tidak boleh meresap ke dalam sistem peredaran uri. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan adalah selamat.
Pengambilan enoxaparin semasa penyusuan badan
Tiada kajian terperinci yang telah dijalankan mengenai pengambilan enoxaparin semasa penyusuan badan dan kesannya kepada bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan enoxaparin oleh wanita hamil tidak disyorkan kecuali sekiranya keadaan kesihatan pesakit jelas memerlukan penggunaan ubat ini.
Cara pengambilan enoxaparin
Enoxaparin biasanya diberikan kepada pesakit dalam bentuk suntikan ke dalam lapisan lemak yang terletak di antara kulit dan otot (subcutanous) atau infusi ke dalam salur darah vena.
Infusi ke dalam salur darah biasanya akan diberikan oleh doktor atau jururawat semasa di klinik atau hospital.
Cara pengambilan suntikan secara subcutaneous adalah seperti berikut:
- Lap kawasan kulit yang hendak disuntik dengan swap alkohol. Jangan gosok kawasan kulit tersebut kerana ia boleh meningkatkan risiko untuk berlaku lebam dan pendarahan selepas suntikan diberi.
- Buka penutup jarum perlahan-lahan agar jarum tidak tergeser dengan penutup.
- Lipat sedikit kawasan kulit yang hendak disuntik dengan kedua-dua jari anda. Biasanya lebih mudah menggunakan ibu jari dan dari telunjuk. Tujuannya untuk menebalkan kawasan lemak yang terletak di bawah kulit.
- Arahkan jarum suntikan tegak ke arah kulit dan masukkan jarum ubat terus ke dalam kulit pada sudut 45-90 darjah betul-betul ke dalam lapisan lemak yang berada di bawah kulit.
- Tolakkan plunger pada belakang picagari ubat secara perlahan-lahan sehingga semua ubat telah habis.
- Apabila semua heparin telah disuntik, perlahan-lahan tarik jarum pada sudut yang sama daripada kulit sambil melepaskan lipatan kulit.
- Tekan kawasan yang telah disuntik dengan kapas bersih untuk 1-2 minit. Sekali lagi, jangan gosok kawasan kulit tersebut.
Gunakan enoxaparin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini pada dos yang lebih besar atau lebih kecil dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Sekiranya anda perlu menjalani pembedahan, prosedur yang berkaitan dengan gigi dan prosedur-prosedur di klinik atau hospital seperti pengambilan darah, tolong maklumkan kepada doktor bahawa anda sedang menggunakan enoxaparin.
Anda juga tidak boleh mengambil ubat-ubatan ini semasa pengambilan enoxaparin kerana ia boleh meningkatkan risiko berlakunya perdarahan dalaman:
- kumpalan ubat tahan sakit jenis non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti ibuprofen, mefenamic acid (ponstan), diclofenac sodium (voltaren), indomethacin dan meloxicam
- ubat cair darah jenis warfarin, Coumadin dan Jantoven
- digitalis
- tetracycline
- nicotine
- antihistamine
Pastikan enoxaparin disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan enoxaparin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Sila hubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut semasa pengambilan enoxaparin iaitu:
- tanda-tanda perdarahan pada otak seperti tangan dan kaki berasa kebas sebelah secara mengejut, pertuturan menjadi pelat dan penglihatan menjadi kabur
- pembentukan ruam merah dan lebam pada kulit
- tanda-tanda perdarahan yang luar biasa seperti gusi dan hidung berdarah
- tanda-tanda perdarahan pada perut dan usus seperti najis berdarah atau berwarna hitam dan muntah berdarah
- batuk berdarah
- perdarahan haid yang berpanjangan
- air kencing berdarah
- tanda-tanda anemia seperti kulit kelihatan pucat, badan berasa sangat lesu, sesak nafas, jantung mudah berdebar dan kerap berasa hendak pitam
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya
- cirit-birit
- mudah berasa keliru
- sakit, bengkak dan lebam pada bahagian kulit yang disuntik
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan enoxaparin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan enoxaparin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- abciximab
- anagrelide
- cilostazol
- clopidogrel
- dipyridamole
- eptifibatide
- ticlopidine
- tirofiban
- alteplase
- reteplase
- tenecteplase
- urokinase
- apixaban
- argatroban
- bivalirudin
- dabigatran
- desirudin
- fondaparinux
- lepirudin
- rivaroxaban
- tinzaparin
- heparin
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.