Apa itu Entecavir?
Entecavir adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan nucleoside reverse transcriptase inhibitor (NRTI). Ia bertindak sebagai analog kepada guanosine nucleoside untuk merencatkan aktiviti HBV polymerase. Tindak balas ini akan menyebabkan replikasi virus Hepatitis B direncatkan.
Entecavir digunakan untuk merawat jangkitan kronik Hepatitis B. Walau bagaimanapun, rawatan dengan ubat ini tidak menjaminkan penyembuhan secara penuh. Ia juga tidak dapat menghindari daripada berlakunya komplikasi jangkitan kronik Hepatitis B iaitu sirosis hati dan kanser hati.
Jenama entecavir yang boleh diperolehi di pasaran adalah Baraclude, Entecavir Sandoz, Entecavir Stella dan Hebecavir.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan entecavir?
Anda tidak boleh mengambil entecavir sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- menghidap penyakit HIV dan tidak menerima sebarang rawatan
Anda perlu menjalani ujian saringan HIV sebelum memulakan pengambilan ubat ini. Pengambilan entecavir boleh mengakibatkan virus HIV menjadi kebal kepada ubat-ubatan bagi rawatan HIV dan AIDS.
Untuk memastikan pengambilan entecavir adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- jangkitan HIV dan AIDS
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- pernah menjalani pembedahan organ hati
- sedang mengambil ubat lamivudine dan telbivudine
Anda berisiko untuk mendapat asidosis laktik sepanjang tempoh pengambilan ubat ini. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut:
- nafas berbau buah
- sesak nafas
- badan berasa sangat letih
- otot badan berasa bisa dan mengalami kekejangan
- fikiran berasa keliru
- sakit perut dan cirit-birit
- sakit kepala
- jantung berdebar
- jaundis
Pengambilan entecavir semasa kehamilan
Tiada kajian terperinci yang pernah dijalankan ke atas pengambilan entecavir oleh wanita hamil dan kesan sampingannya kepada bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan entecavir semasa kehamilan hanya diutamakan untuk menyelamatkan kesihatan pesakit jika keadaan terdesak walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Pengambilan entecavir semasa penyusuan badan
Tiada kajian terperinci yang pernah dijalankan ke atas pengambilan entecavir semasa penyusuan badan dan kesan sampingannya kepada bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilannya oleh wanita yang menyusu badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan entecavir
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Entecavir harus diambil dalam keadaan 2 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada masa yang sama setiap hari.
Jangan hentikan pengambilan ubat ini tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun simptom anda telah pulih bagi mengelak penyakit anda daripada berulang atau melarat secara senyap.
Anda juga tidak dinasihatkan untuk mengambil minuman beralkohol sepanjang tempoh rawatan dengan menggunakan ubat ini.
Anda perlu menjalani ujian darah secara berkala sepanjang tempoh rawatan bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan entecavir
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- bisa otot yang teruk dan berpanjangan
- sesak nafas
- badan berasa sejuk
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- kelesuan yang berpanjangan
- sakit perut dan muntah
- kadar denyutan jantung yang laju dan tidak teratur
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya
- pening atau sakit kepala
- badan berasa lesu
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan entecavir
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan entecavir dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- betibeglogene autotemcel
- elivaldogene autotemcel
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.