Apa itu Ephedrine?
Ephedrine adalah sejenis ubat generik yang digunakan untuk melegakan simptom-simptom penyakit lelah seperti sesak nafas, dada ketat dan nafas berbunyi. Ia juga digunakan untuk merawat masalah peredaran darah lemah yang disebabkan oleh tekanan darah rendah.
Ephedrine bertindak pada sistem saraf simpatetik dengan meningkatkan aktiviti norepinephrine pada reseptor α dan reseptor β sistem saraf adrenergik. Tindak balas ini akan menyebabkan bengkak pada dinding mukosa sistem pernafasan menyusut, salur darah mengecut dan pengembangan salur pernafasan pada paru-paru.
Jenama ephedrine yang boleh diperolehi di pasaran adalah CCMD Ephedrine dan DBL Ephedrine.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan ephedrine?
Anda tidak boleh mengambil ephedrine sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- sesak nafas yang belum disahkan lelah oleh doktor
- pernah mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital kerana penyakit lelah yang serius
Untuk memastikan pengambilan ephedrine adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- glaukoma
- penyakit kencing manis
- pembengkakan kelenjar prostat
- penyakit kelenjar adrenal
- penyakit tekanan darah tinggi
- penyakit hipertiroid
- pernah menghidap angin ahmar, sawan atau lelah yang teruk
- penyakit yang berkaitan dengan salur darah seperti penyakit Raynaud
Elakkan penggunaan ephedrine dalam tempoh 14 hari daripada waktu terakhir anda menggunakan ubat kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti isocarboxazid, phenelzine, rasagiline, selegiline, tranylcypromine dan suntikan methylene blue. Interaksi di antara kedua-dua jenis ubat ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.
Pengambilan ephedrine semasa kehamilan
Tiada kajian terperinci yang pernah dijalankan ke atas pengambilan ephedrine semasa kehamilan. Namun ia telah diambil secara meluas oleh wanita hamil tanpa berlakunya sebarang kesan sampingan kepada bayi. Oleh itu, pengambilan ephedrine semasa kehamilan adalah selamat.
Pengambilan ephedrine semasa penyusuan badan
Tiada kajian terperinci yang pernah dijalankan ke atas pengambilan ephedrine semasa penyusuan badan. Namun terdapat kes yang mana pengambilannya menyebabkan bayi mengalami masalah tidur dan kerap meragam. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan ephedrine
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Ephedrine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Namun sekiranya anda mudah mengalami masalah perut kembung, pengambilannya selepas makan lebih disyorkan.
Ephedrine boleh menyebabkan pening kepala. Oleh itu, elakkan pengambilannya semasa memandu atau mengendalikan jentera berat dan berbahaya.
Pastikan anda menghubungi doktor sekiranya simptom anda tidak pulih selepas seminggu menggunakan ubat ini.
Ubat ini boleh menaikkan paras glukosa darah. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda perlu menjalani pemeriksaan darah.
Ephedrine mungkin perlu diambil pada dos rendah oleh warga emas kerana golongan tersebut lebih mudah mendapat kesan sampingan ubat.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan ephedrine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan ephedrine adalah:
- pening kepala
- sakit kepala
- loya
- sakit perut dan perut kembung
- tangan menggeletar
- perubahan emosi seperti berasa cemas dan gelisah
- hilang selera makan
- insomnia
- penglihatan kabur
- jantung berdebar
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan ephedrine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ephedrine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat-ubatan kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti isocarboxazid, phenelzine, rasagiline, selegiline, tranylcypromine dan suntikan methylene blue
- ubat-ubatan kumpulan beta-blocker seperti atenolol, metoprolol, bisoprolol dan propranolol
- ubat-ubatan untuk rawatan penyakit darah tinggi
- ubat-ubatan kumpulan tricyclic antidepressant seperti amitriptyline, amoxapine dan imipramine
- ubat-ubatan kumpulan diuretik seperti furosemide, hydrochlorothiazide, spironolactone dan metolazone
- digoxin
- atropin
- theophylline
- oxytocin
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.