Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Eplerenone | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Eplerenone | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Eplerenone?

Eplerenone adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan diuretik penjimatan kalium dan aldosterone receptor antagonist. Ia bertindak dengan cara menghalang hormon aldosteron daripada mengikat kepada reseptor aldosteron. Tindak balas ini akan mengakibatkan penyerapan semula sodium pada tubul ginjal direncatkan. 

Eplerenone digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi. Ia juga membantu untuk mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung.

Jenama eplerenone yang boleh diperolehi di pasaran adalah Inspra.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan eplerenone?

Anda tidak boleh mengambil eplerenone sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini
  • paras elektrolit potassium yang tinggi di dalam darah
  • penyakit buah pinggang yang serius
  • kehadiran protein di dalam air kencing disebabkan oleh penyakit kencing manis jenis Type 2 

Untuk memastikan pengambilan eplerenone adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang
  • penyakit kencing manis
  • penyakit hati
  • hiperlipidemia
  • sedang mengambil ubat darah tinggi 

Pengambilan eplerenone semasa kehamilan

Tiada kajian terperinci yang pernah dijalankan ke atas pengambilan eplerenone semasa kehamilan dan kesannya kepada bayi masih tidak diketahui. Oleh itu, pengambilan eplerenone semasa kehamilan hanya diutamakan untuk menyelamatkan kesihatan wanita hamil jika keadaan terdesak walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.

Pengambilan eplerenone semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan eplerenone boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilan eplerenone semasa penyusuan badan dianggap selamat.

Cara pengambilan eplerenone

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Eplerenone boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada waktu yang sama setiap hari.

Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun keadaan kesihatan anda berasa dalam keadaan terkawal kerana tindakan ini boleh mengakibatkan penyakit anda kembali atau menjadi lebih teruk.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan eplerenone

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan eplerenone adalah:

  • pening kepala atau rasa hendak pitam
  • muntah dan cirit-birit
  • kencing tak lawas
  • denyutan jantung yang tak teratur
  • sesak nafas
  • bengkak pada kedua-dua belah kaki
  • badan berasa letih

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan eplerenone

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan eplerenone dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • nefazodone
  • suplemen yang mengandungi potassium
  • antibiotik jenis clarithromycin dan telithromycin
  • ubat antifungus seperti itraconazole dan ketoconazole
  • ubat-ubatan kumpulan diuretik seperti amiloride, spironolactone dan triamterene
  • ubat-ubatan untuk rawatan penyakit HIV/AIDS seperti indinavir, nelfinavir, ritonavir dan saquinavir

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar