Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Epoetin alfa | Kegunaan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Epoetin alfa | Kegunaan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Epoetin alfa?

Epoetin alfa adalah sejenis protein yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi rekombinasi hormon erythropoietin manusia. Ia merangsang pembentukan darah merah oleh sumsum tulang.

Epoetin alfa digunakan untuk merawat masalah anemia pada pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit kanser dan sedang menerima rawatan ubat kemoterapi
  • penyakit buah pinggang yang kronik
  • penyakit HIV dan sedang menerima rawatan dengan ubat zidovudine
  • pesakit yang telah menjalani pembedahan dan berisiko tinggi untuk menerima transfusi darah

Jenama epoetin alfa yang boleh diperolehi di pasaran adalah Eprex dan Erysaa.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan epoetin alfa?

Pengambilan epoetin alfa boleh meningkat risiko untuk menghidap serangan jantung dan angin ahmar. Ia juga boleh merangsang tumbesaran kanser yang telah ada di dalam badan. 

Anda tidak boleh mengambil epoetin alfa sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan semasa pengambilannya
  • penyakit tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
  • pernah mengalami aplasia darah merah semasa menerima rawatan dengan epoetin alfa
  • sedang mengandung dan menyusu badan semasa menggunakan epoetin alfa jenis multi-dose

Sekiranya anda sedang menghidap penyakit kanser, pastikan anda bincang dengan doktor mengenai pengambilan epoetin alfa kerana ubat ini boleh mengakibatkan penyakit kanser menjadi melarat.

Untuk memastikan pengambilan epoetin alfa adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit jantung
  • penyakit tekanan darah tinggi
  • penyakit sawan
  • penyakit buah pinggang yang serius
  • phenylketonuria (PKU)

Pengambilan epoetin alfa semasa kehamilan

Tiada kajian yang mencukupi yang telah dijalankan ke atas pengambilan epoetin alfa semasa kehamilan dan kesan ubat ini kepada kesihatan bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilannya tidak disyorkan melainkan dalam keadaan terdesak. Namun pengambilan epoetin alfa jenis multi-dose yang mengandungi benzyl alkohol tidak disyorkan langsung.

Pengambilan epoetin alfa semasa penyusuan badan

Tiada kajian pengambilan epoetin alfa semasa penyusuan badan yang telah dijalankan secara terperinci dan kesan sampingannya kepada bayi masih kurang jelas. Namun ia telah digunakan secara meluas untuk merawat masalah anemia yang teruk selepas bersalin tanpa berlakunya sebarang masalah kesihatan kepada bayi. Oleh itu, pengambilan epoetin alfa semasa penyusuan badan dianggap selamat. Namun pengambilan epoetin alfa jenis multi-dose yang mengandungi benzyl alkohol tidak disyorkan langsung.

Cara pengambilan epoetin alfa

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Epoetin alfa boleh diambil dalam bentuk suntikan subkutaneous (suntikan ke dalam lapisan bawah kulit) atau intravenous (suntikan melalui salur darah vena). Anda akan diajar oleh doktor atau jururawat mengenai cara melakukan suntikan jenis subkutaneous secara sendiri. Suntikan jenis intravenous biasanya dilakukan oleh doktor atau jururawat di klinik atau hospital.

Cara melakukan suntikan subkutaneous:

  1. Bersihkan bahagian kulit yang hendak disuntik dengan menggunakan swab alkohol.
  2. Buka penutup jarum dan halakan jarum ke arah bahagian kulit yang hendak disuntik dalam kedudukan sudut 45 darjah atau 90 darjah. 
  3. Picit bahagian sisi kulit tersebut supaya bahagian lapisan lemak di bawah kulit menjadi tebal. Jangan sentuh bahagian kulit yang hendak disuntik.
  4. Cucuk jarum secara terus ke bahagian tersebut. Apabila jarum telah berada di dalam kulit, tekan bahagian plunger picagari untuk memasukkan ubat ke dalam badan. 
  5. Apabila semua ubat telah dimasukkan, keluarkan jarum dan lepaskan bahagian kulit yang dipicit. Tekan bahagian kulit yang disuntik dengan kapas selama lebih kurang 1/2 minit sebelum menutupnya dengan plaster.
  6. Pastikan anda menggunakan bahagian kulit yang berbeza-beza untuk setiap suntikan. Bahagian yang biasa digunakan adalah:
    1. lapisan depan abdomen di sekeliling bahagian pusat 
    2. bahagian depan betis
    3. bahagian luar yang berlemak pada lengan atas
    4. bahagian atas sisi luar betis

Sediakan epoetin alfa hanya apabila tiba masa untuk pemberian ubat. Jangan keluarkan ubat ini daripada peti sejuk tanpa sebab yang munasabah. Simpan ubat ini dalam peti sejuk pada suhu 2°C ke 8°C. Jangan bekukan ubat ini. Cara penyimpanan ubat yang betul adalah penting bagi mengelaknya daripada menjadi rosak.

Jangan goncang epoetin alfa kerana ia boleh merosakkan kandungan ubat tersebut.

Pastikan anda memeriksa warna dan kehadiran keladak pada vial ubat sebelum menggunakannya. Sekiranya ia berlaku, pulangkan ubat tersebut kepada pihak farmasi untuk digantikan dengan yang baru.

Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada darah dan organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Sekiranya anda perlu menjalani pembedahan, pastikan anda maklumkan pengambilan ubat ini kepada doktor. Anda mungkin perlu mengambil ubat cair darah bagi mengelak pembentukan gumpalan darah semasa dan selepas pembedahan.

Kesan sampingan epoetin alfa

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan yang serius iaitu:

  • tanda-tanda serangan jantung seperti sakit dada yang merebak ke bahagian rahang, leher dan bahu kiri, sesak nafas, loya dan pening kepala
  • tanda-tanda gangguan pada peredaran darah seperti bengkak, merah atau pucat dan kebiruan pada bahagian tangan dan kaki
  • tanda-tanda angin ahmar seperti sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba, rasa lemah dan kebas pada separuh bahagian badan secara tiba-tiba, pertuturan menjadi pelat dan penglihatan kabur
  • serangan sawan
  • rasa lesu yang berpanjangan 
  • tanda-tanda hiperglisemia seperti kerap dahaga, kerap membuang air kecil, penglihatan kabur dan nafas berbau seperti buah
  • tanda-tanda paras elektrolit potassium rendah di dalam darah seperti denyutan jantung yang tak teratur, otot mengalami kekejangan dan kelesuan, sembelit, rasa kebas dan kesemutan pada hujung anggota

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • demam menggigil, batuk dan sesak nafas
  • paras potassium rendah di dalam darah
  • paras darah putih rendah di dalam darah
  • penyumbatan salur darah akibat pembentukan darah beku
  • paras glukosa tinggi di dalam darah
  • sakit sendi, otot dan tulang
  • pembentukan ruam merah dan kegatalan pada kulit
  • kesukaran untuk menelan makanan akibat sakit tekak dan mulut
  • loya dan muntah
  • pening atau sakit kepala
  • insomnia
  • susut berat badan

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan epoetin alfa

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan epoetin alfa dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • danazol
  • fluoxymesterone
  • oxandrolone
  • oxymetholone
  • testosterone
  • lenalidomide
  • pomalidomide
  • thalidomide

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar