Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Erythromycin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Erythromycin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Erythromycin?

Erythromycin adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik macrolide. Antibiotik macrolide bertindak dengan melambatkan pembiakan dan membunuh bakteria yang menjangkiti badan dengan cara merencatkan pengeluaran protein yang diperlukan oleh bakteria untuk terus hidup.

Erythromycin biasanya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada:

  • saluran pernafasan, termasuk bronkitis, radang paru-paru, penyakit Legionnaires, Pertusis (batuk kokol), difteria (jangkitan pada kerongkong)
  • penyakit kelamin (STD) seperti sifilis
  • telinga
  • usus
  • sistem peranakan
  • saluran kencing
  • kulit

Jenama erythromycin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Axcel Erythromycin ES, Elthrocin Tablet, Eritrotex, Erycin, Erythromycin YSP, Pharmaniaga Erythromycin Suspension dan Retorin Suspension.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Erythromycin?

Anda tidak boleh menggunakan erythromycin jika anda mempunyai sejarah alahan kepadanya.

Sesetengah ubat boleh bertindak balas dengan erythromycin dan mendatangkan kemudaratan kepada badan anda seperti:

  • Lovastatin, Simvastatin
  • Cisapride
  • Pimozide
  • ergotamine atau dihydroergotamine

Beritahu doktor anda jika anda pernah menghidap penyakit berikut bagi mencegah berlakunya kesan sampingan ubat:

  • penyakit hati atau buah pinggang
  • myasthenia gravis
  • gangguan irama denyutan jantung terutamanya jika anda mengambil ubat untuk merawatnya
  • long QT syndrome dalam diri anda atau ahli keluarga
  • ketidakseimbangan elektrolit di dalam darah seperti paras kalium atau magnesium yang rendah dalam darah

Pengambilan erythromycin semasa mengandung

Tiada bukti kukuh untuk mengatakan erythromycin selamat kepada bayi di dalam kandungan. Oleh itu, pengambilannya semasa mengandung tidak digalakkan.

Pengambilan erythromycin semasa menyusu badan

Erythromycin boleh meresap ke dalam susu ibu dalam kuantiti yang sangat sedikit. Kuantiti tersebut tidak mampu untuk mendatangkan kesan negatif kepada bayi yang menyusu. Oleh itu, ia boleh diambil semasa penyusuan badan.

Cara pengambilan Erythromycin

Ambil erythromycin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Erythromycin boleh diperolehi dalam bentuk tablet, suntikan dan sirup.

Gunakan erythromycin untuk jangka masa yang telah ditetapkan oleh doktor anda walaupun simptom anda telah bertambah baik atau pulih. Sekiranya anda tidak menghabiskan ubat ini, bakteria yang masih hidup di dalam badan boleh mengubahsuai struktur badan untuk melindungi diri daripada dimusnahkan oleh antibiotik ini. Ini boleh menyebabkan erythromycin tidak berkesan untuk melawan jangkitan bakteria di dalam badan anda pada masa akan datang.

Kesan sampingan Erythromycin

Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mempunyai tanda-tanda tindak balas alahan terhadap Erythromycin (gatal-gatal, sesak nafas, bengkak di muka atau tekak anda) atau tindak balas kulit yang teruk (demam, sakit tekak, mata berasa terbakar, sakit atau pijau pada kulit, ruam merah atau ungu pada kulit atau kulit lepuh dan mengupas).

Kesan sampingan erythromycin adalah seperti berikut:

  • sakit perut yang teruk, cirit-birit (walaupun ia berlaku beberapa bulan selepas dos terakhir anda)
  • sakit atau pening kepala yang teruk, rasa hendak pitam
  • degupan jantung yang laju dan sakit dada
  • sawan
  • masalah pendengaran (jarang berlaku)
  • tanda-tanda radang organ pankreas seperti sakit yang teruk pada bahagian atas abdomen yang turut menyebabkan belakang anda berasa sakit, berasa loya dan muntah
  • tanda-tanda radang hati seperti hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, keletihan, kulit lebam, air kencing berwarna gelap, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada kulit atau mata)
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar