Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Ethambutol | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Ethambutol | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Ethambutol?

Ethambutol adalah sejenis antibiotik yang bertindak untuk menghalang pembiakan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang boleh menyebabkan penyakit tuberculosis (batuk kering) di dalam badan.

Ethambutol biasanya akan digabungkan dengan ubat-ubat rawatan tuberculosis yang lain seperti isoniazid, rifampicin dan pyrazinamide.

Ethambutol juga boleh digunakan untuk merawat jangkitan bakteria yang lain seperti Mycobacterium avium complex dan Mycobacterium kansasii.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ethambutol?

Anda tidak boleh menggunakan Ethambutol jika anda mempunyai masalah alahan terhadapnya. Anda juga mungkin tidak boleh mengambil Ethambutol jika anda mempunyai masalah mata yang dipanggil optic neuritis (radang saraf di belakang mata) kerana ia boleh mengganggu penglihatan anda. Doktor anda akan menentukan sama ada ubat ini sesuai untuk diambil atau sebaliknya.

Untuk memastikan Ethambutol selamat untuk diambil, beritahu doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah:

  • radang mata seperti uveitis atau iritis
  • penyakit mata yang disebabkan oleh diabetes
  • katarak
  • penyakit hati
  • penyakit buah pinggang
  • gout

Ethambutol juga tidak sesuai untuk diambil oleh budak di bawah umur 13 tahun.

Pengambilan Ethambutol semasa mengandung

Penggunaan ethambutol semasa mengandung masih tidak mempunyai bukti yang sahih sama ada ia boleh mengancam kesihatan bayi di dalam kandungan atau sebaliknya. Oleh itu, beritahu doktor anda jika anda hamil atau merancang untuk hamil semasa menggunakan ubat ini.

Pengambilan Ethambutol semasa penyusuan badan

Ethambutol boleh meresap ke dalam susu ibu dan boleh membahayakan kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, beritahu doktor anda jika anda menyusukan bayi.

Cara pengambilan Ethambutol

Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor anda mungkin akan mengubah dos anda dari masa ke semasa untuk memastikan anda mendapat kesan yang terbaik dalam rawatan. Jangan ambil Ethambutol dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Beritahu doktor anda jika anda pernah menggunakan ubat tuberkulosis sebelum ini. Dos anda mungkin berbeza jika anda telah dirawat untuk tuberkulosis pada masa lalu.

Anda boleh mengambil Ethambutol semasa atau sebelum makanan.

Beritahu doktor anda jika anda mempunyai sebarang perubahan pada berat badan. Dos ethambutol biasanya disukat mengikut berat badan anda.

Penglihatan anda juga perlu diperiksa secara berkala semasa anda mengambil ubat ini bagi memastikan ubat ini tidak memberikan kesan negatif kepada mata anda.

Ujian darah seperti ujian fungsi buah pinggang dan fungsi hati juga akan dilakukan secara berkala sepanjang rawatan anda dengan Ethambutol bagi memastikan tiada kesan negatif ubat pada organ-organ anda.

Penyakit tuberkulosis biasanya akan dirawat dengan gabungan ubat-ubat yang lain. Gunakan semua ubat seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Jangan ubah jadual dos ubat anda tanpa mendapat nasihat doktor.

Pastikan ubat anda disimpan di tempat yang selamat dan tidak terdedah kepada haba dan kelembapan kerana ia boleh merosakkan ubat anda.

Kesan sampingan Ethambutol

Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan semasa mengambil Ethambutol seperti gatal-gatal, sesak nafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak anda.

Ethambutol boleh menyebabkan masalah penglihatan yang serius termasuk buta. Oleh itu, berhenti menggunakan Ethambutol dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda memgalami sebarang masalah penglihatan seperti berikut:

  • penglihatan kabur
  • kehilangan penglihatan pada salah satu mata yang berlarutan selama sejam atau lebih
  • peningkatan sensitiviti mata terhadap cahaya
  • buta warna
  • sakit mata semasa menggerakkan mata atau sakit di belakang mata

Ethambutol juga boleh menyebabkan kesan sampingan lain yang serius. Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:

  • batuk yang teruk beserta dengan demam, masalah pernafasan
  • kebas atau kesemutan pada tangan atau kaki
  • kerungsingan, halusinasi
  • demam, bengkak pada kelenjar, ulser mulut, ulser kulit, demam selsema
  • kulit lebam atau pendarahan pada badan seperti hidung atau gusi berdarah
  • sakit dada atau sesak nafas semasa bekerja
  • kencing tak lawas
  • tanda-tanda masalah hati – sakit perut pada bahagian atas kanan abdomen, air kencing berwarna gelap, najis berwarna pucat, jaundis
  • tindak balas pada kulit yang teruk seperti sakit atau pijau pada kulit, ruam merah atau ungu pada kulit atau kulit lepuh dan mengupas

Namun, kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit adalah:

  • gatal-gatal atau ruam pada kulit
  • sakit sendi
  • sakit atau pening kepala
  • loya, muntah, sakit perut, hilang selera makan

 

 

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar