Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Famotidine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Famotidine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Famotidine?

Famotidine adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis histamine-2 blocker yang bertindak dengan mengurangkan jumlah asid yang dirembeskan oleh kelenjar asid di dalam perut.

Famotidine digunakan untuk merawat dan mencegah ulser di dalam perut dan usus. Ia juga merawat keadaan di mana perut menghasilkan terlalu banyak asid seperti sindrom Zollinger-Ellison.

Famotidine juga digunakan untuk merawat penyakit refluks gastroesophageal (GERD) dan keadaan lain di mana asid kembali dari perut ke esofagus yang boleh menyebabkan pedih ulu hati.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Famotidine?

Anda tidak boleh mengambil ubat ini jika anda mempunyai sejarah alahan kepada famotidine atau ubat-ubat yang di dalam kumpulan histamine-2 blocker seperti ranitidine (Zantac), cimetidine (Tagamet) dan nizatidine (Axid).

Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor atau ahli farmasi jika anda pernah mempunyai masalah:

  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati
  • kanser perut
  • sindrom QT panjang dalam diri anda atau ahli keluarga

Pengambilan Famotidine semasa mengandung

Pengambilannya hanya disyorkan jika ia jelas lebih bermanfaat daripada risiko yang ditanggung jika ubat ini tidak diambil. Pastikan anda berbincang dengan doktor anda. 

Ubat ini tidak mempunyai data kajian yang dilakukan ke atas manusia. Namun kajian ke atas haiwan telah menunjukkan ubat ini tidak menyebabkan gangguan ke atas kandungan dan mengganggu kesuburan. 

Pengambilan Famotidine semasa penyusuan badan

Tiada kajian yang kukuh telah dijalan ke atas manusia mengenai penggunaan ubat ini semasa penyusuan badan. Namun ubat ini telah disahkan boleh meresap ke dalam susu badan.

Kajian ke atas haiwan telah menunjukkan ubat ini boleh membantutkan tumbesaran bayi yang menyusu jika ia diberikan dalam dos yang tinggi.

Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan haruslah jelas lebih bermanfaat kepada kesihatan ibu berbanding jika ubat ini tidak diambil. Sekiranya famotidine diambil, penyusuan badan harus dihentikan.

Cara pengambilan Famotidine

Ambil famotidine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Famotidine biasanya hadir dalam bentuk tablet dan suntikan. Suntikan biasanya diberikan oleh doktor anda untuk mendapatkan kesan lega yang lebih cepat atau sekiranya anda tidak boleh mengambil ubat ini secara oral disebabkan oleh muntah.

Sekiranya famotidine diambil secara oral, anda boleh mengambilnya sewaktu atau selepas makan.

Biasanya famotidine mengambil masa lebih kurang 4 -8 minggu untuk melegakan masalah gastik dan masalah ulser perut atau ulser usus anda. Oleh itu, anda jangan berhenti mengambil ubat ini sehingga ia dihentikan oleh doktor anda.

Simpan famotidine ditempat yang tidak terdedah kepada haba atau kelembapan bagi mencegah komposisi kimia ubat ini daripada berubah.

Kesan sampingan Famotidine

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus berhenti menggunakan ubat ini dan hubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:

  • berasa keliru, halusinasi, cemas, lesu
  • sawan
  • degupan jantung yang laju, pening secara tiba-tiba seperti rasa hendak pitam
  • sakit dan lemah otot secara tiba-tiba yang disertai dengan demam dan kencing berwarna gelap

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku ialah:

  • pening atau sakit kepala
  • cirit-birit atau sembelit

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar