Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Felodipine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Felodipine | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Felodipine?

Felodipine adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan penghalang terusan kalsium (calcium channel blocker). Ia bertindak dengan cara menghalang kemasukan ion kalsium ke dalam otot jantung dan otot licin salur darah melalui kesan rencatannya pada terusan kalsium yang terletak pada membran otot. Tindak balas ini akan menyebabkan salur darah mengembang dan ia juga menghalang otot jantung daripada mengecut terlalu kuat. 

Felodipine dapat membantu menurunkan tekanan darah dan menghalang otot jantung daripada bekerja terlalu kuat. Oleh itu, ia digunakan untuk mengawal tekanan darah pada pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Ia juga membantu mengurangkan risiko angin ahmar dan serangan jantung pada pesakit yang menghidap penyakit lemah jantung.

Jenama felodipine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Plendil. 

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil felodipine?

Anda tidak boleh mengambil felodipine jika anda alah kepadanya.

Untuk memastikan felodipine selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah mengalami:

  1. penyakit kegagalan fungsi hati
  2. masalah injap jantung jenis aortic stenosis
  3. penyakit lemah jantung

Felodipine tidak diluluskan untuk digunakan oleh kanak-kanak yang berumur di bawah 6 tahun.

Pengambilan felodipine semasa kehamilan

Kajian pengambilan felodipine oleh haiwan hamil telah menunjukkan anak yang dilahirkan mengalami kecacatan pada jari-jari tangan dan kaki. Kajian pengambilannya oleh wanita hamil tidak banyak dijalankan dan kesan sampingannya pada bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan felodipine semasa kehamilan tidak disyorkan.

Pengambilan felodipine semasa penyusuan badan

Tidak banyak kajian telah dilakukan ke atas pengambilan felodipine semasa penyusuan badan. Ia juga tidak diketahui sama ada boleh meresap ke dalam susu badan atau tidak. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.

Cara pengambilan felodipine

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Felodipine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Ia harus diambil pada waktu yang sama setiap hari.

Jangan hancurkan atau kunyah ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.

Jangan hentikan pengambilan felodipine tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana ia boleh mengakibatkan penyakit anda kembali atau menjadi lebih teruk.

Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Sepanjang tempoh rawatan dengan felodipine, anda juga mungkin perlu mengawal diet dan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam dan menghentikan tabiat merokok serta minuman beralkohol. Pastikan anda mengikut tatacara yang telah diaturkan oleh doktor anda dengan betul.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarnya daripada rosak.

Kesan sampingan felodipine

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  1. degupan jantung yang laju dan kuat atau rasa berdesir pada dada
  2. sakit dada yang semakin teruk
  3. bengkak pada kedua-dua belah kaki 
  4. rasa mengantuk yang teruk
  5. rasa pening kepala atau pitam

Walau bagaimanapun, kesan sampingan felodipine yang lazim berlaku adalah:

  1. pening, mengantuk
  2. rasa letih
  3. sakit perut, loya
  4. kulit menjadi merah dan berasa pijau

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan felodipine

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan felodipine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • aldesleukin
  • aliskiren
  • ubat-ubatan kumpulan alpha agonist seperti clonidine dan methyldopa
  • ubat-ubatan kumpulan alpha blocker seperti alfuzosin, doxazosin dan tamsulosin
  • amiodarone
  • ubat-ubatan kumpulan amphetamine seperti dextroamphetamine dan lisdexamfetamine
  • ubat-ubatan kumpulan angiotensin converting enzyme inhibitor seperti captopril, lisinopril dan ramipril
  • ubat-ubatan kumpulan angiotensin receptor blocker (ARB) seperti candesartan, irbesartan dan losartan
  • ubat-ubatan antipsikotik seperti aripiprazole, asenapine, quetiapine, risperidone dan thioridazine
  • apalutamide
  • apomorphine
  • aprepitant
  • ubat-ubatan antifungus seperti itraconazole, ketoconazole dan voriconazole
  • ubat-ubatan kumpulan barbiturate seperti butalbital dan phenobarbital
  • ubat-ubatan kumpulan benzodiazepine seperti clonazepam, diazepam dan lorazepam
  • ubat-ubatan kumpulan beta-adrenergic blocker seperti atenolol, propranolol dan sotalol
  • bicalutamide
  • bosentan
  • brimonidine
  • bromocriptine
  • ubat-ubatan kumpulan calcium channel blocker seperti diltiazem, nifedipine dan verapamil
  • suplemen kalsium seperti calcium carbonate dan calcium citrate
  • carbamazepine
  • cimetidine
  • clopidogrel
  • cobicistat
  • conivaptan
  • cyclosporine
  • dantrolene
  • dexmethylphenidate
  • diazoxide
  • digoxin
  • dipyridamole
  • ubat-ubatan kumpulan diuretik seperti  furosemide, hydrochlorothiazide dan triamterene
  • dronedarone
  • duloxetine
  • enzalutamide
  • flecainide
  • guanfacine
  • ubat-ubatan kumpulan HIV non-nucleoside reverse transcriptase inhibitor (NNRTI) seperti efavirenz, etravirine dan nevirapine
  • ubat-ubatan kumpulan HIV protease inhibitor seperti atazanavir, indinavir, ritonavir dan saquinavir
  • letermovir
  • levodopa
  • antibiotik kumpulan macrolide seperti clarithromycin dan erythromycin
  • suplemen magnesium seperti magnesium hydroxide dan magnesium oxide
  • melatonin
  • methylphenidate
  • mifepristone
  • modafinil
  • ubat-ubatan kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti moclobemide, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine
  • morphine
  • nabilone
  • ubat-ubatan kumpulan nitrate seperti nitroglycerin, isosorbide dinitrate dan isosorbide mononitrate
  • paclitaxel
  • pentoxifylline
  • phenytoin
  • ubat-ubatan kumpulan phosphodiesterase 5 inhibitor seperti sildenafil, tadalafil dan vardenafil
  • primidone
  • propafenone
  • ubat-ubatan kumpulan protein kinase inhibitor seperti bortezomib, ceritinib, crizotinib, dabrafenib, idelalasib, imatinib dan nilotinib
  • quinidine
  • rifampin
  • rifabutin
  • riociguat
  • ropinirole
  • rotigotine
  • sacubitril
  • tacrolimus
  • tizanidine
  • tretinoin
  • ubat-ubatan kumpulan tricyclic antidepressant seperti clomipramine, desipramine dan imipramine
  • warfarin
  • yohimbine

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar