Apa itu Fenofibrate?
Fenofibrate adalah sejenis ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol dan trigliserida (asid lemak) yang tinggi di dalam darah. Ia bertindak dengan meningkatkan pemecahan dan penyingkiran trigliserida yang berkumpul di dalam darah. Fenofibrate biasanya digabungkan dengan kaedah pengawalan diet dalam rawatan hiperlipidemia.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Fenofibrate?
Anda tidak boleh mengambil fenofibrate jika anda mempunyai sejarah alahan kepadanya atau jika anda mempunyai masalah berikut:
- penyakit buah pinggang yang teruk atau jika anda menjalani dialisis
- penyakit hati
- penyakit pundi hempedu seperti batu hempedu
Oleh itu, untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda pernah mempunyai:
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- masalah pundi hempedu
Fenofibrate boleh menyebabkan kerosakan tisu otot dan kegagalan buah pinggang. Ini berlaku lebih kerap di kalangan wanita, warga emas atau orang yang mempunyai penyakit buah pinggang, diabetes, atau hipotiroidisme yang tidak terkawal (tiroid kurang aktif).
Fenofibrate juga tidak boleh diberikan kepada budak yang berumur di bawah 18 tahun.
Pengambilan semasa mengandung
Tiada bukti yang menyokong bahawa fenofibrate selamat untuk digunakan semasa mengandung. Oleh itu, penggunaannya semasa hamil tidak disyorkan.
Pengambilan semasa penyusuan badan
Tiada bukti yang menyokong bahawa fenofibrate selamat kepada bayi yang menyusu badan. Oleh itu, penggunaannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan Fenofibrate
Ambil famotidine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Sesetengah jenama fenofibrate perlu diambil semasa makan kerana ia membantu penyerapan ubat dengan lebih efektif. Manakala ada jenama yang perlu diambil sebelum makan. Oleh itu, baca arahan preskripsi ubat dengan betul.
Ubat ini biasanya hadir dalam bentuk kapsul atau tablet. Oleh itu, anda tidak digalakkan untuk menghancurkan, memecahkan atau membuka kapsul ubat sebelum menelannya kerana ia boleh menyebabkan kesan tindakan ubat menjadi kurang berkesan.
Anda perlu menjalani ujian darah secara berkala semasa penggunaan ubat ini bagi memastikan paras kolesterol dan trigliserida di dalam darah anda menurun dan memantau sama ada terdapat kesan sampingan ubat tersebut terhadap organ-organ tertentu seperti hati dan buah pinggang.
Dalam rawatan hiperlipidemia, fenofibrate biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan pengawalan diet, senaman dan kawalan berat badan bagi memastikan pesakit mendapat kesan rawatan yang optimum.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu panas dan kelembapan bagi mencegah ubat ini daripada rosak.
Kesan sampingan Fenofibrate
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus berhenti menggunakan ubat ini dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda berikut:
- sakit perut yang ekstrim pada bahagian atas abdomen yang merebak ke bahagian belakang atau bahu anda
- hilang selera makan, sakit perut sejurus selepas makan
- jaundis (kekuningan pada bahagian kulit atau mata)
- demam menggigil, badan berasa lesu, sakit tekak, ulser mulut, kulit lebam atau pendarahan yang luar biasa seperti hidung dan kencing berdarah
- sakit dada, batuk secara tiba-tiba, sesak nafas, batuk berdarah
- lengan atau kaki berasa panas, membengkak atau menjadi merah
Namun, kesan sampingan fenofibrate yang biasa berlaku adalah:
- selsema atau bersin
- ujian darah fungsi hati dan buah pinggang yang tidak normal