Apa itu Finasteride?
Finasteride adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan 5-alpha-reductase inhibitor. Ia bertindak dengan cara merencatkan enzim 5-alpha-reductase yang bertangggungjawab untuk menukarkan hormon testosteron kepada dihydrotestosterone (DHT). Paras dihydrotestosterone yang tinggi boleh mengakibatkan kelenjar prostat menjadi bengkak.
Finasteride digunakan untuk merawat simptom kencing tak lawas pada pesakit yang menghidap masalah bengkak prostat yang bukan disebabkan oleh kanser. Ia juga boleh digunakan untuk merawat masalah keguguran rambut di kalangan kaum lelaki.
Jenama finasteride yang boleh diperolehi di pasaran adalah Fincar, Propecia dan Proscar.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan finasteride?
Anda tidak boleh mengambil finasteride jika anda alah kepadanya.
Pengambilan finasteride boleh meningkatkan risiko untuk menghidap kanser prostat. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor sebelum anda menggunakannya.
Untuk memastikan finasteride selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:
- kanser kelenjar prostat
- penyakit hati
Finasteride tidak boleh diambil oleh kaum wanita dan kanak-kanak.
Pengambilan finasteride semasa kehamilan
Finasteride tidak sesuai diambil oleh kaum wanita. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan.
Pengambilan finasteride semasa penyusuan badan
Finasteride tidak sesuai diambil oleh kaum wanita. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan finasteride
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Finasteride boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada masa yang sama setiap hari.
Finasteride biasanya mengambil masa lebih kurang 3 bulan untuk mendatangkan kesan positif. Oleh itu, pastikan anda mengambil ubat ini setiap hari.
Jangan hentikan pengambilan finasteride secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana ia boleh mengakibatkan penyakit anda berulang atau menjadi lebih teruk.
Sepanjang tempoh rawatan, anda juga perlu menjalani ujian darah prostate specific antigen secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan kewujudan kanser prostat.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarnya daripada rosak.
Kesan sampingan finasteride
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda kanser payu dara seperti sakit dan bengkak pada buah dada serta pembentukan discaj pada puting payu dara
- kehadiran darah pada air mani
- sakit pada bahagian scrotum
- perubahan emosi seperti kemurungan
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- mati pucuk
- bengkak dan sakit pada buah dada
- kurang keinginan terhadap seks
Anda juga mungkin sukar untuk membuatkan pasangan anda hamil semasa pengambilan ubat ini. Oleh itu, bincang dengan doktor sekiranya anda merancang untuk mendapatkan anak.
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan finasteride
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan felodipine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- abametapir
- adagrasib
- avacopan
- diltiazem
- duvelisib
- fluconazole
- fluvoxamine
- fostamatinib
- itraconazole
- larotrectinib
- lenacapavir
- lonapegsomatropin
- nefazodone
- nelfinavir
- olutasidenib
- osilodrostat
- pirtobrutinib
- pralsetinib
- saquinavir
- selpercatinib
- sirolimus
- somapacitan-beco
- somatrem
- somatropin
- tacrolimus
- temsirolimus
- terazosin
- voriconazole
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.