Apa itu Fingolimod?
Fingolimod adalah sejenis ubat generik yang digunakan dalam rawatan penyakit multiple sclerosis (MS). Fingolimod berperanan sebagai ubat imunosupresif yang bertindak untuk mengurangkan aktiviti sistem imun badan.
Fingolimod bertindak sebagai sejenis modulator reseptor sphingosine-1-phosphate (S1P) yang sangat selektif. S1P adalah molekul yang berperanan dalam mengawal pergerakan sel darah putih di dalam tubuh, termasuk di dalam sistem imun. Fingolimod akan berinteraksi dengan reseptor S1P pada permukaan sel darah putih, khususnya sel T limfosit lalu mengakibatkan ia terperangkap di dalam kelenjar limfa dan menghalangnya daripada keluar ke dalam aliran darah.
Dengan membataskan pergerakan sel T limfosit ke dalam darah dan sistem saraf pusat, fingolimod akan membantu untuk mengurangi tindak balas radang yang boleh merosakkan lapisan mielin saraf pada pesakit yang menghidap penyakit multiple sclerosis.
Antara jenama fingolimod yang boleh diperolehi di pasaran adalah Gilenya.
Apa yang pesakit perlu tahu sebelum mengambil fingolimod?
Pesakit tidak boleh menggunakan fingolimod sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit lemah jantung
- sindrom QT panjang
- pernah mengalami serangan jantung atau angin ahmar dalam tempoh 6 bulan
Untuk memastikan pengambilan fingolimod adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sedang menghidap sebarang jangkitan kuman atau demam
- penyakit yang boleh melemahkan sistem imun seperti HIV dan AIDS
- penyakit denyutan jantung tak teratur (arrhythmia)
- penyakit darah tinggi
- penyakit kencing manis
- sedang dalam rawatan untuk penyakit jantung koronari, lemah jantung atau angin ahmar
- kanser kulit
- apnea tidur
- penyakit hati
- penyakit mata jenis uveitis
Pengambilan fingolimod semasa kehamilan
Pengambilan fingolimod semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko kecacatan kongenital seperti kecacatan jantung, buah pinggang dan muskuloskeletal. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk diambil oleh wanita hamil.
Pengambilan fingolimod semasa penyusuan badan
Fingolimod boleh meresap ke dalam susu badan dan kesannya ke atas bayi masih tidak diketahui. Oleh itu, ia tidak disyorkan untuk digunakan oleh wanita yang sedang menyusu badan.
Cara pengambilan fingolimod
Pengambilan fingolimod haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Fingolimod boleh memperlahankan denyutan jantung apabila ia mula diambil pada peringkat awal. Anda akan menerima dos pertama anda dalam pemantauan doktor di wad. Tekanan darah dan kadar denyutan jantung anda akan sentiasa dipantau sekurang-kurangnya 6 jam selepas dos pertama.
Fingolimod biasanya dijual dalam bentuk kapsul. Ia boleh diambil sebelum atau selepas makan.
Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun simptom anda telah pulih kerana ia boleh mengakibatkan penyakit anda menjadi bertambah teruk.
Fingolimod boleh mengganggu keputusan ujian darah. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat ini.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan fingolimod
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda jangkitan kuman seperti demam, sakit tekak, selsema dan batuk yang berpanjangan
- tanda-tanda penyakit jantung seperti sakit dada, sesak nafas, denyutan jantung lemah dan rasa pitam
- kenaikan tekanan darah
- penglihatan kabur
- tanda-tanda gangguan pada sistem muskoloskeletal seperti kejang otot, kesemutan pada jari kaki dan tangan, vertigo dan hilang koordinasi badan semasa berdiri atau berjalan.
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat atau jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- gangguan pada kitaran haid
- mati pucuk
- bengkak pada kelenjar tiroid
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan fingolimod
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ziprasidone dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- amiodarone
- disopyramide
- dofetilide
- flecainide
- dronedarone
- ibutilide
- mexiletine
- procainamide
- propafenone
- quinidine
- sotalol