Apa itu Flagyl?
Flagyl adalah sejenis antibiotik yang berasal daripada kumpulan antibiotik metronidazole. Ia biasanya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada faraj, perut, hati, kulit, sendi, otak, saraf tunjang, paru-paru, jantung dan darah.
Flagyl juga digunakan untuk merawat jangkitan parasit seperti trichomoniasis.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Flagyl?
Anda tidak boleh menggunakan Flagyl jika anda mempunyai sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat daripada kumpulan antibiotik metronidazole yang lain, secnidazole dan tinidazole.
Semasa mengambil ubat ini, anda juga tidak boleh:
- mengambil minuman keras
- mengambil makanan atau ubat-ubatan yang mengandungi propylene glycol
- mengambil ubat disulfiram (Antabuse) dalam tempoh 14 hari sebelum menggunakan ubat ini
Untuk memastikan Flagyl selamat untuk diambil, beritahu doktor anda jika anda pernah mempunyai masalah:
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang atau sedang menjalani rawatan dialisis
- gangguan irama denyutan jantung yang tidak teratur
- penyakit perut atau usus seperti Crohn’s disease
- anemia (kekurangan sel darah merah) atau paras sel darah putih yang rendah
- jangkitan kulat
- gangguan saraf
Pengambilan Flagyl semasa mengandung
Kajian menunjukkan Flagyl boleh merentasi plasenta dan meresap ke dalam sistem peredaran darah bayi dalam kandungan.
Satu kajian yang melibatkan 5000 wanita hamil yang mengambil Flagyl semasa mengandung telah menunjukkan hanya seorang bayi sahaja yang dilahirkan cacat iaitu bibir sumbing (cleft palate).
Tambahan lagi, mengikut kajian Flagyl juga mampu menghindar risiko kelahiran preterm.
Oleh itu, Flagyl boleh digunakan semasa mengandung mengikut pertimbangan doktor anda.
Pengambilan semasa penyusuan badan
Flagyl selamat untuk diambil semasa penyusuan badan. Namun, penyusuan badan harus dielakkan dalam tempoh 24 jam pertama semasa pengambilannya kerana ia boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang banyak semasa tempoh tersebut.
Cara pengambilan Flagyl
Ambil flagyl seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Flagyl boleh diperolehi di dalam bentuk tablet dan suntikan. Biasanya suntikan akan diberikan oleh para doktor untuk memastikan anda mendapat kesan yang lebih cepat di dalam rawatan kes-kes yang teruk.
Sekiranya anda mengambil flagyl secara oral, ubat ini harus diambil lebih kurang 1 jam sebelum makan atau 2 jam selepas makan.
Flagyl harus diambil sehingga habis bagi memastikan penyakit anda benar-benar baik. Adakala ubat ini harus diambil lebih daripada 10 hari bergantung kepada jenis dan tahap penyakit anda.
Flagyl biasanya tidak berkesan dalam merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus seperti influenza.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu panas dan kelembapan bagi mencegah ubat ini daripada rosak.
Kesan sampingan Flagyl
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:
- penyakit yang dirawat menjadi semakin melarat
- kencing berasa sakit dan tidak lawas
- berasa keliru
- rasa hendak pitam
- kegatalan atau masalah keputihan pada bahagian faraj
- ulser atau melepuh pada bahagian mulut, gusi merah dan bengkak, kesukaran untuk menelan
- tanda-tanda gangguan saraf seperti berikut:
- tangan atau kaki berasa kebas, kesemutan atau pijau
- gangguan penglihatan seperti penglihatan kabur dan sakit pada bahagian belakang mata
- pertuturan menjadi pelat
- gangguan keseimbangan badan seperti rasa terhuyung-hayang semasa berdiri
- sawan
- rasa tegang pada bahagian belakang tengkuk
- peningkatan sensitivity terhadap cahaya (mudah berasa silau)
Namun, kesan sampingan Flagyl yang biasa berlaku adalah:
- kemurungan, masalah tidur, mudah berasa marah
- sakit atau pening kepala
- loya, muntah, hilang selera makan, sakit perut
- cirit-birit, sembelit
- deria rasa pada lidah mengalami metallic taste
- ruam dan gatal-gatal pada kulit
- kegatalan atau masalah keputihan pada bahagian faraj
- ulser mulut
- lidah menjadi bengkak dan berwarna merah