Apa itu Fluconazole?
Fluconazole adalah sejenis ubat antifungus yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh kulat pada bahagian mulut, tekak, esofagus, paru-paru, pundi kencing, kawasan kemaluan dan darah.
Fluconazole juga digunakan untuk mencegah jangkitan kulat pada orang yang mempunyai sistem imun yang lemah yang disebabkan oleh rawatan kanser, pemindahan sumsum tulang dan penyakit AIDS.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Fluconazole?
Anda tidak boleh mengambil fluconazole jika anda mempunyai sejarah alahan kepadanya atau ubat antifungus yang lain seperti ketoconazole, itraconazole, miconazole, posaconazole dan voriconazole.
Fluconazole boleh bertindak balas dengan ubat-ubat tertentu dan memudaratkan kesihatan anda sekiranya anda sedang menggunakan ubat-ubat tersebut. Ubat-ubat yang boleh bertindak balas dengan fluconazole adalah:
- cisapride, fentanyl, methadone, pimozide, tofacitinib, tolvaptan
- vitamin A
- antibiotik, antikulat dan antivirus
- ubat cair darah
- ubat kemoterapi
- ubat kolesterol
- ubat kencing manis jenis tablet
- ubat jantung
- ubat darah tinggi
- ubat antimalaria
- ubat rawatan batuk kering (tuberculosis)
- steroid
- ubat sawan
- ubat sakit mental seperti ubat rawatan kemurungan
Oleh itu, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubat tersebut.
Anda juga harus memberitahu doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah:
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
Pengambilan Fluconazole semasa mengandung
Kajian menunjukkan bahawa Fluconazole boleh merentasi plasenta dan masuk ke dalam sistem peredaran darah bayi dalam kandungan.
Kajian juga telah menunjukkan boleh berlaku kecacatan kepada bayi yang baru lahir seperti brachycephaly, kecacatan muka, bibir sumbing (cleft palate), tulang femoral yang melengkung dan penyakit jantung kongenital sekiranya wanita hamil mengambil dos fluconazole yang tinggi iaitu antara 400-800mg/hari dalam trimester pertama.
Namun, kajian telah menunjukkan tiada kesan negatif berlaku kepada bayi dalam kandungan sekiranya ianya diambil pada dos yang rendah iaitu kurang daripada 200mg/hari.
Oleh itu, pengambilan fluconazole semasa mengandung tidak digalakkan kecuali sekiranya penyakit yang dihidapi mendatangkan risiko yang tinggi kepada wanita hamil.
Pengambilan semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan fluconazole tidak mendatangkan kemudaratan kepada bayi yang menyusu. Oleh itu, penggunaannya semasa penyusuan badan adalah selamat.
Cara pengambilan Fluconazole
Ambil fluconazole seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Fluconazole boleh diperolehi di dalam bentuk tablet dan suntikan. Biasanya suntikan akan diberikan oleh para doktor untuk memastikan anda mendapat kesan yang lebih cepat di dalam rawatan kes-kes yang teruk.
Fluconazole boleh diambil sewaktu atau selepas makan.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu panas dan kelembapan bagi mencegah ubat ini daripada rosak.
Kesan sampingan Fluconazole
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:
- jantung berdegup laju, sesak nafas, rasa ketat pada bahagian dada, rasa hendak pitam
- sawan
- ruam merah pada kulit
- tanda-tanda masalah hati seperti rasa sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, hilang selera makan, air kencing berwarna gelap, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian mata dan kulit)
Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya, sakit perut, cirit-birit
- sakit atau pening kepala
- perubahan pada deria rasa