Apa itu Gaviscon?
Gaviscon adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis antasid. Ia mengandungi 2 bahan utama iaitu aluminum hidroksida dan magnesium karbonat yang boleh bertindak untuk menurunkan keasidan jus gaster di dalam perut.
Gaviscon biasanya digunakan bersama dengan ubat lain untuk merawat masalah pedih ulu hati atau sakit perut dalam rawatan penyakit gastritis, ulser perut dan gastro-oesophageal reflux disease.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Gaviscon?
Anda tidak boleh menggunakan Gaviscon jika anda mempunyai sejarah alahan kepadanya atau ubat-ubat daripada kumpulan antasid.
Sebelum mengambil ubat ini, pastikan anda berbincang dengan doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit ulser perut kerana anda mungkin memerlukan gabungan Gaviscon dengan ubat-ubat lain
- kesukaran untuk menelan
- penyakit buah pinggang
- sedang menjalani diet rendah garam
Pengambilan Gaviscon semasa mengandung
Gaviscon selamat untuk diambil semasa mengandung kerana ia tidak memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Namun, pengambilannya haruslah mengikut keperluan sahaja.
Pengambilan Gaviscon semasa penyusuan badan
Gaviscon selamat untuk diambil semasa penyusuan badan kerana ia tidak memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Walau bagaimanapun, jika bayi anda dilahirkan pramatang atau mempunyai masalah kesihatan, semak dahulu dengan doktor anda sebelum mengambilnya.
Cara pengambilan Gaviscon
Ambil Gaviscon seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Gaviscon boleh diambil sebelum atau selepas makan bergantung kepada jenis penyakit yang anda alami. Sekiranya sakit perut atau reflux asid anda berlaku selepas makan, ambil ubat ini sebaik selepas makan. Manakala, sekiranya penyakit anda datang kadang-kadang disebabkan oleh jenis pemakanan anda, ambil ubat ini sebaik sebelum makan.
Gaviscon boleh diperolehi di dalam bentuk tablet atau cecair.
Sekiranya anda mengambil gaviscon yang berbentuk tablet, kunyah 2-4 tablet ubat tersebut setiap 6 jam dan disusuli dengan minum sebanyak lebih kurang 120-150ml air kosong.
Sekiranya anda mengambil gaviscon yang berbentuk cecair, ambil ubat tersebut sebanyak 10-20ml setiap 6 jam.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu panas dan kelembapan bagi mencegah ubat ini daripada rosak.
Kesan sampingan Gaviscon
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- disgeusia
- cirit-birit
- sakit perut
- rasa loya dan muntah
Bahan aluminium hidroksida yang terkandung di dalam Gaviscon juga boleh bergabung dengan mineral fosfat di dalam usus, iaitu sejenis elemen di dalam badan yang penting untuk kesihatan badan. Ini boleh menyebabkan tahap fosfat di dalam badan menjadi rendah, terutamanya jika anda menggunakan ubat ini dalam dos yang besar dan untuk jangka masa yang lama. Ia boleh membuatkan badan anda mengalami simptom-simptom seperti hilang selera makan dan badan berasa sangat lesu.