Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Gemfibrozil | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Gemfibrozil | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Gemfibrozil?

Gemfibrozil adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis fibrate. Ia berfungsi untuk mengurangkan paras kolesterol dan trigliserida (asid lemak) di dalam darah. Sekiranya tahap lemak jenis ini dibiarkan tinggi di dalam darah, ia boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap masalah aterosklerosis (arteri tersumbat).

Biasanya dalam rawatan penyakit hiperlipidemia, Gemfibrozil akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan senaman rutin untuk mendapatkan kesan rawatan yang optima.

Gemfibrozil juga digunakan untuk menghindar masalah hiperlipidemia di kalangan pesakit yang mempunyai risiko tinggi untuk menghidap penyakit koronari jantung, angin ahmar dan komplikasi jantung yang lain.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Gemfibrozil?

Anda tidak boleh menggunakan Gemfibrozil sekiranya anda mempunyai sejarah alahan kepadanya atau ubat-ubat yang berasal daripada kumpulan fibrate.

Anda juga tidak boleh menggunakan gemfibrozil sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit hati yang teruk
  • penyakit buah pinggang yang teruk
  • penyakit pundi hempedu
  • sedang mengambil ubat-ubat berikut iaitu repaglinide, dasabuvir dan simvastatin

Anda juga harus memaklumkan doktor anda sebelum mengambil ubat ini sekiranya anda sedang dalam rawatan menggunakan ubat daripada kumpulan warfarin seperti Coumadin dan Jantoven.

Pengambilan Gemfibrozil semasa mengandung

Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa gemfibrozil tidak memudaratkan kandungan. Namun kajian ke atas manusia sangat terhad dan masih tiada bukti kukuh untuk mengatakan ia tidak mengganggu kesihatan bayi dalam kandungan.

Oleh itu, pengambilan gemfibrozil semasa mengandung hanya disyorkan sekiranya kesihatan ibu benar-benar terancam jika ubat ini dihentikan.

Pengambilan Gemfibrozil semasa penyusuan badan

Tiada bukti kukuh untuk mengatakan gemfibrozil tidak meresap ke dalam susu badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak digalakkan.

Cara pengambilan Gemfibrozil

Ambil gemfibrozil seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Gemfibrozil biasanya diambil 30 minit sebelum sarapan pagi dan makan malam.

Kaedah rawatan ubat gemfibrozil biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan pengawalan diet dan senaman rutin. Oleh itu, pastikan anda mengikuti program-program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Dalam tempoh pengambilan ubat ini, doktor anda akan melakukan ujian darah berkala seperti ujian darah fungsi buah pinggang dan fungsi hati serta ujian paras lemak dan kolesterol darah bagi memastikan kaedah rawatan yang anda jalani berkesan dan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu panas dan kelembapan bagi mencegah ubat ini daripada menjadi rosak.

Kesan sampingan Gemfibrozil

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Dalam kes-kes tertentu, gemfibrozil juga boleh mengakibatkan pemecahan protein pada tisu-tisu otot rangka lalu membebaskan myoglobin ke dalam darah dalam jumlah yang banyak. Ini boleh mengakibat kerosakan pada buah pinggang. Oleh itu, hubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami sakit dan rasa lemah pada otot yang berpanjangan disertai dengan simptom-simptom lain seperti demam, rasa letih yang luar biasa dan air kencing berwarna gelap.

Anda juga harus memaklumkan doktor anda sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:

  • sakit yang tajam pada bahagian atas perut terutamanya selepas makan
  • jaundis (kekuningan pada kulit atau mata)
  • rasa sakit atau pedih semasa kencing
  • penglihatan menjadi kabur, sakit mata atau melihat halo di sekeliling lampu
  • tanda-tanda abnormal pada komponen darah seperti badan kelihatan pucat, mudah berlaku perdarahan seperti hidung dan gusi berdarah, mengalami sesak nafas dan jantung berdebar

Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan gemfibrozil adalah:

  • sakit perut, cirit-birit
  • rasa kebas atau kesemutan pada bahagian kaki dan tangan
  • pening, mudah berasa mengantuk
  • penglihatan kabur
  • sakit otot dan sendi
  • mati pucuk

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar