Apa itu Glimepiride?
Glimepiride adalah sejenis ubat kencing manis jenis generik yang digunakan untuk mengawal paras glukosa di dalam darah pada pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis Type 2.
Glimepiride bertindak dengan cara:
- merangsangkan sel beta pada pankreas untuk merembeskan insulin ke dalam darah. Insulin adalah hormon yang penting untuk membantu penyerapan glukosa ke dalam sel supaya ia dapat digunakan sebagai sumber tenaga.
- membantu meningkatkan sensitiviti sel-sel badan terhadap insulin yang membolehkan glukosa untuk lebih mudah diserap ke dalam sel badan.
Glimepiride tidak boleh digunakan untuk merawat penyakit kencing manis jenis Type 1.
Jenama glimepiride yang boleh diperolehi di pasaran ialah Amaryl, Amaryl M SR, Axcel Glimepiride, Glenix, Glimaryl, Glimin, Glimpid, Glimulin, Miaryl dan Proglutrol G2.
Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan Glimepiride?
Pesakit tidak boleh menggunakan glimepiride sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat yang tergolong di dalam kumpulan sulfa
- sedang mengalami ketoasidosis diabetik (diabetes ketoacidosis)
Untuk memastikan anda menggunakan glimepiride dengan selamat, pastikan anda memaklumkan doktor sekiranya anda menghidap penyakit-penyakit berikut:
- penyakit jantung
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
Pengambilan glimepiride semasa kehamilan
Glimepiride tidak disyorkan untuk diambil semasa mengandung kerana tiada kajian yang terperinci yang telah dijalankan untuk mengesahkan ia selamat kepada bayi.
Pengambilan glimepiride semasa penyusuan badan
Tiada maklumat yang cukup untuk mengesahkan glimepiride tidak meresap ke dalam susu badan dan kesannya kepada bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan glimepiride
Pengambilan glimepiride haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Glimepiride biasanya diambil sekali sehari setiap pagi. Pastikan anda mengambilnya semasa sarapan pagi.
Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.
Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Pengambilan glimepiride biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul bagi memastikan anda mendapat keberkesanan yang optimum dalam rawatan penyakit kencing manis anda.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan glimepiride
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda paras gula rendah (hipoglisemia) seperti cepat lapar, pening kepala, mudah marah, berasa keliru dan cemas serta mengalami serangan sawan
- tanda-tanda paras gula tinggi (hiperglisemia) seperti rasa dahaga, penglihatan kabur, kerap kencing dan badan berasa sangat lesu
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat atau jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda paras platelet darah rendah seperti kulit mengalami lebam atau berlakunya perdarahan yang luar biasa seperti hidung atau gusi berdarah
- tanda-tanda ketidakseimbangan elektrolit sodium di dalam darah seperti rasa loya, muntah, sakit kepala, badan berasa lesu, mengalami serangan sawan dan otot badan berasa kejang
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan glimepiride
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan glimepiride dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- antibiotik daripada kumpulan quinolone seperti ciprofloxacin dan levofloxacin
- ubat angiotensin-converting enzyme inhibitor seperti benazepril, captopril, enalapril, fosinopril, lisinopril, moexipril, perindopril, quinapril dan ramipril
- ubat antifungus seperti fluconazole dan ketoconazole
- chloramphenicol
- ubat monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti isocarboxazid, phenelzine dan tranylcypromine
- ubat salicylate seperti aspirin, magnesium salicylate dan salsalate
- ubat sulfonamide seperti sulfacetamide, sulfadiazine, sulfamethoxazole/trimethoprim (Bactrim), sulfasalazine dan sulfisoxazole
- Colesevelam
- Diazoxide
- ubat-ubatan untuk rawatan penyakit tuberkulosis seperti rifabutin, rifampin dan rifapentine
- ubat thiazide diuretic seperti chlorothiazide, chlorthalidone, hydrochlorothiazide, indapamide dan metolazone