Apa itu Haloperidol?
Haloperidol adalah sejenis ubat antipsikotik yang tergolong dalam kumpulan ubat neuroleptik atau antipsikotik tipikal. Ubat ini biasanya digunakan untuk merawat pelbagai gangguan psikiatri seperti skizofrenia dan gangguan bipolar dengan gejala psikosis. Ia bertujuan untuk mengurangkan gejala psikotik seperti halusinasi, khayalan dan ketidakstabilan emosi yang dialami oleh pesakit.
Mekanisme tindakan haloperidol berkaitan dengan interaksinya dengan sistem dopamin yang terletak di dalam otak. Otak mengendalikan komunikasi di antara sel-sel sarafnya dengan menggunakan bahan kimia yang dikenali sebagai neurotransmiter. Dalam kes psikosis, terdapat ketidakseimbangan dalam penghantaran dopamin, iaitu salah satu daripada neurotransmiter di dalam otak. Haloperidol bertindak dengan merencatkan tindakan reseptor dopamin terutama reseptor D2. Ini membantu mengurangkan aktiviti dopamin lalu membantu menstabilkan emosi dan pemikiran pesakit.
Jenama haloperidol yang boleh diperolehi di pasaran adalah Apo-Haloperidol.
Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil haloperidol?
Pesakit tidak boleh menggunakan haloperidol sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit Parkinsonisme
- krisis sistem saraf pusat seperti penyakit sawan
- penyakit usus tersumbat
- penyakit jantung seperti aritmia, infarksi miokardium akut, lemah jantung dan bradikardia
- penyakit hipertiroid
Namun haloperidol harus digunakan dengan berhati-hati bagi pesakit yang menghidap penyakit hati atau buah pinggang.
Pengambilan haloperidol semasa kehamilan
Tiada kajian yang sahih yang telah dijalankan untuk mengesahkan bahawa pengambilan haloperidol semasa mengandung tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan. Namun, dalam kes-kes yang kritikal, ia akan digunakan bagi menyelamatkan nyawa pesakit walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Pengambilan haloperidol semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan haloperidol boleh meresap ke dalam susu badan tetapi dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk mendatangkan kesan sampingan kepada bayi. Oleh itu, ia boleh digunakan semasa penyusuan badan tetapi dalam dos yang rendah dan pengambilannya harus dipantau dengan teliti oleh doktor.
Cara pengambilan haloperidol
Pengambilan haloperidol haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Haloperidol boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.
Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Jangan hentikan pengambilan ubat ini tanpa nasihat doktor walaupun simptom anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan ini boleh mendatangkan gejala withdrawal seperti insomnia, kemurungan, kegelisahan, sakit sendi, keletihan dan kenaikan selera makan.
Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan darah akan dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan haloperidol
Haloperidol boleh mengakibatkan pesakit mengalami kesan sampingan berikut:
- Gangguan sistem ekstrapiramidal: Termasuk parkinsonisme, diskinesia akut, distonia dan akathisia.
- Gangguan metabolik: Kenaikan berat badan, perubahan kadar gula darah dan risiko sindrom metabolik.
- Gangguan sistem kardiovaskular: Peningkatan risiko gangguan ritma denyutan jantung dan peningkatan QT interval.
- Gangguan sistem neurologi: Risiko untuk menghidap neuroleptic malignant syndrome yang melibatkan demam tinggi, otot menjadi kaku dan gangguan mental.
- Gangguan hematologi: Risiko agranulositosis dan leukopenia iaitu penurunan jumlah sel darah putih di dalam darah.
- Gangguan hormon: Ia boleh meningkatkan paras hormon prolaktin lalu menyebabkan gangguan pada hormon estrogen dan androgen. Ini boleh mengakibatkan kitaran haid wanita menjadi tidak teratur dan menyebabkan tumbesaran yang tidak normal pada payudara.
- Gangguan sistem gastrointestinal: Gangguan penghadaman seperti cirit-birit, sembelit, mual dan muntah.
- Gangguan sistem endokrin: Gangguan fungsi tiroid lalu mengakibatkan thyroid storm.
- Gangguan mata: Mata kering dan penglihatan kabur.
- Gangguan sistem urinari: Kencing tak lawas
- Masalah mati pucuk
- Gangguan sistem respiratori: Sesak nafas
- Gangguan kognitif: Gangguan ingatan
- Reaksi alergi: Pembentukan ruam yang gatal dan reaksi anafilaksis.
- Radang pankreas
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan haloperidol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan haloperidol dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- quinidine
- buspirone
- fluoxetine
- carbamazepine
- phenobarbital
- rifampicin