Apa itu Heparin?
Heparin adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat cair darah atau anticoagulant. Ia bertindak dengan menghalang pembentukan gumpalan darah pada pembuluh darah vena dan arteri.
Heparin biasanya digunakan untuk merawat dan mencegah pembekuan darah yang disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu iaitu:
- penyakit jantung seperti masalah injap jantung dan atrial fibrillation
- pulmonary embolism
- pembentukan thrombosis pada salur darah vena kaki (deep vein thrombosis)
Heparin juga digunakan semasa:
- menjalani prosedur-prosedur perubatan yang tertentu seperti hemodialisis dan transfusi darah
- selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko pembekuan darah disebabkan masalah pesakit kurang bergerak
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Heparin?
Anda tidak boleh menggunakan heparin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepadanya
- penyakit darah platelet yang rendah
- penyakit pendarahan yang teruk seperti ulser perut
Untuk memastikan heparin selamat untuk anda, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- jangkitan bakteria pada dinding otot jantung (bacterial endocarditis)
- tekanan darah tinggi yang teruk atau tidak terkawal
- penyakit ulser perut atau usus
- perdarahan yang luar biasa seperti kencing berdarah
- penyakit hati
- sedang menggunakan ubat cair darah seperti warfarin, Coumadin, Jantoven
- sedang mengalami haid
Pengambilan Heparin semasa mengandung
Mengikut kajian, heparin tidak boleh merentasi dinding placenta (uri rahim) dan meresap ke dalam sistem peredaran bayi dalam kandungan. Oleh itu, pengambilannya semasa mengandung adalah selamat.
Pengambilan Heparin semasa penyusuan badan
Mengikut kajian, molekul heparin adalah terlalu besar untuk meresap ke dalam susu ibu. Erti kata lain, ia tidak meresap ke dalam susu badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan adalah selamat.
Cara pengambilan Heparin
Heparin biasanya diberikan kepada pesakit dalam bentuk suntikan ke dalam lapisan lemak yang terletak di antara kulit dan otot (subcutanous) atau infusi ke dalam salur darah vena.
Infusi ke dalam salur darah biasanya akan diberikan oleh doktor atau jururawat semasa di klinik atau hospital.
Cara pengambilan suntikan secara subcutaneous adalah seperti berikut:
- Lap kawasan kulit yang hendak disuntik dengan swap alkohol. Jangan gosok kawasan kulit tersebut kerana ia boleh meningkatkan risiko untuk berlaku lebam dan pendarahan selepas suntikan diberi.
- Buka penutup jarum perlahan-lahan agar jarum tidak tergeser dengan penutup.
- Lipat sedikit kawasan kulit yang hendak disuntik dengan kedua-dua jari anda. Biasanya lebih mudah menggunakan ibu jari dan dari telunjuk. Tujuannya untuk menebalkan kawasan lemak yang terletak di bawah kulit.
- Arahkan jarum suntikan tegak ke arah kulit dan masukkan jarum ubat terus ke dalam kulit pada sudut 45-90 darjah betul-betul ke dalam lapisan lemak yang berada di bawah kulit.
- Tolakkan plunger pada belakang picagari ubat secara perlahan-lahan sehingga semua ubat telah habis.
- Apabila semua heparin telah disuntik, perlahan-lahan tarik jarum pada sudut yang sama daripada kulit sambil melepaskan lipatan kulit.
- Tekan kawasan yang telah disuntik dengan kapas bersih untuk 1-2 minit. Sekali lagi, jangan gosok kawasan kulit tersebut.
Gunakan heparin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini pada dos yang lebih besar atau lebih kecil dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Sekiranya anda perlu menjalani pembedahan, prosedur yang berkaitan dengan gigi dan prosedur-prosedur di klinik atau hospital seperti pengambilan darah, tolong maklumkan kepada doktor bahawa anda sedang menggunakan heparin.
Anda juga tidak boleh mengambil ubat-ubatan ini semasa pengambilan heparin kerana ia boleh meningkatkan risiko berlakunya perdarahan dalaman:
- kumpalan ubat tahan sakit jenis non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti ibuprofen, mefenamic acid (ponstan), diclofenac sodium (voltaren), indomethacin dan meloxicam
- ubat cair darah jenis warfarin, Coumadin dan Jantoven
- digitalis
- tetracycline
- nicotine
- antihistamine
Pastikan heparin disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan Heparin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Sila hubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut semasa pengambilan heparin iaitu:
- kulit berasa panas dan menjadi lebam
- sakit dada, degupan jantung menjadi tidak teratur
- sesak nafas, pening kepala, rasa cemas, berpeluh
- perdarahan yang luar biasa seperti kencing berdarah, hidung dan gusi berdarah
- sakit dan kembung perut yang teruk
- loya, muntah, hilang selera makan
- rasa sangat letih
- tanda-tanda perdarahan pada otak seperti tangan dan kaki berasa kebas sebelah secara mengejut, pertuturan menjadi pelat dan penglihatan menjadi kabur