Apa itu Hydralazine?
Hydralazine adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis vasodilator. Ia bertindak dengan mengendurkan otot-otot pada dinding salur darah dan ini membantu untuk mengembangkan salur darah. Tindak balas ini akan mengakibatkan tekanan darah menurun dan membolehkan peredaran darah menjadi lebih lancar.
Hydralazine biasanya digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi).
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Hydralazine?
Anda tidak boleh menggunakan Hydralazine sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit jantung jenis koronari
- penyakit rheumatic heart disease pada injap jantung jenis mitral
Untuk memastikan pengambilan Hydralazine adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit buah pinggang
- penyakit systemic lupus erythematosus
- penyakit angina
- pernah mengalami angin ahmar
Hydralazine tidak diluluskan untuk digunakan oleh budak di bawah umur 18 tahun.
Pengambilan Hydralazine semasa mengandung
Kajian menunjukkan bahawa Hydralazine boleh merentasi dinding placenta (uri rahim). Tambahan lagi, tidak banyak kajian mengenai ubat ini dijalankan ke atas ibu yang hamil.
Oleh itu, penggunaan ubat ini semasa mengandung hanya harus sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan lain yang boleh membantu untuk menurunkan tekanan darah dalam kes pre-eclampsia. Penggunaannya semasa trimester pertama dan trimester kedua harus dielakkan langsung.
Pengambilan Hydralazine semasa penyusuan badan
Kajian telah membuktikan bahawa Hydralazine boleh meresap ke dalam susu ibu tetapi dalam kuantiti yang sangat sedikit untuk mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan bayi yang menyusu.
Oleh itu, penggunaannya semasa penyusuan badan adalah selamat. Namun, ubat ini hanya akan digunakan sekiranya tiada lagi pilihan ubat-ubatan yang lebih sesuai yang dapat membantu untuk menurunkan tekanan darah.
Cara pengambilan Hydralazine
Ambil Hydralazine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Hydralazine boleh diambil sebelum atau selepas makan. Namun pengambilannya selepas makan memberikan penyerapan yang lebih baik ke dalam badan.
Pastikan ubat ini diambil setiap hari secara konsisten walau pun tekanan darah anda telah stabil.
Semasa pengambilan ubat ini, tekanan darah anda akan diperiksa secara rutin oleh doktor. Oleh itu, pastikan anda tidak terlupa tarikh temujanji anda.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan Hydralazine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sakit dada atau rasa tekanan pada bahagian dada yang merebak ke rahang dan bahu
- jantung berdegup laju
- rasa hendak pitam
- bahagian kaki atau tangan berasa kebas, kesemutan atau pijau
- sakit semasa kencing dan kencing tak lawas
- tanda-tanda sindrom lupus seperti bengkak dan sakit pada bahagian sendi disertai dengan demam, kelenjar badan membengkak, sakit dada, muntah, emosi yang tidak normal seperti kemurungan dan kulit menjadi merah dan pijau
Namun kesan sampingan Hydralazine yang biasa berlaku adalah:
- sakit dada dan jantung berdebar
- sakit kepala
- loya, muntah, cirit-birit, kurang selera makan