Apa itu Hydrocortisone?
Hydrocortisone adalah sejenis kortikosteroid atau steroid glukokortikoid sintetik yang menyerupai kortisol iaitu hormon semulajadi yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal.
Hydrocortisone berfungsi untuk:
- Mengawal tindak balas radang:
- Hydrocortisone mempunyai kesan anti-keradangan yang kuat. Ia mengurangkan pembentukan prostaglandin dan leukotrien yang merupakan bahan kimia yang bertanggungjawab menyebabkan keradangan, pembengkakan dan rasa sakit pada badan kita.
- Merencatkan tindak balas sistem imun:
- Hydrocortisone boleh melemahkan tindak balas sistem imun di dalam badan. Ia menghalang pengeluaran cytokine iaitu sejenis protein yang penting untuk merangsang tindak balas sistem imun. Ini membantu untuk mengurangkan tindak balas sistem imun yang hiperaktif pada pesakit yang menghidap penyakit autoimun atau alergi.
- Mengawal respon sistem imun terhadap tindak balas alergi:
- Hydrocortisone boleh membantu untuk mengurangkan tindak balas sistem imun pada pesakit yang menghidap masalah alergi. Ia menghalang sel-sel darah putih daripada mengeluarkan histamin dan bahan kimia lain yang boleh merangsang simptom-simptom alergi seperti gatal, ruam dan selsema.
Hydrocortisone digunakan untuk merawat:
- masalah alahan seperti ekzema, gegata dan sebagainya
- penyakit autoimun seperti arthritis rheumatoid, lupus, ulcerative colitis dan sebagainya
- mencegah penurunan yang mendadak pada darah putih dan platelet pada pesakit yang menghidap kanser darah atau selepas menerima rawatan kemoterapi
- masalah kekurangan hormon kortisol pada pesakit yang menghidap penyakit kelenjar adrenal
Hydrocortisone boleh diperolehi dalam bentuk tablet, krim dan suntikan. Jenama krim hydrocortisone yang boleh diperolehi di pasaran ialah Axcel Hydrocortisone, DermAid, H-Cort, Hydrocort YSP dan Renson. Jenama tablet hydrocortisone pula ialah Hydrocortison Orion dan Renson manakala jenama suntikan hydrocortisone ialah Solu-Cortef dan Zycort Injection.
Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan hydrocortisone?
Hydrocortisone tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- pernah mengalami tindak balas alahan semasa pengambilannya
- baru disuntik dengan vaksin jenis live-attenuated seperti vaksin MMR, varicella, rotavirus, influenza dan tifoid
- menghidap penyakit-penyakit tertentu iaitu:
- osteoporosis
- jangkitan fungus pada seluruh badan termasuk di dalam darah
- glaukoma
- penyakit kencing manis yang tidak terkawal
- jangkitan kuman pada sendi
- ulser perut dan usus
Hydrocortisone juga tidak sesuai digunakan untuk jangka panjang terutama pada pesakit yang menghidap penyakit-penyakit berikut:
- penyakit buah pinggang yang serius
- penyakit darah tinggi yang tak terkawal
- penyakit sirosis hati
- jangkitan herpes pada mata
- penyakit yang berkaitan dengan otot seperti myasthenia gravis
- penyakit mental seperti kemurungan
Pengambilan hydrocortisone semasa mengandung
Tiada kajian yang sahih untuk mengesahkan pengambilan hydrocortisone dalam bentuk oral dan suntikan selamat kepada bayi dan wanita hamil. Oleh itu, pengambilannya hanya disyorkan dalam kes-kes yang kritikal untuk menyelamatkan nyawa pesakit walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Walau bagaimanapun pengambilan krim hydrocortisone adalah selamat.
Pengambilan hydrocortisone semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang sahih untuk mengesahkan pengambilan hydrocortisone dalam bentuk oral dan suntikan selamat kepada bayi yang sedang menyusu badan. Namun ubat ini telah digunakan secara meluaskan dalam dos yang rendah tanpa mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Walau bagaimanapun, pengambilan krim hydrocortisone adalah selamat.
Cara pengambilan hydrocortisone
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Oral hydrocortisone juga jarang diambil untuk jangka masa panjang. Ia biasanya akan dimulakan dengan dos yang tinggi dan dosnya akan diturunkan secara berperingkat untuk satu tempoh masa.
Pastikan anda mengambil ubat ini selepas makan bagi mengelak berlakunya radang perut atau usus.
Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati, buah pinggang dan sistem kardiovaskular.
Jangan hentikan pengambilan ubat ini tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun keadaan penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana ia boleh mengakibatkan penyakit anda menjadi melarat secara tiba-tiba.
Dos ubat jenis oral hydrocortisone mungkin perlu diubah sekiranya anda mengalami demam atau infeksi, perlu menjalani pembedahan atau menghidap keadaan kesihatan yang akut dan kritikal. Oleh itu, bincang dengan doktor yang merawat anda mengenai cara pengambilan ubat ini sebelum anda menjalani sebarang rawatan.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat ini daripada menjadi rosak.
Kesan sampingan hydrochlorothiazide
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- perubahan emosi seperti kemurungan, gelisah, mempunyai pemikiran untuk membunuh diri dan berhalusinasi
- tanda-tanda jangkitan kuman yang serius seperti demam tinggi, sakit tekak, selsema dan batuk berkahak
- tanda-tanda hiperglisemia seperti seluruh badan berasa sangat lesu, penglihatan kabur, kerap kencing, kerap dahaga dan sesak nafas dengan nafas berbau seperti buah
- tanda-tanda sindrom Cushing seperti kenaikan berat badan, pembentukan jerawat yang banyak pada muka, otot berasa sangat lesu, wajah bengkak dan kulit berwarna kemerahan, haid menjadi tidak teratur pada kaum wanita, libido menurun pada kaum lelaki, paras gula darah meningkat dan tekanan darah menjadi tinggi
- tanda-tanda masalah pada kelenjar adrenal seperti sakit perut, muntah, badan berasa lesu, perubahan pada mood, hilang selera makan dan berat badan menyusut
- tanda-tanda paras elektrolit potassium di dalam darah rendah seperti badan berasa lesu, otot mengalami kekejangan dan denyutan jantung menjadi tidak teratur
- tanda-tanda masalah pada organ pankreas seperti sakit pada bahagian atas abdomen yang merebak ke pinggang dan bahu serta muntah yang kerap
- tanda-tanda saluran darah tersumbat (deep vein thrombosis) seperti kaki mengalami bengkak yang sakit, pernafasan menjadi sesak dan sakit dada
- penglihatan kabur kerana pembentukan katarak
- tanda-tanda darah cair seperti kulit mengalami lebam dan berlaku perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- pening kepala
- badan berasa lesu
- sakit otot
- cirit-birit
- muntah
- kaki bengkak
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan hydrocortisone
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan hydrocortisone lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- pil perancang keluarga
- ubat-ubatan untuk merawat penyakit jantung seperti aspirin, frusemide dan sebagainya
- ubat-ubatan untuk merawat penyakit kencing manis seperti metformin, gliclazide, insulin dan sebagainya
- ubat-ubatan untuk merawat jangkitan kuman seperti antibiotik
- ubat-ubatan untuk merawat penyakit sawan
- ubat cair darah seperti warfarin