Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Imatinib | Kegunaan, Cara pengambilan dan Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Imatinib | Kegunaan, Cara pengambilan dan Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Imatinib?

Imatinib adalah sejenis ubat generik yang digunakan untuk merawat penyakit kanser darah jenis chronic myeloid leukemia dan acute lymphoblastic leukemia, serta kanser stromal gastrointestine.

Imatinib bertindak dengan cara menghalang aktiviti enzim yang dipanggil tirosin kinase. Tirosin kinase ini terdapat pada sel-sel kanser dan berfungsi untuk menyokong pertumbuhan sel-sel kanser tersebut. Dengan menghalang tindakan tirosin kinase, Imatinib dapat membantu untuk menghentikan pertumbuhan dan penyebaran sel-sel kanser.

Jenama Imatinib yang boleh diperolehi di pasaran adalah Glivec, Iminox, Sutent dan Trevive.

Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil Imatinib?

Pesakit tidak boleh menggunakan Imatinib sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. sejarah alahan kepada ubat ini
  2. penyakit buah pinggang
  3. penyakit sistem kardiovaskular seperti darah tinggi, lemah jantung dan penyakit jantung koronari
  4. penyakit kencing manis
  5. masalah perdarahan sistem penghadaman seperti ulser perut atau usus
  6. penyakit kelenjar tiroid jenis hipotiroid

Pengambilan Imatinib semasa kehamilan

Pengambilan Imatinib semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko kecacatan kongenital kepada bayi seperti kecacatan jantung, encephalocele dan anencephaly. Ia juga boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan.

Pengambilan Imatinib semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan Imatinib boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sedikit. Namun tiada kajian kukuh untuk mengesahkan ia tidak mengganggu kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.

Cara pengambilan Imatinib

Pengambilan Imatinib haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Imatinib biasanya diambil secara oral. Ia harus diambil semasa atau selepas makan.

Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun simptom anda telah pulih kerana ia boleh mengakibatkan penyakit anda menjadi bertambah teruk.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Imatinib

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  1. tanda-tanda pengumpulan air berlebihan di dalam badan seperti bengkak pada kedua-dua belah kaki, kenaikan berat badan secara mendadak dan sesak nafas
  2. tanda-tanda masalah buah pinggang seperti bengkak pada kedua-dua belah kaki dan kencing tak lawas
  3. tanda-tanda paru-paru berair seperti sesak nafas, pernafasan berbunyi dan batuk berkahak buih
  4. tanda-tanda perdarahan perut seperti najis berwarna hitam dan muntah berwarna kopi
  5. tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat atau jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
  6. tanda-tanda paras darah putih rendah seperti demam tinggi, batuk, selsema, kulit lebam atau kelihatan pucat, rasa letih yang melampau dan rasa kebas pada hujung jari
  7. tanda-tanda masalah kelenjar tiroid seperti badan berasa lesu, kulit kering, rambut gugur, sembelit, denyutan jantung lemah dan badan berasa sejuk
  8. tanda-tanda sindrom lisis tumor seperti rasa loya, muntah, otot mengalami kekejangan, badan berasa lesu yang melampau, kencing tak lawas dan rasa kesemutan atau kebas pada tangan dan kaki

Namun kesan sampingan Imatinib yang biasa berlaku adalah:

  • bisa sendi dan otot
  • rasa lesu 
  • pembentukan ruam pada kulit
  • tanda-tanda gangguan pada sistem penghadaman seperti rasa loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit
  • bengkak kaki

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Imatinib

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Imatinib dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • antibiotik daripada kumpulan macrolide seperti erythromycin dan clarithromycin
  • antifungus seperti ketoconazole, itraconazole dan voriconazole
  • ubat sawan tertentu seperti phenytoin, carbamazepine dan phenobarbitone
  • ubat cair darah seperti warfarin
  • ubat yang mengandungi steroid seperti dexamethasone dan prednisolone
  • ubat kolesterol seperti simvastatin dan atorvastatin
  • suplemen vitamin atau mineral yang mengandungi zat besi
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar