Apa itu Imiquimod?
Imiquimod adalah sejenis krim yang digunakan untuk merawat penyakit kutil dan kudis pada kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus atau kulat. Ia juga digunakan untuk merawat penyakit kanser kulit jenis basal cell carcinoma.
Imiquimod bertindak secara khusus untuk merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan respon pada peringkat sel. Ia akan berinteraksi dengan sel-sel kulit yang disebut sel dendritik. Sel dendritik yang telah diaktifkan oleh imiquimod akan mengumpulkan maklumat tentang jangkitan atau kanser dan kemudiannya bergerak menuju ke kawasan nodus limfa untuk berinteraksi dengan sel-sel limfosit T.
Sel limfosit T yang telah “terlatih” untuk mengenali virus, kulat atau sel kanser tersebut akan berkembang dan membiak lalu menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat dan khusus untuk menghapuskan sel-sel kuman dan kanser tersebut.
Jenama krim imiquimod yang boleh diperolehi di pasaran ialah Andara.
Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan imiquimod?
Imiquimod tidak sesuai digunakan oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- pernah mengalami tindak balas alahan semasa penggunaannya
- penyakit yang disebabkan oleh sistem imun yang lemah seperti HIV dan AIDS
- sedang menerima rawatan imunosupresif selepas pembedahan transplantasi organ
Untuk memastikan anda menggunakan krim ini dengan selamat, pastikan anda memaklumkan doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit autoimun seperti lupus dan arthritis rheumatoid
- mempunyai jangkitan kuman yang serius seperti bisul atau ulser berdekatan dengan kawasan kulit yang ingin disapukan ubat
- pernah menjalani pembedahan berdekatan dengan kawasan yang ingin disapukan ubat
- penyakit basal cell nervus syndrome
- menghidap jangkitan virus Human Papilloma berdekatan dengan kawasan kulit yang ingin disapukan ubat
- penyakit xeroderma pigmentosum
Imiquimod juga tidak sesuai digunakan oleh pesakit yang berumur 12 tahun dan ke bawah.
Penggunaan imiquimod semasa kehamilan?
Tiada kajian terperinci yang telah dijalankan untuk mengesahkan bahawa penggunaan imiquimod semasa mengandung tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan. Namun, dalam kes-kes yang kritikal, ia akan digunakan bagi menyelamatkan nyawa pesakit walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Penggunaan imiquimod semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang telah dijalan untuk mengesahkan bahawa ubat ini tidak meresap ke dalam susu badan. Oleh itu, penggunaannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan. Namun, dalam kes-kes yang kritikal, ia akan digunakan bagi menyelamatkan nyawa pesakit walaupun ia mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Cara penggunaan imiquimod
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Krim imiquimod hanya untuk kegunaan pada kulit sahaja. Jangan sapukan ubat ini pada mata, hidung, mulut, alat kelamin dan anus.
Semasa penggunaan ubat ini, kulit anda juga tidak digalakkan untuk terdedah terlalu lama di bawah kepanasan cahaya matahari.
Cara penggunaan krim imiquimod adalah seperti berikut:
- Basuh tangan anda sebelum dan selepas menggunakan krim ini
- Picit 1-2 sachet krim imiquimod mengikut dos yang telah ditetapkan oleh doktor anda dan sapukannya secara perlahan-lahan pada kawasan kulit yang bermasalah. Lakukannya pada waktu malam sebelum tidur.
- Biarkan ubat ini pada kulit selama 8-10 jam. Dalam tempoh tersebut, anda tidak digalakkan mandi.
- Jangan tutup kawasan kulit yang telah disapukan ubat dengan kain pembalut melainkan sekiranya ia diminta oleh doktor anda.
Pastikan anda tidak menyapukan krim-krim lain pada kawasan kulit yang sedang dirawat bagi mengelak kesan sampingan ubat daripada berlaku.
Kesan sampingan imiquimod
Berikut adalah kesan-kesan sampingan yang boleh berlaku semasa penggunaan imiquimod:
- kulit mengalami kemerahan, gatal-gatal, terbakar atau lebam
- kulit mengelupas, bersisik, menjadi kering dan menebal
- bengkak, pedih atau sakit pada kawasan kulit yang dirawat
- kulit melepuh, berkudis atau membentuk benjolan
- sakit kepala
- penglihatan kabur
- cirit-birit
- sakit belakang
- keletihan
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan imiquimod
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan imiquimod lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat kortikosteroid seperti prednisolone
- echinacea
- ubat yang boleh melemahkan sistem imun seperti tacrolimus, cyclosporine, methotrexate dan sebagainya
- pimecrolimus
- krim-krim selain daripada imiquimod