Apa itu Indapamide?
Indapamide adalah sejenis ubat diuretik yang digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi dan lemah jantung.
Indapamide bertindak pada sistem ginjal dan sistem saluran darah. Di peringkat ginjal, ubat ini akan menggalakkan penyingkiran air dan garam yang berlebihan di dalam badan melalui air kencing. Ini sangat berguna untuk melegakan masalah edema yang sering dihidapi oleh pesakit lemah jantung.
Manakala di peringkat salur darah, ia membantu untuk mengembangkan salur darah arteri lalu membantu untuk menurunkan tekanan darah dan beban kerja jantung.
Jenama indapamide yang boleh diperolehi di pasaran ialah Apo-Indapamide dan Natrilix SR. Indapamide juga boleh diperolehi dalam bentuk gabungan dengan ubat-ubatan lain seperti yang terdapat pada jenama Natrixam dan Triplixam.
Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil indapamide?
Indapamide tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- pernah mengalami alahan semasa pengambilannya
- penyakit buah pinggang yang serius
- penyakit hati yang teruk seperti sirosis hati
- penyakit gout
- penyakit kencing manis
- penyakit hiponatremia (paras elektrolit natrium yang rendah di dalam darah)
- penyakit hipokalemia (paras elektrolit potassium yang rendah di dalam darah)
Pengambilan indapamide semasa kehamilan
Tiada kajian yang terperinci yang telah dijalankan ke atas pengambilan ubat ini oleh wanita hamil. Namun kajian ke atas haiwan tidak menunjukkan sebarang kesan kemudaratan pada kandungan.
Walau bagaimanapun, ubat ini tidak disyorkan untuk diambil oleh wanita hamil.
Pengambilan indapamide semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang telah mengesahkan bahawa indapamide tidak meresap ke dalam susu badan dan kesannya kepada bayi masih tidak ketahui. Di samping itu, ubat ini juga didapati boleh mengurangkan kandungan susu badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan indapamide
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Indapamide biasanya diambil pada sebelah pagi. Ia boleh diambil dalam keadaan perut kosong atau selepas makan. Cuba elakkan pengambilan ubat ini pada waktu malam kerana ia boleh mengganggu tidur anda akibat kerap terbangun untuk membuang air kecil.
Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan ini boleh mengakibatkan penyakit anda menjadi melarat secara mengejut.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat ini daripada menjadi rosak.
Kesan sampingan indapamide
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda kekurangan kalium (hipokalemia) seperti otot berasa sangat lemah, denyutan jantung tidak teratur atau otot mengalami kekejangan.
- tanda-tanda kekurangan natrium (hiponatremia) seperti sakit kepala, mual, rasa kebingungan atau lesu seluruh badan.
- tanda-tanda kenaikan gula dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap membuang air kecil, rasa dahaga yang melampau, penglihatan menjadi kabur dan badan berasa sangat lesu.
- tanda-tanda gangguan sistem penghadaman seperti rasa mual, muntah, sembelit atau cirit-birit.
- tanda-tanda reaksi kulit seperti pembentukan ruam, gatal-gatal atau peningkatan sensitiviti kulit terhadap cahaya matahari.
- kencing tak lawas atau langsung tidak dapat membuang air kecil.
- gangguan libido
- tanda-tanda gangguan penglihatan seperti rabun atau mata kering
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan indapamide
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan indapamide lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- digoxin
- digitalis
- lithium
- ubat-ubatan lain untuk rawatan tekanan darah tinggi
- steroid seperti prednisolone