Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Infliximab | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Infliximab | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Infliximab?

Infliximab adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit autoimun seperti penyakit Crohn, ulcerative colitis, ankylosing spondylitis, arthritis rheumatoid dan psoriatic arthritis.

Infliximab adalah sejenis ubat yang menyerupai sebatian anti-TNF-alpha. TNF-alpha (tumor necrosis factor-alpha) pula adalah sejenis protein yang berperanan dalam sistem ketahanan badan manusia. Dalam keadaan normal, TNF-alpha membantu tubuh untuk melawan jangkitan dan mengawal keradangan. Namun, dalam penyakit autoimun, sistem ketahanan badan boleh menjadi terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak TNF-alpha. Keadaan ini boleh menyebabkan keradangan berlebihan dalam tisu-tisu badan yang akhirnya membawa kepada gejala-gejala penyakit.

Infliximab bertindak dengan mengikat kepada TNF-alpha (tumor necrosis factor-alpha) di dalam tubuh manusia. Apabila ikatan ini berlaku, ia akan menghalang TNF-alpha daripada berinteraksi dengan reseptornya. Ini akan merencatkan kesan TNF-alpha untuk merangsangkan tindak balas radang yang berlaku pada tisu-tisu badan yang boleh merosakkan dan menghancurkan tisu-tisu sendi dalam rheumatoid arthritis atau lapisan dinding saluran penghadaman di dalam penyakit Crohn dan ulcerative colitis.

Jenama infliximab yang boleh diperolehi di pasaran ialah Remicade.

Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil infliximab?

Infliximab tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. pernah mengalami alahan semasa pengambilannya
  2. kegagalan jantung (NYHA kelas III/IV) – Menurut Persatuan Jantung Amerika, infliximab boleh menyebabkan ketoksikan miokardium dan melemahkan fungsi otot miokardium
  3. jangkitan kuman akut yang serius seperti sepsis
  4. jangkitan kuman yang aktif yang sedang dirawat atau belum mendapat rawatan seperti tuberkulosis

Infliximab harus diambil dengan berhati-hati dalam sekiranya pesakit mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit demielinasi sistem saraf
  • penyakit kegagalan jantung ringan dan sederhana (kelas NYHA I/II)
  • pernah mempunyai sejarah penyakit sawan
  • pesakit berumur 65 tahun dan ke atas
  • penyakit hati yang kronik
  • penyakit diabetes mellitus yang tidak terkawal
  • penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD)

Pengambilan infliximab semasa kehamilan

Tiada kajian yang terperinci yang telah dijalankan ke atas pengambilan infliximab semasa kehamilan. Namun dalam kes-kes yang mana ubat ini diberikan kepada wanita hamil, kehadiran ubat ini telah dikesan di dalam darah bayi sehingga mereka berumur 6 bulan. Namun, bayi-bayi ini di dapati tidak mempunyai sebarang kesan sampingan ubat.

Walau bagaimanapun, pengambilan ubat ini semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan sekiranya keadaan kesihatan pesakit berada dalam keadaan serius.

Pengambilan infliximab semasa penyusuan badan

Infliximab boleh meresap ke dalam susu badan tetapi dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan dalam dos yang rendah dan di bawah pemantauan teliti para doktor.

Cara pengambilan infliximab

Infliximab biasanya dipasarkan dalam bentuk suntikan. Ubat ini akan disuntik ke dalam badan melalui suntikan intravenous di bawah pemantauan doktor di hospital atau klinik.

Pesakit dinasihatkan untuk mengisi perut sebelum menerima rawatan dengan ubat ini bagi mengelak masalah kembung perut dan sakit perut.

Kesan sampingan infliximab

Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan ubat ini adalah:

  1. risiko jangkitan kuman seperti bakteria, virus dan kulat.
  2. reaksi alergi seperti pembentukan ruam pada kulit, gatal-gatal, bengkak muka atau bibir, kesukaran untuk bernafas dan peningkatan kadar denyutan jantung.
  3. masalah sistem pencernaan seperti mual, muntah, cirit-birit atau sakit perut.
  4. reaksi infusi seperti demam menggigil, sakit kepala, rasa bahang pada badan atau kesemutan pada kulit dan peningkatan kadar denyutan jantung.
  5. penurunan paras sel darah putih yang boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman.
  6. risiko tindak balas autoimun
    • Walaupun infliximab digunakan untuk merawat penyakit autoimun, ada risiko bahawa ia boleh menyebabkan tindak balas autoimun yang baru di dalam badan seperti systemic lupus erythematosus (SLE)
  7. gangguan fungsi hati
  8. risiko mendapat kanser
    • Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa penggunaan jangka panjang infliximab boleh meningkatkan risiko beberapa jenis kanser seperti limfoma

Kesan sampingan ini mungkin berbeza-beza dari individu ke individu dan tidak semua pesakit akan mengalaminya. Oleh itu, adalah penting untuk berkomunikasi secara terbuka dengan doktor anda mengenai sebarang kesan sampingan yang mungkin anda alami semasa menggunakan infliximab. Doktor akan memberikan nasihat yang sesuai untuk meminimakan risiko kesan sampingan dan memastikan keselamatan dan keberkesanan rawatan.

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan infliximab

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan infliximab lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat-ubatan imunosupresan seperti azathioprine (Azasan, Imuran), cyclosporine (Gengraf, Neoral, Sandimmune), sirolimus (Fyarro, Rapamune), tacrolimus (Astagraf XL, Envarsus XR, Prograf) dan methotrexate (Otrexup, Rasuvo)
  • ubat-ubatan kortikosteroid seperti dexamethasone, methylprednisolone dan prednisone
  • abatacept (Orencia)
  • adalimumab (Humira)
  • anakinra (Kineret)
  • etanercept (Enbrel)
  • tocilizumab (Actemra)
  • theophylline
  • warfarin
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar