Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Insulin lispro | Fungsi, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Insulin lispro | Fungsi, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Insulin lispro?

Insulin lispro adalah sejenis insulin tindakan cepat yang digunakan untuk mengawal paras gula di dalam darah pada pesakit yang menghidap penyakit kencing manis jenis Type 1 dan Type 2. Ia mula memberi kesan selepas 10-20 minit suntikan dan kesannya mencapai maksimum selepas 1/2-3 jam suntikan. Ubat ini boleh bertahan di dalam badan untuk tempoh 3-5 jam.

Apabila insulin lispro berada di dalam aliran darah, ia akan bertindak dengan mengikat kepada reseptor insulin yang terletak pada permukaan sel-sel tisu badan terutamanya sel-sel otot, lemak dan organ. Ini merangsang sel-sel ini untuk menyerap glukosa daripada darah ke dalam sel untuk dimetabolismekan. Proses ini akan membantu untuk mengurangkan paras gula di dalam darah.

Jenama insulin lispro yang boleh diperolehi di pasaran adalah Humalog.

Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan insulin lispro?

Insulin lispro tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. pernah mengalami alahan semasa pengambilannya
  2. sedang mengalami paras gula yang rendah (hipoglisemia)

Dos insulin lispro juga mungkin perlu diubah sekiranya pesakit mengalami perubahan pada selera makan atau sedang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.

Pengambilan insulin lispro semasa kehamilan

Kajian telah membuktikan bahawa pengambilan insulin lispro oleh wanita hamil tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa kehamilan.

Pengambilan insulin lispro semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan bahawa insulin lispro boleh meresap ke dalam susu badan. Walaupun pengambilannya selamat kepada bayi, namun dos ubat ini mungkin perlu dikurangkan bagi mengelak gejala hipoglisemia pada bayi.

Cara pengambilan insulin lispro

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Insulin lispro boleh diambil dalam bentuk suntikan subkutaneous atau intravena. Bagi suntikan subkutaneous, ia biasanya diambil 15 minit sebelum makan.

Pastikan anda mengubah-ubah kawasan suntikan setiap kali mengambil ubat. Jangan suntik pada kawasan kulit yang sama setiap kali kerana ia boleh mengakibatkan pembentukan fibrosis di bawah lapisan kulit yang boleh mengakibatkan kesakitan semasa jarum dicucuk. Kawasan badan yang boleh digunakan untuk mencucuk ubat ialah di sekitar bahagian umbilicus abdomen, bahagian luar paha, bahagian belakang lengan atas dan punggung.

Cara melakukan suntikan subkutaneous:

  1. Bersihkan bahagian kulit yang hendak disuntik dengan menggunakan swab alkohol.
  2. Buka penutup pen insulin. Masukkan jarum yang baru dan bersih ke bahagian kepala pen.
  3. Terbalikkan pen sebanyak 8-10 kali atau golekkan pen sebanyak 8-10 kali antara 2 tapak tangan dengan perlahan-lahan untuk memastikan tiada mendakan pada larutan ubat.
  4. Tarik butang dos and pusingkan dial pada bahagian belakang pen insulin kepada dos yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
  5. Buka penutup jarum.
  6. Picit bahagian sisi kulit yang hendak disuntik supaya bahagian lapisan lemak di bawah kulit menjadi tebal. Jangan sentuh bahagian kulit yang hendak disuntik.
  7. Cucuk jarum secara terus dan tegak ke bahagian kulit tersebut. Apabila jarum telah berada di dalam kulit, tekan bahagian butang pen untuk memasukkan ubat ke dalam badan. Tekan butang pen sehingga dial telah menjadi “0”.
  8. Apabila semua ubat telah dimasukkan, keluarkan jarum dan lepaskan bahagian kulit yang dipicit. Tekan bahagian kulit yang disuntik dengan kapas selama lebih kurang 1/2 minit.

Selalu periksa warna larutan ubat dan kehadiran mendakan pejal di dalam pen sebelum menggunakannya. Sekiranya ia berlaku, jangan gunakan ubat tersebut dan tukarkan dengan yang baru.

Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Simptom-simptom seperti cepat lapar, pening kepala, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, kismis atau minuman soda.

Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Pengambilan insulin lispro biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Sepanjang tempoh pengambilan ubat ini, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap pengawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan insulin lispro

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • kerap mengalami gejala hipoglisemia seperti rasa gemuruh, pening kepala, cepat rasa lapar, perasaan kebingungan, kadar denyutan jantung yang laju dan berpeluh secara berlebihan
  • kenaikan berat badan secara mendadak
  • reaksi pada bahagian kulit yang disuntik seperti warna kulit berubah merah, bengkak dan sakit
  • pembentukan edema pada tangan dan kaki
  • tanda-tanda hipokalemia seperti badan berasa sangat lesu, otot-otot badan mengalami kekejangan, rasa kebas atau kesemutan pada jari kaki dan tangan, denyutan jantung menjadi tidak teratur dan kesukaran untuk bernafas

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan insulin lispro

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan insulin lispro dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • androgen seperti testosterone
  • angiotensin converting enzyme inhibitor seperti captopril dan ramipril
  • angiotensin receptor blocker (ARB) seperti candesartan, irbesartan dan losartan
  • antipsikotik seperti clozapine, quetiapine dan risperidone
  • beta-blocker seperti atenolol, metoprolol, pindolol, propranolol dan sotalol
  • pil perancang keluarga
  • beta-2 agonist seperti salbutamol, salmeterol, terbutaline dan formoterol
  • chloroquine
  • clarithromycin
  • kortikosteroid seperti prednisolone
  • dabrafenib
  • danazol
  • pseudoephedrine
  • ubat kencing manis seperti acarbose, canagliflozin, glyburide, insulin, liraglutide, metformin, rosiglitazone dan sitagliptin
  • disopyramide
  • diuretik seperti frusemide, hydrochlorothiazide dan triamterene
  • epinephrine
  • estrogen seperti estradiol dan ethinyl estradiol
  • everolimus
  • glucagon
  • goserelin
  • antivirus seperti glecaprevir, pibrentasvir, ledipasvir, paritaprevir dan sofosbuvir
  • HIV protease inhibitor seperti atazanavir, indinavir, ritonavir dan saquinavir
  • hydroxychloroquine
  • lanreotide
  • monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti moclobemide, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine
  • niacin
  • nilotinib
  • octreotide
  • pasireotide
  • pegvisomant
  • progestin seperti dienogest, levonorgestrel, medroxyprogesterone dan norethindrone
  • quinine
  • antibiotik kumpulan quinolone seperti ciprofloxacin, norfloxacin dan ofloxacin
  • selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti citalopram, fluoxetine, paroxetine dan sertraline
  • sirolimus
  • somatropin
  • antibiotik kumpulan sulfa seperti sulfamethoxazole dan sulfadiazine
  • sunitinib
  • tacrolimus
  • tramadol
  • venetoclax
  • vorinostat
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar