Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Ipratropium bromide | Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Ipratropium bromide | Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Ipratropium bromide?

Ipratropium bromide adalah sejenis ubat inhaler atau aerosol yang digunakan untuk melegakan bronkospasma (penyempitan saluran udara ke paru-paru) yang disebabkan oleh penyakit kronik pulmonari obstruktif (chronic obstructive pulmonary disease), emfisema (kerosakan pundi udara dalam paru-paru) dan asma.

Ipratropium bromide bertindak sebagai agen antikolinergik dengan merencatkan tindakan reseptor kolinergik muskarinik. Ini akan mengurangkan pengeluaran cyclic guanosine monophosphate (cGMP) lalu menyebabkan pengenduran otot-otot licin yang terletak pada dinding saluran pernafasan paru-paru.

Tindak balas ini akan membantu:

  • melegakan penyempitan saluran pernafasan paru-paru
  • mengurangkan penghasilan lendir di dalam bronkus dan bronkiol

Jenama ipratropium bromide yang boleh diperolehi di pasaran adalah Atrovent dan Atrovent N. Terdapat juga jenama ipratropium bromide yang telah digabungkan dengan ubat-ubatan lain seperti jenama Berodual (ipratropium + fenoterol), Berodual N (ipratropium + fenoterol) dan Combivent (Ipratropium + salbutamol)

Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan ipratropium bromide?

Ipratropium bromide tidak sesuai diambil oleh pesakit yang pernah mengalami alahan semasa pengambilan ubat ini dan atropine.

Penggunaan ipratropium bromide semasa kehamilan

Kajian penggunaan ubat ini ke atas haiwan hamil telah menunjukkan ia tidak memudaratkan kesihatan kandungan. Namun tiada kajian terperinci yang telah dijalankan ke atas wanita hamil. Oleh itu, pengambilannya hanya dianggap perlu jika keadaan kesihatan pesakit adalah serius dan selepas pertimbangan yang sewajarnya telah dilakukan oleh doktor terhadap risiko-risiko dan manfaat rawatan.

Penggunaan ipratropium bromide semasa penyusuan badan

Kajian telah menunjukkan ipratropium bromide boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, penggunaannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.

Cara pengambilan ipratropium bromide

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Ipratropium bromide biasanya disyorkan untuk diambil oleh orang dewasa dan kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas mengikut dos berikut: 2 dos bermeter (sedutan) 4 kali setiap hari. Jumlah dos harian tidak
boleh melebihi 12 semburan aerosol. Penggunaan oleh kanak-kanak mesti diawasi oleh orang dewasa.

Anda harus menggunakan ubat ini dalam posisi duduk atau berdiri. Elakkan penggunaannya dalam keadaan baring.

Cara penggunaan inhaler ipratropium bromide adalah seperti berikut:

  1. Alihkan penutup pelindung daripada corong mulut. 
  2. Hembus nafas dengan kuat.
  3. Letakkan meter aerosol ke dalam mulut anda dan tutup bibir anda dengan ketat di pelekap mulut.
  4. Sedut secara mendalam sambil menekan dengan teguh pada bahagian bawah kanister untuk melepaskan satu semburan aerosol. Tahan nafas selama beberapa saat, kemudian keluarkan pelekap mulut daripada mulut anda dan hembus nafas perlahan-lahan. Tindakan yang sama diulang untuk penyedutan yang ke-2.
  5. Masukkan semula penutup pelindung ke dalam corong mulut selepas menggunakannya.

Jangan gandakan dos jika anda terlupa dos yang sebelumnya. Sedut dos yang seterusnya pada masa yang tetap. 

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapat nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan tersebut boleh mengakibatkan penyakit anda menjadi melarat secara mengejut.

Kanister ubat ini berada dalam keadaan bertekanan tinggi. Oleh itu, jangan letakkan inhaler anda pada tempat yang bersuhu tinggi. Pastikan ianya disimpan di tempat yang bersuhu di bawah 30°C.

Kesan sampingan ipratropium bromide

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa penggunaan ubat ini ialah:

  1. sakit kepala
  2. mulut kering
  3. pening
  4. batuk
  5. sakit tekak
  6. gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, cirit birit dan muntah
  7. gangguan sistem kardiovaskular seperti palpitasi dan tekanan darah rendah
  8. gangguan penglihatan seperti penglihatan kabur, pembentukan ‘halo’ pada pandangan dan mata kering serta silau
  9. kencing tak lawas

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan ipratropium bromide

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ipratropium bromide lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • pramlintide
  • dimenhydrinate
  • donepezil
  • galantamine
  • levodopa
  • tacrine
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar