Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Irbesartan | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Irbesartan | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Irbesartan?

Irbesartan adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan angiotensin II receptor blocker (ARB). Ia bertindak dengan cara merencatkan semua tindakan angiotensin II pada reseptor AT1. Akibatnya paras plasma renin dan angiotensin II akan meningkat dan paras plasma aldesteron akan menurun lalu menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.

Irbesartan digunakan untuk merawat:

  • penyakit tekanan darah tinggi
  • mencegah kerosakan berterusan buah pinggang pada pesakit kencing manis dan darah tinggi yang mempunyai paras creatinine darah yang tinggi dan kehadiran protein di dalam air kencing.

Jenama irbesartan yang boleh diperolehi di pasaran adalah Bezartan, Irbevell, Irbis dan Cruzor.

Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil irbesartan?

Irbesartan tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. pernah mengalami alahan semasa pengambilannya atau mana-mana ubat daripada kumpulan angiotensin II receptor blocker (ARB)
  2. sedang menggunakan ubat aliskiren kerana pengambilan serentak kedua-dua jenis ubat boleh meningkatkan risiko komplikasi tekanan darah rendah, hiperkalaemia dan kerosakan buah pinggang akut
  3. penyakit genetik galactose intolerance, lactase deficiency atau malabsorpsi glukosa-galaktosa

Pengambilan irbesartan semasa mengandung

Pengambilan irbesartan semasa kehamilan boleh mengakibatkan masalah kekurangan air ketuban. Ini boleh merosakkan buah pinggang dan paru-paru bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa mengandung harus dielakkan.

Pengambilan irbesartan semasa penyusuan badan

Irbesartan boleh diambil semasa penyusuan badan. Namun sekiranya bayi yang dilahirkan pramatang, pesakit harus mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambilnya.

Cara pengambilan irbesartan

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Irbesartan boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.

Ubat ini biasanya mengambil masa lebih kurang 2 minggu untuk menberikan kesan yang optimum. Oleh itu, pastikan anda tidak lupa mengambil ubat anda walaupun anda tidak mempunyai sebarang simptom.

Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan penyakit anda menjadi melarat secara mengejut.

Sepanjang tempoh rawatan, doktor anda juga mungkin akan menggabungkan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelaknya daripada menjadi rosak.

Kesan sampingan irbesartan

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan ubat ini adalah:

  1. tanda-tanda tekanan darah rendah seperti rasa pening kepala, pitam, jantung berdebar, sesak nafas dan rasa lesu
  2. tanda-tanda paras elektrolit potassium tinggi di dalam darah (hiperkalemia) seperti rasa kesemutan dan kebas pada hujung jari kaki dan tangan, kadar denyutan jantung menjadi laju dan otot berasa sangat lemah
  3. kencing tak lawas
  4. sakit sendi dan otot
  5. tanda-tanda radang hati seperti jaundis, najis berwarna pucat dan ujian darah fungsi hati yang tidak normal
  6. rasa berdesing di dalam telinga (tinnitus)
  7. tanda-tanda paras platelet darah rendah (thrombocytopaenia) seperti berlakunya perdarahan yang luar biasa, kehadiran lebam pada kulit dan badan berasa sangat lesu

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan irbesartan

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan irbesartan dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat-ubatan daripada kumpulan ACE inhibitor seperti enalapril, captopril, lisinopril dan ramipril
  • aliskiren
  • ubat-ubatan analgesik seperti ibuprofen, naproxen, diclofenac, celecoxib dan etoricoxib
  • heparin
  • ubat-ubatan daripada kumpulan diuretik seperti frusemide, hydrochlorothiazide dan indapamide
  • lithium
  • spironolactone
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar