Apa itu Isosorbide mononitrate?
Isosorbide mononitrate adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis nitrate. Ia bertindak dengan mengembangkan urat darah lalu melancarkan peredaran darah pada organ-organ di dalam badan terutamanya jantung. Di samping itu, ia juga membantu untuk mengurangkan beban kerja jantung terutama sewaktu dalam keadaan stres fizikal seperti bersenam, menaiki tangga dan sebagainya.
Isosorbide mononitrate biasanya digunakan untuk mencegah serangan jantung bagi pesakit yang berisiko tinggi dan mereka yang pernah menghidap serangan jantung.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Isosorbide mononitrate?
Anda tidak boleh menggunakan Isosorbide mononitrate sekiranya anda mempunyai masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat daripada kumpulan nitrate yang lain seperti isosorbide dinitrate dan nitrogliserin
- tanda-tanda awal serangan jantung seperti sakit dada yang merebak ke bahagian rahang atau bahu, sesak nafas, rasa loya dan berpeluh
Anda juga tidak boleh mengambil ubat ini sekiranya anda sedang menerima rawatan untuk masalah mati pucuk (erectile dysfunction) dengan menggunakan ubat-ubat seperti Viagra, Cialis, Levitra, Stendra, Staxyn, sildenafil, avanafil, tadalafil dan vardenafil. Ini adalah kerana tindak balas ubat-ubat tersebut dengan Isosorbide mononitrate boleh mengakibatkan tekanan darah anda turun secara mendadak.
Untuk memastikan pengambilan Isosorbide mononitrate adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit lemah jantung
- penyakit buah pinggang
- tekanan darah rendah
Pengambilan Isosorbide mononitrate semasa mengandung
Kajian ubat ini ke atas haiwan telah menunjukkan bahawa ia tidak memudaratkan kesihatan kandungan. Namun kajiannya ke atas wanita hamil masih kurang dijalankan. Oleh itu, ubat ini hanya disyorkan sekiranya pengambilannya jelas menunjukkan manfaatnya ke atas kesihatan wanita hamil berbanding risikonya ke atas kesihatan bayi dalam kandungan.
Pengambilan Isosorbide mononitrate semasa penyusuan badan
Kajian penggunaan Isosorbide mononitrate semasa penyusuan badan kurang dijalankan dan tidak diketahui sama ada ia boleh meresap ke dalam susu badan atau tidak. Oleh itu, ubat ini hanya disyorkan sekiranya pengambilannya jelas menunjukkan manfaatnya ke atas kesihatan wanita berbanding risikonya ke atas kesihatan bayi.
Cara pengambilan Isosorbide mononitrate
Ambil Isosorbide mononitrate seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Anda disyorkan untuk mengambil ubat ini dalam posisi duduk atau sandar bagi mengelak simptom pening semasa pengambilannya.
Jangan hancurkan, kunyah atau pecahkan ubat ini sebelum gunakannya kerana ia boleh melemahkan kesan ubat. Telan ubat ini sebiji terus dengan air kosong.
Jangan berhenti mengambil ubat ini secara tiba-tiba kerana ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan Isosorbide mononitrate
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- rasa hendak pitam
- sakit dada yang semakin melarat
- perubahan pada denyutan jantung sama ada denyutan menjadi laju atau perlahan
- jantung berdebar
Namun kesan sampingan Isosorbide mononitrate yang biasa berlaku adalah:
- pening atau sakit kepala
- kulit menjadi panas, merah dan kesemutan
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Isosorbide mononitrate
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Isosorbide mononitrate dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat rawatan masalah mati pucuk (erectile dysfunction) seperti Viagra, Cialis, Levitra, Stendra, Staxyn, sildenafil, avanafil, tadalafil dan vardenafil
- diuretik
- ubat darah tinggi jenis calcium channel blockers seperti nifedipine dan Procardia
- nitrogliserin
- riociguat (Adempas)
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.