Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Janumet | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Janumet | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Janumet?

Janumet adalah sejenis ubat yang mengandungi metformin dan sitagliptin. Metformin bertindak dengan merencatkan penghasilan glukosa di dalam organ hati dan mengurangkan penyerapannya melalui usus. Manakala sitagliptin pula bertindak dengan mengawal paras insulin di dalam darah selepas makan.

Janumet digunakan untuk mengawal paras glukosa di dalam darah bagi rawatan penyakit kencing manis jenis Type 2.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Janumet?

Anda tidak boleh menggunakan Janumet sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau komponen-komponen ubat di dalamnya iaitu metformin dan sitagliptin
  • penyakit buah pinggang yang serius

Bahan metformin yang terkandung di dalam Janumet boleh mengakibatkan pengumpulan asid laktik di dalam darah (lactic acidosis). Oleh itu, untuk memastikan pengambilan Janumet adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati
  • penyakit jantung
  • radang organ pankreas (pancreatitis)
  • penyakit batu hempedu
  • hiperlipidemia
  • ketagihan minuman beralkohol

Pengambilan Janumet semasa mengandung

Kajian penggunaan bahan di dalam Janumet iaitu metformin dan sitagliptin ke atas tikus dan arnab tidak menunjukkan kesan negatif terhadap perkembangan kandungan. Namun, pada dos yang tinggi, sitagliptin didapati boleh mengakibatkan kecacatan pada perkembangan tulang rusuk anak tikus. 

Kajian penggunaan Janumet ke atas wanita hamil masih kurang dijalankan dan kesannya ke atas kandungan masih belum jelas. Oleh itu, ia tidak disyorkan untuk digunakan oleh wanita hamil.

Pengambilan Janumet semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan bahawa metformin boleh meresap ke dalam susu badan tetapi dalam jumlah yang sangat sedikit. Namun, kajian masih belum jelas untuk mengesahkan status penyerapan sitagliptin ke dalam susu badan. 

Oleh itu, Janumet tidak disyorkan untuk diambil oleh wanita yang menyusukan badan.

Cara pengambilan Janumet

Ambil Isosorbide mononitrate seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Janumet hendaklah diambil semasa makan.

Jangan hancurkan, kunyah atau pecahkan ubat ini sebelum gunakannya kerana ia boleh melemahkan kesan ubat. Telan ubat ini sebiji terus dengan air kosong.

Tablet Janumet tidak akan dapat diserap oleh usus secara keseluruhannya. Sebahagian daripada tablet tersebut mungkin akan kelihatan pada najis anda. Ini adalah kesan sampingan biasa Janumet dan ia tidak menandakan yang penyerapan ubat ini kurang berkesan akibat cara pengambilan yang salah. Walau bagaimanapun, anda hendaklah menghubungi doktor jika tablet ini kelihatan di dalam najis anda secara berterusan.

Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.

Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Pengambilan Janumet biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Sepanjang tempoh pengambilan Janumet, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap pengawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan Janumet

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • tanda-tanda radang organ pankreas (pancreatitis) seperti sakit perut yang teruk yang merebak ke bahagian belakang, berasa loya dan muntah, demam dan hilang selera makan
  • sakit otot yang berpanjangan
  • sesak nafas
  • badan berasa sejuk
  • denyutan jantung yang tak teratur atau lambat
  • pening kepala atau berasa hendak pitam
  • rasa lesu yang teruk dan berpanjangan
  • kencing tak lawas
  • sesak nafas
  • simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur 
  • simptom-simptom gula rendah dalam darah seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Janumet

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Janumet dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat rawatan penyakit sawan seperti topiramate, zonisamide, acetazolamide dan phenytoin
  • ubat anti-virus untuk rawatan penyakit HIV dan AIDS
  • ubat antipsikotik seperti chlorpromazine, prochlorperazine dan thioridazine
  • Dichlorphenamide
  • ubat antasid seperti cimetidine
  • Ranolazine
  • Vandetanib
  • ubat kortikosteroid seperti prednisolone
  • ubat-ubatan yang mengandungi estrogen seperti pil kawal kehamilan
  • ubat jantung dan tekanan darah tinggi seperti digoxin, diuretic dan calcium channel blocker
  • Ubat kencing manis seperti insulin dan sulfonylureas

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar