Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Januvia | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Januvia | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Januvia?

Januvia adalah sejenis ubat yang mengandungi sitagliptin. Ia bertindak dengan mengawal paras insulin di dalam darah selepas makan. Dalam erti kata lain, ia menghindar kenaikan glukosa darah selepas makan.

Januvia digunakan untuk mengawal paras glukosa darah bagi rawatan penyakit kencing manis jenis Type 2. Pengambilannya biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan senaman.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Januvia?

Anda tidak boleh menggunakan Januvia sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada sitagliptin
  • penyakit buah pinggang yang serius
  • ketoasidosis diabetik (kenaikan paras keton di dalam darah)

Oleh itu, untuk memastikan pengambilan Januvia adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang atau sedang menjalani rawatan dialisis
  • penyakit jantung
  • radang organ pankreas (pancreatitis)
  • paras trigliserida yang tinggi dalam darah
  • penyakit batu hempedu
  • ketagihan minuman beralkohol

Januvia tidak sesuai digunakan oleh pesakit yang berumur di bawah 18 tahun.

Pengambilan Januvia semasa mengandung

Kajian penggunaan Januvia ke atas wanita hamil masih kurang dijalankan dan kesannya ke atas kandungan masih belum jelas. Oleh itu, pengambilannya semasa hamil haruslah di bawah pemantauan doktor dan hanya jika pengambilannya jelas memberi manfaat kepada pengawalan kencing manis semasa hamil. Dos Januvia juga mungkin akan diubah mengikut trimester.

Pengambilan Januvia semasa penyusuan badan

Tidak banyak kajian telah dijalankan ke atas pengambilan Januvia oleh wanita yang menyusu badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.

Cara pengambilan Januvia

Ambil Januvia seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Januvia boleh diambil sebelum atau selepas makan.

Jangan hancurkan, kunyah atau pecahkan ubat ini sebelum gunakannya kerana ia boleh melemahkan kesan ubat. Telan ubat ini sebiji terus dengan air kosong.

Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.

Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Pengambilan Januvia biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Sepanjang tempoh pengambilan Januvia, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap pengawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan Januvia

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • kulit melepuh, gatal dan mengelupas
  • kencing tak lawas
  • sakit sendi yang berpanjangan
  • tanda-tanda lemah jantung seperti kaki bengkak, sesak nafas dan kenaikan berat badan secara mendadak

Namun kesan sampingan Januvia yang biasa berlaku adalah:

  • hipoglisemia
  • sakit kepala
  • selsema dan hidung tersumbat

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Januvia

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Januvia dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • insulin
  • ubat kencing manis jenis tablet
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar