Apa itu Ketamine?
Ketamine adalah sejenis ubat anestetik atau bius yang diberikan kepada pesakit untuk membolehkan pesakit tidur semasa pembedahan atau prosedur perubatan tertentu. Ia bertujuan untuk mencegah pesakit daripada mengalami rasa sakit dan ketidakselesaan semasa tempoh tersebut.
Ketamin juga pernah disalahgunakan sebagai dadah untuk tujuan hiburan.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ketamine?
Anda tidak boleh menggunakan Ketamine sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit darah tinggi yang tidak terkawal
Untuk memastikan pengambilan Ketamine adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- tekanan darah tinggi
- penyakit hati
- ketagihan minuman beralkohol
Pengambilan Ketamine semasa mengandung
Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Ketamine selamat untuk diambil semasa mengandung. Kesannya ke atas kandungan masih tidak diketahui. Oleh itu, ia tidak disyorkan untuk digunakan dalam tempoh hamil. Walau bagaimanapun, doktor anda mungkin akan menggunakan ubat ini sekiranya tiada ubat bius yang lebih sesuai dapat digunakan dan pengambilannya jelas membantu rawatan dalam tempoh tersebut.
Pengambilan Ketamine semasa penyusuan badan
Kajian awal mendapati Ketamine tidak memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Walau bagaimanapun, disebabkan kajian yang dijalankan sangat sedikit, pengambilannya semasa penyusuan badan harus dipantau dengan teliti oleh doktor.
Cara pengambilan Ketamine
Ketamine diberikan kepada pesakit melalui suntikan ke dalam otot (intramuscular injection) atau salur darah vena (intravenous injection). Ia biasanya akan diberikan oleh doktor.
Semasa pengambilan Ketamine, kadar pernafasan, tekanan darah dan tahap oksigen akan dipantau dengan teliti oleh doktor.
Kesan pengambilan Ketamine akan membuatkan anda berasa keliru dan mengalami halusinasi selepas sedar daripada kesan bius. Maklumkan kepada doktor anda sekiranya kesan sampingan ini sangat teruk dan berpanjangan lebih daripada 24 jam.
Kesan sampingan Ketamine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami halusinasi atau berasa keliru yang teruk dan berpanjangan selepas sedar daripada kesan bius.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- rasa sakit semasa kencing, kencing tak lawas, kerap membuang air kecil, mudah terkucil dan air kencing bercampur darah
- rasa hendak pitam
- sesak nafas dan rasa jantung berdebar
- pergerakan otot-otot tangan dan kaki yang tak terkawal dan mudah tersentak seperti serangan sawan
Walau bagaimanapun, kesan sampingan Ketamine yang biasa berlaku adalah:
- berasa keliru
- halusinasi
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ketamine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Ketamine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Abilify (aripiprazole)
- Adderall (amphetamine/dextroamphetamine)
- Ativan (lorazepam)
- Benadryl (diphenhydramine)
- Cymbalta (duloxetine)
- Dilaudid (hydromorphone)
- Klonopin (clonazepam)
- Lamictal (lamotrigine)
- Lyrica (pregabalin)
- Seroquel (quetiapine)
- Valium (diazepam)
- Versed (midazolam)
- Vyvanse (lisdexamfetamine)
- Xanax (alprazolam)
- Zoloft (sertraline)
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.