Apa itu Ketoconazole?
Ketoconazole adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat antifungus. Ia digunakan untuk merawat masalah jangkitan kulat seperti panau, kurap dan kulat air pada kulit, mulut, alat kelamin dan rambut.
Namun, ketoconazole jarang digunakan untuk merawat masalah kulat air pada jari kaki dan tangan.
Ketoconazole boleh diperolehi dalam bentuk tablet, shampoo dan sirup.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ketoconazole?
Anda tidak boleh menggunakan Ketoconazole sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit hati
Untuk memastikan pengambilan Ketoconazole adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit hati
- sejarah penyakit long QT syndome pada diri sendiri atau dalam keluarga
- penyakit kelenjar adrenal
Pengambilan Ketoconazole semasa mengandung
Kajian telah menunjukkan pengambilan Ketoconazole pada peringkat awal kehamilan boleh merencatkan sintesis hormon progesteron oleh ovari. Oleh itu, pengambilannya tidak disyorkan. Namun, pengambilannya boleh dipertimbangkan sekiranya ia jelas dapat mengurangkan risiko kemudaratan kepada kesihatan bayi akibat jangkitan kulat yang serius pada ibu mengandung.
Pengambilan Ketoconazole semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan Ketoconazole semasa penyusuan badan tidak memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan adalah selamat.
Cara pengambilan Ketoconazole
Ambil ketoconazole seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Jangan berhenti mengambil ubat ini secara tiba-tiba tanpa nasihat doktor kerana ia boleh membuatkan jangkitan kulat anda menjadi lebih kebal kepada ketoconazole pada masa akan datang dan menyukarkan proses penyembuhan.
Sekiranya anda menggunakan ubat ini untuk jangka panjang, anda mungkin perlu untuk menjalani ujian darah secara berkala bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Ketoconazole
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- jantung berdebar, sesak nafas dan rasa pening secara tiba-tiba
- rasa sangat lesu, pening, loya dan muntah
- tanda-tanda masalah hati – sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, hilang selera makan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
Namun, kesan sampingan Ketoconazole yang biasa berlaku adalah:
- rasa loya, cirit-birit, sakit perut
- bengkak payudara
- sakit atau pening kepala
- ujian darah fungsi hati yang tidak normal
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ketoconazole
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Ketoconazole dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Aspirin Low Strength (aspirin)
- Benadryl (diphenhydramine)
- Cymbalta (duloxetine)
- Fish Oil (omega-3 polyunsaturated fatty acids)
- Flonase (fluticasone nasal)
- Lexapro (escitalopram)
- Lipitor (atorvastatin)
- Lyrica (pregabalin)
- Metoprolol Succinate ER (metoprolol)
- MiraLAX (polyethylene glycol 3350)
- Paracetamol (acetaminophen)
- ProAir HFA (albuterol)
- Singulair (montelukast)
- Synthroid (levothyroxine)
- Tylenol (acetaminophen)
- Vitamin B12 (cyanocobalamin)
- Vitamin C (ascorbic acid)
- Vitamin D2 (ergocalciferol)
- Vitamin D3 (cholecalciferol)
- Zyrtec (cetirizine)
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.