Apa itu Ketoprofen?
Ketoprofen adalah sejenis ubat yang berasal daripada bahan asid propionik. Ia tergolong di dalam kumpulan ubat jenis nonsteroidal anti-inflammatory (NSAID). Ia biasanya digunakan untuk melegakan rasa sakit dan tindak balas radang dalam rawatan penyakit arthritis seperti arthritis gout, arthritis rheumatoid dan osteoarthritis.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ketoprofen?
Anda tidak boleh menggunakan Ketoprofen sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat daripada kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) yang lain seperti mefenamic acid (ponstan), diclofenac sodium (voltaren) indomethacin dan meloxicam
- lelah
- penyakit ulser perut atau usus
- risiko tinggi untuk menghidap penyakit angin ahmar atau serangan jantung seperti darah tinggi dan kencing manis yang tak terkawal
- selepas menjalani prosedur pembedahan jantung coronary artery bypass graft (CABG)
Untuk memastikan pengambilan Ketoprofen adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung, tekanan darah tinggi, hyperlipidemia, diabetes
- seorang perokok tegar
- pernah mempunyai sejarah serangan jantung dan angin ahmar
- penyakit ulser perut atau usus
- asma
- penyakit hati atau buah pinggang
- air berkumpul dalam badan seperti penyakit lemah jantung dan kegagalan fungsi buah pinggang
Pengambilan Ketoprofen semasa mengandung
Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Ketoprofen selamat untuk diambil semasa mengandung. Pengambilannya masih dibenarkan sekiranya terdesak semasa tempoh hamil masih di bawah 20 minggu. Namun pengambilan ketoprofen selepas 20 minggu hamil boleh meningkatkan risiko kerosakan pada buah pinggang dan jantung bayi dalam kandungan.
Pengambilan Ketoprofen semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Ketoprofen selamat untuk diambil semasa penyusuan badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan hanya digalakkan untuk jangka pendek sahaja dan sekiranya ianya jelas membantu untuk mengurangkan risiko penyakit yang dihidapi oleh pesakit.
Cara pengambilan Ketoprofen
Ambil ketoprofen seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Ketoprofen sebaiknya diambil selepas makan bagi menghindar masalah kembung dan sakit perut.
Ketoprofen boleh diperolehi dalam bentuk kapsul. Oleh itu, anda janganlah membuka kapsul ubat untuk mengambil serbuk ubat di dalamnya kerana cara pengambilan sedemikian tidak efektif untuk melegakan sakit anda.
Sekiranya anda menggunakan ubat ini untuk jangka panjang, anda mungkin perlu untuk menjalani ujian darah secara berkala bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Ketoprofen
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda serangan jantung seperti sesak nafas, sakit dada yang merebak ke bahagian bahu kiri dan rahang, berpeluh dan rasa loya
- tanda-tanda angin ahmar seperti rasa lemah pada bahagian sebelah anggota secara tiba-tiba dan pertuturan menjadi pelat
- kenaikan berat badan secara mendadak dan bengkak kaki
- rasa loya, muntah dan demam
- ruam merah pada bahagian tertentu badan
- tanda-tanda ulser perut seperti sakit teruk pada bahagian atas abdomen, najis berwarna hitam, muntah berdarah atau berwarna hitam
- tanda-tanda masalah hati seperti sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang dan bahu sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
- tanda-tanda anemia seperti kulit kelihatan pucat, rasa letih yang melampau, sesak nafas, jantung berdebar dan pening kepala
Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan ketoprofen ialah:
- cirit-birit atau sembelit
- pening kepala
- sakit perut, kembung perut, rasa pedih pada ulu hati, loya dan muntah
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ketoprofen
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ketoprofen dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Probenecid
- Litium
- Methotrexate
- Ubat cair darah (warfarin, Coumadin, Jantoven)
- ubat jantung dan tekanan darah tinggi seperti diuretik
- ubat yang mengandungi steroid seperti prednisolone
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.