Apa itu Lasix?
Lasix adalah sejenis ubat yang berasal daripada ubat generik bernama Furosemide. Ia tergolong di dalam kumpulan ubat jenis loop diuretic yang berfungsi untuk merencatkan penyerapan garam sodium yang berlebihan di dalam badan melalui sistem ginjal. Tindak balas ini akan menyebabkan lebih banyak garam sodium dikumuhkan ke dalam air kencing.
Lasix digunakan untuk merawat penyakit lemah jantung, kegagalan fungsi buah pinggang dan hati serta masalah buah pinggang yang lain seperti nephrotic syndrome.
Lasix juga digunakan untuk merawat penyakit darah tinggi.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Lasix?
Anda tidak boleh menggunakan Lasix sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada Furosemide atau ubat daripada kumpulan sulfa
- kencing tak lawas atau langsung tidak dapat membuang air kecil
Untuk memastikan pengambilan Lasix adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit buah pinggang
- bengkak kelenjar prostat, penyakit pundi kencing tersumbat, kesukaran untuk membuang air kecil
- penyakit hati atau sirosis hati
- ketidakseimbangan paras garam elektrolit di dalam darah seperti paras kalium dan magnesium yang rendah
- paras kolesterol atau trigliserida yang tinggi
- gout
- lupus
- penyakit kelenjar tiroid
- diabetes
- alahan kepada ubat Furosemide dan ubat daripada kumpulan sulfa
Anda juga hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda perlu menjalani ujian MRI scan atau CT scan yang memerlukan anda untuk disuntik dengan pewarna radioaktif kerana tindak balas pewarna tersebut dengan Lasix boleh merosakkan buah pinggang anda.
Pengambilan Lasix semasa mengandung
Kajian telah menunjukkan pengambilan Lasix oleh wanita hamil boleh memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan kecuali sekiranya keadaan kesihatan pesakit sangat kritikal dan pengambilan Lasix dapat menyelamatkan keadaan.
Pengambilan Lasix semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Lasix selamat untuk diambil semasa penyusuan badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan hanya digalakkan untuk jangka pendek sahaja dan sekiranya ianya jelas membantu untuk mengurangkan risiko penyakit yang dihidapi oleh pesakit.
Cara pengambilan Lasix
Ambil Lasix seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Lasix digalakkan untuk diambil sebelum makan. Namun, sekiranya pengambilan Lasix sebelum makan boleh menyebabkan anda mengalami kembung perut, pengambilan selepas makan lebih disyorkan.
Lasix boleh diperolehi di dalam bentuk tablet dan sirup.
Untuk pengambilan Lasix dalam bentuk tablet, sekiranya dos yang anda ambil adalah separuh daripada dos 1 tablet ubat, anda dibenarkan untuk memecahkan ubat ini kepada separuh dan simpan bahagian ubat yang tidak digunakan dengan selamat ditempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan.
Untuk pengambilan Lasix dalam bentuk sirup, gunakan sudu penyukat atau picagari ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi untuk menyukat dos ubat.
Sepanjang tempoh pengambilan Lasix, doktor akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan Lasix
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- telinga berdesing, hilang pendengaran
- lebam pada kulit atau perdarahan yang luar biasa seperti hidung atau kencing berdarah
- demam menggigil, rasa kelesuan yang teruk
- rasa sakit ketika membuang air kecil atau kencing tak lawas
- rasa kebas, kesemutan atau pijau pada bahagian anggota
- rasa pitam
- tanda-tanda gula tinggi dalam darah seperti kerap dahaga, kerap kencing, mulut dan tekak berasa kering, nafas berbau buah
- tanda-tanda radang pankreas (pancreatitis) seperti sakit perut yang teruk yang merebak ke bahagian belakang, berasa loya dan muntah, demam dan hilang selera makan
- tanda-tanda masalah hati seperti sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang dan bahu sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
- tanda-tanda ketidakseimbangan elektrolit di dalam darah seperti mulut berasa kering, kerap dahaga, perubahan emosi, rasa keletihan dan mengantuk, sakit pada bahagian otot, rasa jantung berdebar, mudah berasa gelisah, loya dan muntah
Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Lasix adalah:
- cirit-birit atau sembelit
- pening kepala
- penglihatan kabur
- rasa kebas atau kesemutan pada bahagian kaki dan tangan
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Lasix
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Lasix dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- chloral hydrate
- lithium
- phenytoin
- ubat kemoterapi seperti cisplatin
- ubat rawatan penyakit jantung dan darah tinggi
- ubat kumpulan diuretik seperti hydrochlorothiazide