Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Meloxicam | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Meloxicam | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Meloxicam?

Meloxicam adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID). Ia bertindak dengan merencatkan penghasilan prostaglandin iaitu sejenis bahan kimia di dalam badan yang boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan pada badan.

Meloxicam digunakan untuk:

  • melegakan rasa sakit pada bahagian otot, sendi dan tulang
  • merencat tindak balas radang yang disebabkan oleh jangkitan kuman, kecederaan, tindak balas sistem imunisasi dan sebagainya

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Meloxicam?

Anda tidak boleh menggunakan Meloxicam sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat daripada kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) yang lain seperti mefenamic acid (ponstan), diclofenac sodium (voltaren) indomethacin dan ibuprofen
  • lelah
  • penyakit ulser perut atau usus
  • sejarah pembedahan jantung jenis coronary artery bypass graft (CABG)

Anda juga harus memberhentikan tabiat merokok dan pengambilan minuman beralkohol semasa menggunakan Meloxicam. Sekiranya tidak dilakukan, ia boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat ulser atau perdarahan di dalam perut dan usus.

Untuk memastikan pengambilan Meloxicam adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit jantung
  • penyakit kencing manis
  • penyakit darah tinggi
  • penyakit hiperlipidemia
  • pernah mengalami angin ahmar
  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati
  • lelah
  • sedang mengambil ubat aspirin untuk rawatan sakit jantung atau angin ahmar

Pengambilan Meloxicam semasa mengandung

Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Meloxicam selamat untuk diambil semasa mengandung. Pengambilannya masih dibenarkan sekiranya terdesak semasa tempoh hamil masih di bawah 20 minggu. Namun pengambilan Meloxixam selepas 20 minggu hamil boleh meningkatkan risiko kerosakan pada buah pinggang dan jantung bayi dalam kandungan. 

Meloxicam boleh melambatkan proses ovulasi. Oleh itu, elakkan penggunaan ubat ini sekiranya anda merancang untuk hamil.

Pengambilan Meloxicam semasa penyusuan badan

Tiada kajian yang kukuh untuk mengesahkan sama ada Meloxicam boleh meresap ke dalam susu badan dan memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, pengambilan Meloxicam hanya disyorkan sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan lain yang dapat merawat pesakit dan pengambilannya juga harus pada dos paling rendah.

Cara pengambilan Meloxicam

Ambil Meloxicam seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Meloxicam boleh diperolehi dalam bentuk oral atau suntikan. Bentuk suntikan biasanya akan diberikan oleh para doktor atau jururawat melalui suntikan ke dalam salur darah vena (intravenous). Ia biasanya diberikan untuk melegakan simptom dengan lebih cepat.

Meloxicam sebaik-baiknya diambil selepas makan kerana ia dapat menghindari anda daripada simptom perut kembung dan sakit perut.

Sekiranya anda menggunakan ubat ini untuk jangka panjang, anda mungkin perlu untuk menjalani ujian darah secara berkala bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Meloxicam

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • tanda-tanda serangan jantung seperti sesak nafas, sakit dada yang merebak ke bahagian bahu kiri dan rahang, berpeluh dan rasa loya
  • tanda-tanda angin ahmar seperti rasa lemah pada bahagian sebelah anggota secara tiba-tiba dan pertuturan menjadi pelat
  • kenaikan berat badan secara mendadak dan bengkak kaki
  • rasa loya, muntah dan demam
  • ruam merah pada bahagian tertentu badan
  • tanda-tanda ulser perut seperti sakit teruk pada bahagian atas abdomen, najis berwarna hitam, muntah berdarah atau berwarna hitam
  • tanda-tanda masalah hati seperti sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang dan bahu sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
  • tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
  • tanda-tanda anemia seperti kulit kelihatan pucat, rasa letih yang melampau, sesak nafas, jantung berdebar dan pening kepala

Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Meloxicam ialah:

  • cirit-birit atau sembelit
  • pening kepala
  • sakit perut, kembung perut, rasa pedih pada ulu hati, loya dan muntah

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Meloxicam

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Meloxicam dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • Litium
  • Methotrexate
  • Cyclosporin
  • ubat cair darah (warfarin, Coumadin, Jantoven)
  • sodium polystyrene sulfonate (Kayexalate)
  • ubat jantung dan tekanan darah tinggi seperti diuretik
  • ubat yang mengandungi steroid seperti prednisone

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar