Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Metformin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Metformin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Metformin?

Metformin adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis Biguanide. Ia bertindak dengan cara:

  • merencatkan proses gluconeogenesis pada hati iaitu penghasilan glukosa daripada sumber bukan karbohidrat
  • merencatkan tindak balas hormon glukagon yang boleh merangsang proses gluconeogenesis
  • mengurangkan penyerapan glukosa melalui sistem usus
  • meningkatkan sensitiviti organ badan terhadap insulin

Metformin digunakan untuk mengawal paras glukosa darah dalam rawatan penyakit kencing manis jenis Diabetes mellitus Type II. Ia tidak boleh digunakan untuk merawat penyakit Diabetes mellitus Type I.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Metformin?

Anda tidak boleh menggunakan Metformin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini 
  • penyakit buah pinggang yang serius
  • metabolic acidosis atau diabetic ketoacidosis 

Sekiranya anda perlu menjalani pembedahan dan sebarang imbasan X-ray atau CT scan yang memerlukan anda disuntik dengan pewarna, anda mungkin perlu untuk menghentikan pengambilan metformin untuk sementara waktu. Pastikan anda memaklumkan doktor bahawa anda sedang menggunakan metformin.

Untuk memastikan pengambilan Metformin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang
  • tahap keton yang tinggi dalam darah atau air kencing
  • penyakit lemah jantung
  • penyakit hati
  • sedang mengambil ubat kencing manis jenis lain seperti insulin, gliclazide dan sebagainya

Anda juga harus menghentikan tabiat pengambilan minuman beralkohol semasa menggunakan Metformin kerana tabiat tersebut boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat masalah lactic acidosis.

Metformin tidak boleh diambil oleh kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Pengambilan Metformin semasa mengandung

Kajian pengambilan Metformin ke atas haiwan yang hamil menunjukkan tiada kemudaratan kepada kesihatan anak di dalam kandungan. Namun tiada kajian kukuh yang telah dijalankan ke atas wanita hamil dan kesan ubat tersebut ke atas bayi dalam kandungan masih tidak jelas. 

Oleh itu, pengambilan metformin semasa kehamilan tidak disyorkan. Penggunaan insulin lebih disyorkan oleh doktor dalam rawatan kencing manis semasa kehamilan.

Pengambilan Metformin semasa penyusuan badan

Tiada kajian kukuh yang telah dilakukan ke atas wanita yang menyusu badan dan kesan ubat tersebut ke atas kesihatan bayi yang menyusu masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan Metformin semasa penyusuan badan hanya disyorkan sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan lain yang dapat merawat pesakit dan pengambilannya juga harus dipantau oleh doktor. 

Cara pengambilan Metformin

Ambil Metformin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Metformin biasanya diambil selepas makan. 

Sekiranya dos yang anda ambil adalah separuh daripada dos 1 tablet ubat, anda dibenarkan untuk memecahkan ubat ini kepada separuh dan simpan bahagian ubat yang tidak digunakan di tempat selamat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan.

Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.

Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Pengambilan Metformin biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Sepanjang tempoh pengambilan Metformin, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap kawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan Metformin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit otot yang teruk
  • badan berasa sejuk
  • sesak nafas
  • pening kepala
  • kelesuan yang teruk
  • sakit perut, muntah
  • kadar denyutan jantung yang perlahan atau tidak teratur

Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Metformin adalah:

  • hipoglisemia
  • loya, sakit perut
  • cirit-birit

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Metformin

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Metformin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • insulin
  • ubat kencing manis jenis oral seperti gliclazide

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar